Berita :
Tumpang Nama Mahu Beli Tanah? Awas! Perangkap Proksi Makan Tuan
Tumpang Nama Mahu Beli Tanah? Awas! Perangkap Proksi Makan Tuan
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
51

SETIU, 21 Jun – Golongan yang cuba menggunakan taktik proksi atau menumpang nama individu lain bagi memohon tanah kerajaan, termasuk cubaan memindahkan hak milik kepada pihak bukan Melayu, diingatkan bahawa jalan pintas tersebut akhirnya akan memakan diri.

Pihak berkuasa menegaskan, setiap tanah yang diberi milik oleh kerajaan negeri mempunyai rantaian undang-undang bertulis yang amat ketat, sekali gus menutup ruang bagi sebarang cubaan manipulasi atau ketirisan hak milik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim mendedahkan, isu pemilikan tanah melalui taktik proksi ini sering menjadi topik hangat dalam sembang kedai kopi masyarakat, namun ramai yang masih tidak tahu mengenai implikasi perundangan yang sedia ada.


Menurut Dr Azman, mana-mana individu yang bertuah mendapat kelulusan pemberimilikan tanah daripada pihak kerajaan perlu tahu bahawa hak milik tersebut datang bersama sekatan kepentingan yang tidak boleh sewenang-wenangnya dilanggar.

" Bagi tanah yang baharu diberi milik oleh kerajaan, ia tertakluk kepada sekatan kepentingan yang ketat. Tanah berkenaan tidak boleh dipindah milik atau digadai dalam tempoh 10 tahun.


"Pengecualian hanya diberikan sekiranya gadaian itu dibuat kepada institusi kewangan untuk tujuan pinjaman perumahan sahaja. Jika ada niat mahu tukar nama kepada orang lain, tunggu sahajalah sehingga habis tempoh sekatan 10 tahun itu," katanya. 

Mengulas lanjut mengenai taktik segelintir pihak bukan Melayu yang menggunakan nama orang Melayu sebagai proksi untuk memiliki tanah, Dr Azman memberi amaran keras bahawa strategi itu adalah jalan buntu yang akhirnya merugikan pembeli asal.

Beliau menjelaskan, sebaik sahaja nama seorang Melayu didaftarkan di dalam geran, status tanah tersebut secara automatik dikunci oleh undang-undang pegangan hak milik.

"Apabila nama orang Melayu sah berada dalam Geran Hak Milik, ia secara automatik menjadi tanah pegangan Melayu (Malay holder). Ini kerana sifat tanah ini menyebabkan ia tidak boleh lagi dipindah milik kepada bukan Melayu buat selama-lamanya.

" Tindakan menumpang nama 'Ali bin Abdullah' dengan hasrat untuk memindah milik tanah itu kepada nama 'Lee Kuan Yew' adalah mustahil dari segi perundangan.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terjebak dengan taktik proksi yang bukan sahaja menyalahi peraturan, malah berisiko tinggi menyebabkan pembeli asal kehilangan modal dan hak ke atas tanah berkenaan di kemudian hari.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan