Artikel "Sidang DUN" Terkini
BAJET 2022 : Terengganu Umum i-Fitri, Bantuan Raya Bernilai RM400
KUALA TERENGGANU, 15 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman, hari ini mengumumkan i-Fitri, iaitu bantuan sempena perayaan bernilai RM400 kepada rakyat Terengganu yang layak.
Jelasnya, bantuan berkenaan akan disalurkan menjelang hari raya nanti.
"Bantuan ini akan disalurkan kepada 31,500 isi rumah miskin dan RM250 kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.
"Usaha ini diharapkan dapat menyokong kewangan kesemua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat setelah dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan," katanya.
15 Nov 21
7234
BAJET 2022 : RM500 Untuk Pelajar Kematian Ibu, Bapa Akibat COVID-19
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan Terengganu mengumumkan pemberian bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada pelajar yang kehilangan ibu atau bapa akibat COVID-19
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berakata pihaknya menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib 70 pelajar yang menjadi yatim dan yatim piatu.
“Sebagai tanda simpati kerajaan negeri, pemberian bernilai RM500 disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan.
“Sama-samalah kita mendoakan semoga ibu dan ayah mereka ditempatkan dalam kalangan solihin,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
15 Nov 21
361
BAJET 2022: OKU, Kaum Ibu, Belia dan Mahasiswa Terima Bantuan One-Off
KUALA TERENGGANU, 15 November- Berbanding tahun lalu, dalam Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman kali ini, kerajaan negeri mengumumkan pelbagai bantuan tunai terus kepada rakyat melalui pelbagai program.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menyokong pemberdayaan wanita dan belia, bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM150 akan diagihkan kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500.
"Bagi menyokong kewangan golongan belia, dengan ini saya mengumumkan bantuan tunai one-off bernilai RM150 kepada 66,400 belia bujang berumur antara 18 hingga 39 tahun dan 21,800 orang mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
"Selain itu, seramai 8,900 orang kelainan upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah juga akan menerima bantuan tunai one-off bernilai RM150.
"Diharapkan bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk memenuhi keperluan," katanya.
15 Nov 21
1602
BAJET 2022 : Terengganu Tawar Khidmat Rawatan Kesihatan Mental Percuma
KUALA TERENGGANU, 15 November - Cakna dengan peningkatan masalah kesihatan mental yang semakin melarat sehingga membawa kepada insiden bunuh diri terutamanya akibat kemurungan dan tekanan perasaan, kerajaan negeri mengumumkan untuk menyediakan khidmat perundingan serta rawatan kesihatan mental secara percuma bagi rakyat Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khidmat tersebut akan disediakan di hospital di bawah anak syarikat kerajaan negeri dan pusat kaunseling swasta yang terpilih.
"Di samping itu, kempen kesedaran kesihatan mental juga akan dipergiatkan bagi menyemarakkan keprihatinan dan pengetahuan rakyat tentang penyakit mental," katanya.
Beliau berkata, demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.
15 Nov 21
595
BAJET 2022 : RM2 Juta Untuk Usahawan Belia Mula Berniaga
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk Geran Tunas Usahawan bagi menggalakkan keusahawanan di kalangan belia di Terengganu.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata geran tersebut bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada belia yang berminat.
"Geran ini disediakan kepada golongan belia yang serius mahu menjalankan perniagaan setelah tamat latihan keusahawan intensif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri lagi, RM60 ribu turut diperuntukan untuk melaksanakan program 'Business Pitching and Matching' bagi mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan menyediakan latihan pemahiran semula dan peningkatan secara percuma di institusi latihan milik kerajaan negeri seperti TATIUC dan TESDEC.
"Ia terbuka kepada 1,600 individu yang dilaporkan kehilangan pekerjaan semasa pandemik melanda bagi meningkatkan keupayaan kendiri,"ujarnya.
