SETIU, 24 Jun – Komitmen kemudahan infrastruktur luar bandar terus diperkasakan menerusi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara jalan sedia ada demi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk di sekitar DUN Jabi.
Inisiatif tersebut melibatkan kerja-kerja membina semula struktur jalan yang rosak di Kampung Gong Lilit, selain kerja-kerja membaik pulih serta menurap semula laluan di Kampung Jabi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, setiap kemudahan awam yang disediakan mempunyai jangka hayat tertentu dan proses penyelenggaraan serta penggantian amat perlu dilakukan apabila tiba masanya.
"Barang lama banyak jasa. Apabila rosak, maka proses penggantian baharu perlu dibuat. Terima kasih kepada kerajaan sebelum ini yang membina jalan ini. Kini, masanya telah tiba untuk kerja-kerja naik taraf jalan dilakukan.
"Tiada yang kekal di dunia ini. Setiap sesuatu ada jangka hayatnya. Bila rosak, kita perlu buat baharu untuk keselesaan rakyat," katanya melalui satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai projek di Kampung Jabi, beliau menjelaskan bahawa tindakan segera diambil dengan membuang struktur tar yang telah rosak sebelum kerja-kerja penurapan semula dilaksanakan dengan rapi.
"Kita servis sikit jalan di Kampung Jabi. Buang bahagian rosak dan turap tar semula. Selamat semua ya ," ujarnya lagi yang sentiasa mengutamakan keselamatan para pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Pelaksanaan projek baik pulih infrastruktur di kedua-dua kampung ini dijangka memberikan impak positif dalam melancarkan urusan seharian penduduk setempat serta memastikan jaringan jalan raya di kawasan DUN Jabi berada dalam keadaan yang lebih selamat dan kondusif.

Tag :