KUALA TERENGGANU, 23 Oktober– Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima zakat perniagaan Kumpulan Terengganu Inc berjumlah RM8,633,380.25 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini.
Cek simbolik penyerahan zakat tersebut disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun kepada baginda sebagai tanda komitmen berterusan syarikat itu terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan ummah di negeri ini.
Menurut Dato’ Burhanuddin Hilmi, penyerahan zakat tersebut mencerminkan tanggungjawab sosial dan keprihatinan Kumpulan Terengganu Inc terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Penyerahan zakat perniagaan ini melambangkan komitmen berterusan Kumpulan Terengganu Inc untuk menyokong pembangunan ummah.
"Setiap sen hasil yang diperoleh bukan hanya untuk keuntungan semata-mata, tetapi turut dikembalikan kepada masyarakat bagi memberi manfaat yang lebih meluas," katanya.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia; Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron; serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili; Ketua Eksekutif LRTSB, YM Che Ku Hafeez Che Ku Denang; serta wakil Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd., Ana Salwati Embong.
Tambahnya lagi, beliau percaya bahawa dengan keberkatan zakat itu, Kumpulan Terengganu Inc dan seluruh anak syarikat akan terus maju serta menjadi pemangkin kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Terengganu.
Kumpulan Terengganu Inc, yang merupakan cabang pelaburan strategik kerajaan negeri, memainkan peranan penting dalam menguruskan aset dan kepentingan komersial negeri melalui pelbagai anak syarikat dalam sektor minyak dan gas, tenaga, pelancongan, serta pembangunan hartanah.
Sejak ditubuhkan, syarikat berkenaan telah konsisten melaksanakan tanggungjawab zakat korporat setiap tahun bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dikongsi dengan masyarakat setempat melalui agihan zakat yang diselia oleh MAIDAM.