lightning-solid
Berita :
Terengganu Pelopori Projek Perintis  Penternakan Biri-Biri Baka Aussie White
Terengganu Pelopori Projek Perintis Penternakan Biri-Biri Baka Aussie White
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
418

SETIU, 11 Ogos – Negeri Terengganu melangkah selangkah ke hadapan dalam sektor penternakan apabila menerima kemasukan kelompok pertama biri-biri baka Aussie White yang diimport khas dari Australia, baru-baru ini.

Projek perintis penternakan biri-biri baka berkualiti tinggi tersebut kini bertempat di Ladang Ternakan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) Telaga Papan, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memperkasakan sektor keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran daging ruminan tempatan.

Menurut beliau, baka Aussie White dipilih berasaskan beberapa kelebihan utama termasuk kadar pembesaran yang pantas, ketahanan tinggi terhadap cuaca serta tidak memerlukan proses mencukur bulu kerana sifat fizikalnya yang menggugurkan bulu secara semula jadi.

"Kemasukan ternakan ini di Ladang TADC Telaga Papan akan menjadi titik permulaan kepada penternakan baka komersial yang lebih efisien dan berdaya saing di Terengganu.

"Kita berharap projek perintis ini berjalan lancar dan berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan industri penternakan biri-biri di peringkat negeri mahupun kebangsaan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Menerusi projek perintis ini, Ladang Ternakan TADC Telaga Papan akan berfungsi sebagai pusat pembiakan dan pemantauan bagi menilai adaptasi baka berkenaan dengan persekitaran tempatan sebelum potensi pembiakannya diperluaskan kepada penternak tempatan pada masa hadapan.


Tag :

Artikel Berkaitan