KEMAMAN, 3 November - Sebagai sebuah daerah yang sering berdepan dengan risiko bencana, sama ada banjir, ribut atau kemalangan industri, satu latihan diadakan bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan masyarakat, semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), Dato' Hanafiah Mat berkata latihan yang diadakan bertujuan melengkapkan ilmu mengenai pengendalian mengurus bencana, memantapkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Menurutnya, ia juga mampu mengukuhkan jalinan silaturahim antara agensi penggerak dan pelaksana serta memastikan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilaksanakan ketika bencana.
"Latihan seperti ini bukan sekadar simulasi tetapi satu langkah untuk mendidik komuniti agar tahu bertindak sebelum, semasa dan selepas bencana berlaku.
"Kita tidak mahu bergantung kepada agensi penyelamat semata-mata. Sebaliknya, setiap ahli komuniti harus menjadi orang pertama dalam menjaga keselamatan diri, keluarga dan jiran tetangga," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, berkata demikian ketika merasmikan Latihan Kesiapsiagaan Bencana Monsun Timur LAUT (MTL) Komuniti Bersama Agensi Daerah Kemaman Tahun 2025 yang berlangsung di Waterfront Geliga.

"Kerjasama erat antara agensi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), menjadi kunci kepada kejayaan pengurusan bencana yang berkesan.
"Apabila semua pihak berganding bahu, maka tindak balas terhadap bencana akan menjadi lebih pantas, teratur dan lebih banyak nyawa serta harta benda dapat diselamatkan," katanya lagi.
Dalam pada itu, seramai 400 peserta yang telah menyertai dalam latihan yang diadakan selama satu hari itu.
Beberapa aktiviti diadakan termasuk ceramah peranan JPKK semasa bencana, peranan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan, latihan bantuan kecemasan, keyakinan dalam air, pengendalian bot dan latihan menyelamat di air.
                
        
        