lightning-solid
Berita :
MAIDAM Perkenal Inisiatif Baharu, Gerakkan Pendanaan Wakaf Lebih Inovatif
MAIDAM Perkenal Inisiatif Baharu, Gerakkan Pendanaan Wakaf Lebih Inovatif
Mastura Jamal Din
23 Oct 25
427

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober  – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terus memperkasa peranan institusi wakaf dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang bersifat inovatif dan kontemporari sempena Bulan Wakaf Tahun 2025.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, langkah itu selaras dengan keperluan semasa masyarakat dan usaha memperluas potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.

Menurutnya, antara tumpuan utama tahun ini ialah mewujudkan inovasi baharu dalam pendanaan wakaf melalui gabungan instrumen pasaran kewangan dan wakaf, dengan fokus kepada pelaburan berisiko rendah seperti unit trust MyWakaf ASNB hasil kerjasama antara MAIDAM dan pengurus dana yang dilantik.

“Selain itu, MAIDAM turut mempergiat kerjasama strategik bersama rakan seperti Sekolah Swasta Showme dan KETENGAH melalui pemuktamadan memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan pendanaan wakaf dalam bidang pendidikan, keagamaan dan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, MAIDAM juga sedang meneroka pelbagai instrumen baharu wakaf menerusi kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun depan.

“Kerjasama ini akan membolehkan kutipan wakaf berasaskan hibah pemegang akaun, dan usaha ini akan diteruskan melalui aktiviti promosi, pengiklanan serta pelbagai program lain,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bagi memperkukuh tadbir urus Wakaf Zuriat, MAIDAM akan melaksanakan mandat baharu dengan mengenakan caj pengurusan ke atas aset serta hartanah wakaf zuriat bagi memastikan ia diurus secara optimum.

“Semua aset wakaf zuriat akan digerakkan untuk penjanaan hasil sama ada melalui sewaan, pembangunan, pajakan dan sebagainya. 
“Penubuhan family office bagi setiap wakaf zuriat juga akan diwujudkan bagi mencapai tadbir urus yang lebih efisien,” katanya.

Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Terengganu itu turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, institusi kewangan serta rakan strategik yang terlibat dalam pembangunan wakaf negeri.
 


Tag :

Artikel Berkaitan