Berita :
Kiosk Terengganu Pay Dilancar, Perkasa Urusan Tanpa Tunai Untuk Kemudahan Rakyat
Kiosk Terengganu Pay Dilancar, Perkasa Urusan Tanpa Tunai Untuk Kemudahan Rakyat
Ahmad Zaeem Zainudin
20 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan Negeri dengan rasminya melancarkan kiosk layan diri Terengganu Pay sebagai alternatif baharu pembayaran digital bagi memudahkan urusan rakyat dengan agensi Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan sistem pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.

"Program hari ini adalah berkenaan dengan inisiatif yang telah kita war-warkan dalam pembentangan bajet sebelum ini, bahawa kita ingin meningkatkan keupayaan tanpa tunai, urusan antara rakyat dengan perkhidmatan di bawah Kerajaan Negeri.

"Contohnya cukai tanah, sumbangan (Tabung Darul Iman), bayaran-bayaran di agensi-agensi Kerajaan Negeri. 

"Jadi, kita lancarkan hari ini dengan kerjasama pelbagai pihak dan kemudahan itu kita bina secara dalaman oleh Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kiosk Layan Diri Terengganu Pay di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.

Menurutnya, untuk peringkat awal ini sebanyak lapan kiosk disediakan dan ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti Wisma Darul Iman serta sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan menilai maklum balas pengguna sebelum memperluaskan lagi jumlah kiosk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Pada peringkat ini memang kita ada lapan saja dulu kiosk dan kita akan tengok respon daripada rakyat dan kita akan tambahkan bila perlu.

"Yang kedua dari segi menu yang ada dalam servis kiosk itu pun kita akan perbaik dari masa ke semasa," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Samsuri menjelaskan penyediaan kiosk fizikal adalah penting bagi melengkapi aplikasi digital sedia ada kerana tidak semua rakyat selesa menggunakan telefon pintar.

"Kita kena faham bahawa rakyat ini pelbagai latar belakang, ada yang biasa dengan apps, ada yang tidak biasa, ada yang memerlukan suasana fizikal untuk membuat pembayaran," katanya.

Tambahnya lagi, inisiatif itu juga dapat membantu mengurangkan kesesakan di kaunter perkhidmatan kerajaan.

"Mungkin hasil daripada penggunaan kiosk ini boleh mengurangkan bottleneck di kaunter-kaunter dan ini menambah kecekapan," jelasnya.

Walau bagaimanapun, didalam ucapannya, beliau mengakui pelaksanaan teknologi baharu itu dijangka berdepan cabaran awal termasuk rungutan daripada pengguna.

"Dan memang di mana-mana organisasi pun apabila diperkenalkan satu benda baharu terutama yang melibatkan pengguna di kalangan rakyat.

"Kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan ini memerlukan proses penambahbaikan secara berterusan," tegasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula berkata, kiosk tersebut akan beroperasi 24 jam bagi memberi fleksibiliti kepada pengguna.

"24 jam. Kedudukan dia pun kita pilih di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang, supaya mereka boleh guna juga selepas daripada 'peak hour'," katanya.

Tambah beliau, pembangunan kiosk itu tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri, sebaliknya dibiayai melalui sumbangan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sebanyak RM500,000.

"Sebenarnya sumbangan daripada PayNet, kita tidak menggunakan dana kerajaan termasuk lapan kiosk dengan promosi," jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan insentif seperti potongan sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan penggunaan kemudahan tersebut dalam kalangan rakyat.

Pada fasa pertama, tujuh perkhidmatan utama ditawarkan melalui kiosk termasuk bayaran cukai tanah, cukai taksiran, bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu serta fi berkaitan urusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan sumbangan dana Tabung Darul Iman.

Antara lokasi terpilih untuk kiosk tersebut termasuklah di perkarangan lobi Wisma Darul Iman, tiga unit di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Tanah dan Daerah Marang serta Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus, Bangunan Yayasan Terengganu dan juga Bangunan Wisma Negeri Terengganu.

Kerajaan Negeri turut merancang untuk memperluaskan fungsi kiosk tersebut pada masa hadapan, termasuk kemungkinan mengintegrasikan pembayaran lain menjadikannya sebagai pusat sehenti.


Ketupat

Artikel Berkaitan