PUTRAJAYA, 29 Oktober – Pengiktirafan Anugerah Smart City Malaysia 2025 kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) bagi kategori Smart City Early Adopted (Tahap 1), membuktikan komitmen daerah berkenaan ke arah bandar pintar dan mampan.
Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof, sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCity Expo 2025, yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.
Pengiktirafan itu merupakan satu pencapaian besar bagi MP Dungun, menandakan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan dalam memperkasa pembangunan bandar pintar, mampan dan berdaya huni.
Melalui pelaksanaan konsep Smart City, MPD memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan awam, pengurusan sumber secara efisien serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.
MP Dungun turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, PLANMalaysia, rakan-rakan PBT serta seluruh warga Dungun atas sokongan padu dalam menjayakan agenda pembangunan bandar pintar.
Dengan pengiktirafan ini, Dungun kini melangkah setapak lagi dalam merealisasikan aspirasi Terengganu Smart City, menuju ke arah bandar yang lebih inovatif, hijau dan berdaya saing.