lightning-solid
Berita :
Lawn Bowls Terengganu Mahu Cipta Kejutan Di SUKMA Selangor
Lawn Bowls Terengganu Mahu Cipta Kejutan Di SUKMA Selangor
Muhammad Rafie
1 hari yang lepas
133

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Pasukan Lawn Bowls Terengganu tidak mahu sekadar melengkapkan saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sebaliknya bertekad memberikan tentangan sengit dan mencipta keputusan membanggakan buat kontinjen negeri itu.

Bapa Angkat pasukan, yang merupakan Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, berkata beliau yakin sasaran tersebut mampu direalisasikan sekiranya barisan atlet terus mengekalkan disiplin, semangat juang dan komitmen tinggi sepanjang persiapan menghadapi temasya berkenaan.

Menurutnya, setiap atlet perlu membawa tanggungjawab besar untuk mengharumkan nama Terengganu selain tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran di gelanggang pertandingan.

“Saya yakin pasukan Lawn Bowls Terengganu mampu memberikan saingan terbaik di Selangor.

“Bawa nama Terengganu dengan penuh rasa bangga. Berjuang bersungguh-sungguh, kekalkan disiplin dan semangat berpasukan.

“Insya-Allah, dengan usaha, doa dan kesungguhan, kejayaan mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Pasukan Lawn Bowls SUKMA XXII Selangor 2026 di Raia Hotel, di sini, semalam.

Dr. Mamad turut menyeru semua atlet supaya saling menyokong antara satu sama lain dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang menjalani latihan serta ketika beraksi pada temasya nanti.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu mengingatkan atlet supaya tidak leka dengan pencapaian ketika ini, sebaliknya terus memperkemaskan persiapan dalam usaha mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

Menurutnya, disiplin dan fokus terhadap latihan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan setiap atlet berada pada tahap prestasi terbaik apabila turun beraksi di Selangor.

Majlis ramah mesra itu turut dihadiri Timbalan Ketua Kontinjen 2 (DCDM2) SUKMA Terengganu 2026,  Zuraida Md Noor; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu serta wakil Jabatan Angkat daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (Pendaftaran) Terengganu yang juga menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Pasukan Lawn Bowls SUKMA Terengganu.

Majlis berkenaan menjadi medan untuk memperkukuh hubungan antara Bapa Angkat, Jabatan Angkat, pengurusan dan atlet, selain menyuntik semangat kebersamaan menjelang persaingan SUKMA XXII.

Dengan persiapan yang sedang diperkemaskan, pasukan Lawn Bowls Terengganu kini menggalas harapan untuk menghadirkan prestasi terbaik dan mengharumkan nama Darul Iman di pentas SUKMA XXII Selangor 2026.

 


Tag :

Artikel Berkaitan