15 Nov 21
1025
RM 1 Juta Indahkan 39 Produk Pelancongan Komuniti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan bernilai RM1 juta bagi membangunkan produk pelancongan berteraskan Komuniti (CBT) dengan program pengindahan di 39 lokasi dalam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu yang menyasarkan kewujudan minima 40 CBT.
“Alhamdullilah kerajaan di peringkat awal telah memperkasakan segmen ini dengan peruntukan RM1 juta dan antara program telah selesai dianjurkan seperti program gotong-royong di Kalang Warisan, Pantai Angin Berbisik, Kampung Jambu Bongkok dan banyak lagi.
“Ini juga termasuk program kelestarian di Kampung Pulau Serai dan perasmian Kampung Perlancongan di Kampung Mangkuk, Setiu.
“CBT ini bukan sahaja melibatkan usaha pihak kerajaan, namun komitmen masyarakat setempat terutamanya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ahli kampung sangat besar dalam memajukan sektor komuniti masing-masing,” katanya.
Tambahnya, CBT mampu memberi faedah secara langsung dari segi ekonomi seperti peluang pekerjaan dan pendapatan sampingan, namun memerlukan kelestarian sumber alam untuk generasi masa kini dan masa hadapan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Ariffin turut menceritakan peningkatan produk pelancongan berasaskan aktiviti fizikal yang kian popular di dalam negeri.
“Ini termasuk Bukit Harimau Menangis, Bukit Maras (Paragliding), Bukit Besar dan terbaharu Bukit Salai.
“Ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat aktif sukan, namun ia turut meningkatkan potensi pengunjung daripada luar negeri dan bakal melonjak lagi, akan datang,” katanya.
15 Nov 21
361
Terengganu Bentang Belanjawan 2022 RM1.65 bilion
KUALA TERENGGANU, 15 November - Terengganu membentangkan Belanjawan 2022 sebanyak RM1.65 bilion dengan jangkaan defisit 10 peratus.
Bajet bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ itu dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang ke-14.
Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan negeri akan membelanjakan sejumlah RM1.65 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM600 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM40 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air.
“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.56 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan iaitu sebanyak RM264.84 juta untuk Emolumen, RM244.47 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM22.14 juta untuk Aset, RM1.032 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap danRM1 juta untuk Lain-lain.
“Manakala komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM230 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan Pelbagai Agensi; RM664.71 juta bagi pemberian kepada Jabatan-jabatan Kerajaan dan RM270 juta bagi program-program Pelbagai Perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.
”Di bawah Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM436.92 juta (72.8 peratus) diperuntukkan untuk Sektor Sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan; RM137.28 juta (22.88 peratus) pula untuk Sektor Pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; dan RM25.8 juta (4.30 peratus) untuk Sektor Ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, bagi hasil pula, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.507 bilion iaitu sebanyak RM61.02 juta daripada Hasil Cukai, RM157.49 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.28 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Royalti Petroleum.
15 Nov 21
688
BAJET 2022 : Pertumbuhan Ekonomi Terengganu Diunjur Terus Berkembang
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Terengganu bagi keseluruhan tahun ini dan 2022 akan terus berkembang positif.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk 2021 dijangka kembali bertumbuh positif kepada antara 2.0 peratus hingga 2.2 peratus.
”Bagi tahun depan, kerajaan negeri menyasarkan pertumbuhan ekonomi akan berkembang kepada antara 3.0 hingga 3.4 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, program vaksinasi di negara-negara seluruh dunia termasuk di Terengganu dilihat telah berjaya mengatasi impak negatif peningkatan kes jangkitan COVID-19 sekali gus memulihkan prestasi ekonomi.
“Walaupun kegiatan ekonomi menjadi perlahan selepas pelaksanaan semula PKP penuh Fasa 1, secara keseluruhannya ekonomi negara terus meningkat pada suku kedua tahun ini apabila berkembang sebanyak 16.1 peratus berbanding negatif 0.5 peratus.
“KDNK Malaysia bagi keseluruhan tahun 2021 pula diunjurkan berkembang antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus berdasarkan jangkaan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat,” jelasnya.
