lightning-solid
Berita :
    ADUN Belia Terengganu Siri III Bersedia Melangkah ke Pentas Kepimpinan Sebenar
ADUN Belia Terengganu Siri III Bersedia Melangkah ke Pentas Kepimpinan Sebenar
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
6 jam yang lepas
130

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Majlis Apresiasi ADUN Belia Terengganu (T-Apprentice) Siri III menjadi wadah penghargaan terhadap jasa, bakti dan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu sepanjang dua tahun perkhidmatan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pengiktirafan kepada ADUN Belia Lelaki Terbaik, ADUN Belia Wanita Terbaik serta Kluster Terbaik sebagai penghargaan terhadap pencapaian dan komitmen sepanjang tempoh persidangan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkata, perjalanan ADUN Belia Terengganu bermula dengan pelbagai program dan pembentangan sebelum mencapai kemuncaknya menerusi persidangan.

“Platform ini tidak meminggirkan belia. Pada peringkat awal mungkin nampak kekok, namun kini mereka lebih yakin dan tersusun. Inilah peranan ADUN Belia Terengganu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan menghayati amanah dalam setiap tanggungjawab, khususnya sekiranya diberi peluang memegang jawatan kepimpinan pada masa hadapan.

“Kita perlu mengingati amanah kepada Allah SWT. Sekiranya diberi kepercayaan dalam jawatan di peringkat negeri, laksanakanlah dengan sebaiknya. Kita mahu melahirkan pemimpin yang takut kepada Allah SWT.

“Apabila takut kepada Allah, seseorang tidak akan mengkhianati amanah yang dipikul,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Apresiasi ADUN Belia Terengganu Siri III di Hotel Permai, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, majlis tersebut merupakan penutup kepada program ADUN Belia Terengganu bagi siri berkenaan, sekaligus berharap ADUN Belia masa kini kekal aktif menyumbang idea kepada kerajaan negeri.

“Mereka merupakan pelapis kepimpinan masa depan, dan berpotensi menjadi Yang Berhormat, Menteri Besar atau EXCO pada masa akan datang,” katanya.

Majlis turut menyaksikan pengiktirafan kepada Azim Baktiar sebagai ADUN Belia Lelaki Terbaik, manakala Anis Umairah dinobatkan sebagai ADUN Belia Wanita Terbaik.

Sementara itu, Kluster Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dibarisi oleh Muhammad Fakhruddin Nordin, Nur Ainul Yaqin Abdul Rahman, Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan, Mohammad Syukran Afifie, dan Nor Aishah Nordin dinobatkan sebagai Kluster Terbaik bagi ADUN Belia Terengganu Siri III.

Pengiktirafan tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen dan pencapaian ADUN Belia yang telah memanfaatkan platform ini untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan serta membawa aspirasi anak muda dalam agenda pembangunan negeri.

Majlis Apresiasi ADUN Belia Terengganu Siri III turut menandakan penutup perjalanan dua tahun ADUN Belia sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam pembangunan kepimpinan dan khidmat masyarakat.

Program T-Apprentice dilihat bukan sekadar platform simulasi persidangan, tetapi juga medan pembentukan karakter, kemahiran berbahas, pemikiran kritis serta pemahaman terhadap tadbir urus dan tanggungjawab kepimpinan.



Tag :

Artikel Berkaitan