Berita :
854 Ternakan Dibawa Masuk, Terengganu Perkukuh Penternakan Rakyat
854 Ternakan Dibawa Masuk, Terengganu Perkukuh Penternakan Rakyat
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 29 April – Sebanyak 854 ekor ternakan pelbagai baka berjaya dibawa masuk ke Terengganu sepanjang tempoh 2021 hingga 2025 melalui peruntukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi memperkukuh sektor penternakan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah itu melibatkan 330 ekor lembu, 247 ekor kambing pedaging, 155 ekor kambing tenusu dan 122 ekor bebiri.

Katanya, ternakan tersebut diagihkan kepada penternak terpilih sebagai usaha meningkatkan pengeluaran hasil ternakan tempatan, selain membantu membangunkan industri penternakan negeri secara lebih tersusun.

“Antara baka yang dibawa masuk ialah induk lembu baka Charolais, Limousine dan Brahman, kambing pedaging baka Boer serta kambing tenusu baka Saenen,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, penternak yang menerima agihan induk lembu menerusi Program Pengandaan Induk perlu memulangkan seekor anak yang lahir daripada induk berkenaan dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, kaedah itu membolehkan program tersebut diperluaskan kepada penternak lain melalui sistem pawah.

“Penternak yang menerima agihan induk lembu bagi Program Pengandaan Induk perlu memulangkan seekor anak yang lahir daripada induk yang dibekalkan dalam masa tiga tahun untuk diperluaskan program ini kepada penternak lain melalui sistem pawah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan masih wujud keraguan dalam kalangan masyarakat terhadap pelaksanaan sistem lembu pawah berikutan kegagalan program seumpamanya sebelum ini.

Namun, katanya, Kerajaan Negeri kini melaksanakan pendekatan baharu yang lebih tersusun bagi memastikan inisiatif itu benar-benar memberi hasil kepada penternak dan tidak mengulangi kelemahan lama.

Dr Azman berkata, antara strategi utama Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor penternakan rakyat ialah meningkatkan populasi ternakan berkualiti tinggi, termasuk baka full blood dan pure bred.

Katanya, kerajaan turut berjaya memperoleh dana khas untuk tujuan tersebut, namun dana berkenaan tidak disalurkan kepada rakyat dalam bentuk wang tunai.

Sebaliknya, ia dikembalikan kepada penternak melalui agihan induk baka lembu berkualiti yang telah disahkan bunting supaya industri penternakan dapat berkembang dengan lebih cepat dan berkesan.

“Antara strategi Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor penternakan ialah dengan meningkatkan jumlah populasi ternakan berkualiti sama ada baka full blood atau pure bred.

“Kita juga berusaha mendapatkan sejumlah dana dan telah berjaya mendapatkannya. Dana ini akan dipulangkan kembali kepada rakyat, bukan dalam bentuk wang tunai, tetapi melalui agihan induk baka lembu yang telah disahkan bunting supaya industri boleh berkembang,” katanya.

Beliau berkata, sektor penternakan negeri mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya agihan ternakan diberikan kepada penternak tulen yang benar-benar mempunyai minat, kemampuan dan komitmen untuk mengusahakannya.

Menurutnya, pendekatan itu penting supaya bantuan yang diberikan tidak sekadar menjadi agihan ternakan semata-mata, tetapi mampu melahirkan lebih ramai penternak berdaya maju serta meningkatkan bekalan makanan tempatan pada masa depan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan