KUALA TERENGGANU, 29 April – Isu berhubung dakwaan bekas pelumba sensasi Terengganu, Harrif Salleh tidak dihargai disifatkan sebagai salah faham dan telah diselesaikan secara baik selepas pertemuan bersama pihak kerajaan negeri serta pengurusan sukan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan Harrif dalam arena sukan berbasikal.
Katanya, anugerah yang sewajarnya juga telah diberikan kepada Harrif sebelum ini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pencapaian beliau.
Menurut Hishamuddin, pihaknya sejak malam tadi menerima pelbagai mesej serta tangkap layar daripada orang ramai berhubung satu hantaran luahan peribadi Harrif yang tidak dijemput ke Anugerah Sukan Terengganu.
Beliau berkata, banyak pihak kemudian menyalahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan kerajaan negeri berhubung perkara itu.
“Saya tidak boleh menjawab secara spontan berasaskan satu hantaran dalam media sosial semata-mata. Malam tadi juga saya mesej secara peribadi memohon maaf atas apa yang berlaku mewakili pihak penganjur dan berhasrat untuk bertemu mata bagi mendengar sendiri luahan rasa beliau.
“Alhamdulillah, tengah hari tadi saya dapat bersama-sama Harrif Salleh dan mendengar sendiri luahan beliau. Turut bersama saya Pengarah MSNT, CEO TSG dan COO TSG,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, Harrif masih mahu terus berbakti kepada Terengganu dalam apa jua peranan yang boleh dimainkan walaupun telah bersara sebagai pelumba profesional.
“Beliau tawarkan diri untuk memberikan motivasi kepada atlet pelapis. Beliau mengharapkan agar MSNT dapat menjemput beliau bagi berkongsi pengalaman dan membentuk jati diri seorang atlet yang berwibawa,” katanya.
Dalam masa sama, Hishamuddin berkata Harrif ketika ini masih berkhidmat bersama Terengganu Cycling Team (TSG) sebagai duta serta sparring partner bagi membantu meningkatkan prestasi pelumba akademi, khususnya dalam usaha melahirkan pelumba pecut.
Beliau berkata, perkara itu membuktikan hubungan antara Harrif dan ekosistem sukan Terengganu masih berjalan baik, selain kerajaan negeri terus membuka ruang kepada bekas atlet untuk menyumbang kepada pembangunan bakat baharu.
“Saya kira, isunya telah selesai dan ia hanya satu bentuk salah faham. Tidak perlulah diperpanjangkan isu ini, kerana kita semua bergerak dengan satu matlamat,” katanya.
Tag :