Berita :
Akses Arak Tanpa Kawalan Punca Utama Nahas Pemandu Mabuk
Akses Arak Tanpa Kawalan Punca Utama Nahas Pemandu Mabuk
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
30

KUALA TERENGGANU, 1 April – Ketika kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk terus berulang, Institut Strategik & Integriti Terengganu (TSIS) memberi amaran bahawa kegagalan mengawal akses terhadap alkohol menjadi faktor utama yang memburukkan keadaan.

Eksekutif Strateginya, Eikhwan Ali berkata, pendekatan semasa yang lebih tertumpu kepada hukuman selepas kejadian dan bantuan kepada mangsa hanya bersifat reaktif, tanpa menyentuh punca sebenar masalah.

Menurutnya, ketersediaan alkohol secara meluas tanpa kawalan masa dan lokasi yang ketat telah membuka ruang kepada budaya pengambilan minuman keras secara tidak terkawal, termasuk di tempat awam.

“Isu pokoknya ialah akses mudah kepada arak itu sendiri. Di mana-mana dan bila-bila pun ada dijual. Perkara ini perlu ditangani segera dan menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, selagi aspek rantaian bekalan dan kemudahan mendapatkan alkohol tidak diperketatkan, insiden membabitkan pemandu mabuk akan terus berlaku walaupun hukuman diperberatkan.



Sehubungan itu, TSIS mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah dasar termasuk meningkatkan cukai serta menetapkan harga minimum bagi mengurangkan kuasa beli pengguna. 

Selain itu katanya, kawalan terhadap premis penjualan juga perlu diperketatkan dengan mengehadkan bilangan kedai, waktu operasi serta zon penjualan alkohol.

Dalam masa sama, TSIS turut menggesa agar larangan menyeluruh dikenakan terhadap sebarang bentuk promosi dan pengiklanan minuman keras, bagi mengurangkan normalisasi penggunaannya dalam masyarakat.

Cadangan tersebut dijangka mencetuskan perdebatan antara pelbagai pihak, khususnya melibatkan keseimbangan antara aspek keselamatan awam dan kepentingan ekonomi negara. 

Aktivis keselamatan jalan raya dan pertubuhan bukan kerajaan dijangka menyokong langkah kawalan lebih ketat, manakala kerajaan perlu mengambil kira implikasi terhadap sektor pelancongan dan hasil cukai.

Pemerhati politik berpendapat, tanpa reformasi undang-undang yang menyentuh akses dan pengedaran alkohol, kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk akan terus menghantui masyarakat.

Mereka melihat keputusan sama ada untuk memperketatkan kawalan ini kini terletak di tangan kerajaan, khususnya dalam menentukan hala tuju dasar yang mampu mengimbangi keselamatan rakyat dan kepentingan ekonomi negara.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan