lightning-solid
Berita :
Dr Azman Menyelami Suara Hati Rakyat
Dr Azman Menyelami Suara Hati Rakyat
Hidayah Azlin
9 jam yang lepas
234

SETIU, 11 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim meneruskan siri Program YB Cakna Komuniti bagi mendekati dan menyelami sendiri suara rakyat untuk menyesaikan pelbagai isu masyarakat termasuk di Kampung Kepala Gajah dan Kampung Renek, di sini.

Program penuh pengisian yang bermula seawal jam 6.00 pagi hingga ke malam itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu mata dengan penduduk setempat di lapangan, sekali gus mendengar pelbagai aduan serta keluhan secara mendasar.

Dr Azman berkata, siri program turun padang secara bersemuka dan mendasar ini adalah pendekatan terbaik untuk memahami situasi sebenar warga DUN Jabi.

"Sehari menyelami pelbagai isu masyarakat setempat secara dekat dan mendasar. Kita bertemu mata di lapangan untuk mendengar sendiri aduan dan keluhan penduduk.

"Insya-Allah, segala perkara yang diutarakan sepanjang program ini adalah dalam perhatian dan tindakan pihak kami," katanya di sini, hari ini. 

Program dimulakan dengan solat Subuh di Madrasah Taqwa Sungai Renek sebelum Dr Azman bersarapan pagi dan ramah mesra bersama warga tempatan di Kedai Saloma Nasi Kerabu.

Bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan kerjasama, program diteruskan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Haji Deraman di Kampung Renek yang dijayakan bersama komuniti setempat dan Bahagian Parol Jabatan Penjara Malaysia.

"Pagi ini bersama komuniti Kampung Renek dengan kerjasama Bahagian Parol Jabatan Penjara Malaysia mengadakan program gotong-royong di Surau Haji Deraman Renek. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini," katanya lagi.

Siri ziarah kebajikan kemudiannya dilaksanakan secara berperingkat menerusi pembahagian pasukan mengikut sasaran penduduk di sekitar kawasan JPKK Kepala Gajah dan JPKK Renek. 

Dr Azman mengetuai siri ziarah menyantuni penduduk lelaki, manakala pasukan wanita yang dipimpin isteri beliau, To’ Puan Nik Yushanida Yusof bersama petugas Muslimat khusus menyantuni golongan perempuan.

Pada masa sama, pasukan Beliawanis turut bergerak berasingan menerusi kempen Ziarah Kasih Sayang bagi mendekati dan menyantuni golongan muda wanita di kawasan berkenaan.

Selain aspek kebajikan, pengisian kerohanian dan kesejahteraan komuniti diberi penekanan menerusi solat Zohor di Masjid Renek, Solat Hajat Kesejahteraan Komuniti dan jamuan makan tengah hari di Pasar Renek, serta bacaan Yasin dan tazkirah di kediaman penduduk.

Program seharian yang diteruskan hingga ke malam itu diisi dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Surau Pok Ngoh Mat, sebelum diakhiri dengan majlis BBQ Santai serta penyampaian hadiah bagi pertandingan sukan pemuda seperti futsal dan dam haji di Kedai Makan Pok Di.


Tag :

Artikel Berkaitan