lightning-solid
Berita :
LPT3 Perlu Dilihat Sebagai Simbol Keadilan Pembangunan Wilayah Pantai Timur
LPT3 Perlu Dilihat Sebagai Simbol Keadilan Pembangunan Wilayah Pantai Timur
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
8 jam yang lepas
70

 KUALA LUMPUR, 3 Februari – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menegaskan bahawa isu pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) perlu dilihat sebagai simbol kepada keadilan pembangunan wilayah, khususnya bagi negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu.

Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, merujuk kepada peringatan baginda agar hak-hak negeri sentiasa dihormati selaras dengan niat asal pembentukan persekutuan yang berasaskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, LPT3 telah dibincangkan hampir dua dekad dalam pelbagai pelan pembangunan nasional, namun sehingga kini masih belum direalisasikan secara tuntas.

“Apabila status wilayah Pantai Timur khususnya Terengganu sering disebut sebagai tidak maju, maka persoalannya, bagaimana negara mahu mencapai status maju jika ketidakseimbangan wilayah ini terus dibiarkan berlarutan?,” katanya.

Wan Hassan turut menegaskan kepentingan LPT3 kepada pembangunan ekonomi, sosial dan mobiliti rakyat Terengganu serta menuntut satu formula pengagihan fiskal yang benar-benar berasaskan keperluan sebenar dan keadilan wilayah.

“Kita tidak boleh sekadar bercakap tentang kemunduran wilayah. Kita mesti sertakan dengan tindakan yang nyata. Tidak mungkin kita menggerakkan orang yang tidur jika kita hanya berpura-pura tidur,” ujarnya.

Beliau menggesa agar Kerajaan Persekutuan memberikan perhatian serius terhadap pembangunan Pantai Timur dan memastikan Terengganu tidak terus ketinggalan dalam arus kemajuan negara.


Tag :

Artikel Berkaitan