15 Nov 21
435
ADUN Dibenarkan Berbaju Batik
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 15 November – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibenarkan berbaju batik lengan panjang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari khamis.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, ia berdasarkan peruntukan dalam perkara 121A (1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN.
“Ini adalah selaras dengan amalan di Parlimen sekarang ini dan juga bagi mempromosi negeri Terengganu sebagai negeri utama pengeluar batik di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, persidangan selama empat hari sudah tentu mengambil kira suasana ancaman Covid-19.
“Oleh sebab itu, atas nasihat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) terutama melalui Jabatan Kesihatan Negeri, pentadbiran DUN masih lagi mengekalkan SOP yang ditetapkan. Swab test kepada semua Ahli Yang Berhormat (AYB) dan ujian RTK (saliva test) akan diteruskan disamping mewajibkan pemakaian pelitup muka dan duduk secara berjarak.
“Bahkan pentadbiran DUN telah menambahbaik dengan memasang cermin penghadang di antara tempat duduk AYB sebagaimana di Parlimen. Oleh itu, para AYB boleh membuka pelitup muka hanya semasa menyampaikan ucapan dan masih perlu dipakai sepanjang berada di dalam dewan apabila tidak berucap,” katanya.
Beliau turut memohon maaf sekiranya semua SOP ini tidak memberi keselesaan kepada AYB, tetapi ianya penting untuk memastikan keselamatan bersama.
“Saya juga ingin menarik perhatian AYB sekalian supaya sentiasa mematuhi 'standing orders' sepanjang empat hari persidangan kita berjalan. Tugas seorang Speaker di antara lain adalah bagi memastikan persidangan DUN berjalan lancar.
“ Secara konvensionalnya, Speaker tidak seharusnya dipertanggungjawabkan untuk memuaskan hati semua pihak atas setiap pembahasan dan soal jawab yang diutarakan. Oleh sebab itu urusan-urusan AYB bukan di sini tempat berakhirnya,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar semua ADUN agar tidak pentingkan diri dan cuba menarik perhatian dewan atau berusaha menjadi juara dalam dewan pada kali ini.
“Ini kerana banyak perkara atas nama kepentingan rakyat boleh diselesaikan diluar dewan dengan semangat ukhwah dan perbincangan yang sihat bagi memenuhi tanggungjawab kita kepada rakyat dan lebih-lebih lagi kepada Allah SWT,” tambah beliau lagi.
15 Nov 21
339
Usul ‘Select Committee’ Dibentangkan Dalam Sidang DUN
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 15 November – Usul penubuhan jawatankuasa pilihan (select committee), Jawatankuasa Terpilih Semakan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, ia bertujuan untuk mengkaji dan menambah baik 'Standing Rules And Orders' DUN yang diwujudkan sejak tahun 1960.
“Supaya lebih tersusun, penggunaan bahasa yang standard, tambahan dalam edisi rumi dan cadangan bagi memasukkan perkara-perkara baru sesuai dengan perkembangan semasa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, beliau yakin pembentangan bajet kali ini yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar mengutamakan dengan membina ekonomi terjejas supaya rakyat kembali ceria dan hidup seperti sebelum pendemik Covid-19 melanda.
“Saya yakin semua AYB bersetuju dengan saya dan mengharapkan YAB Dato' Seri Menteri Besar akan membentangkan bajet yang terbaik pada kali ini dalam suasana kita sudah berada dalam fasa empat menghadapi Covid-19 di mana hampir semua sektor samada dalam kerajaan atau swasta telah mula diaktifkan.
“Tetapi pada masa yang sama kita perlu beringat-ingat untuk terus menjaga SOP kerana peperangan kita menghadapi Covid-19 belum lagi berakhir. Hanya kepada Allah jualah kita bertawakal agar ujian dan musibah ini dihapuskan seberapa segera,” ujar Dato’ Yahaya.
Justeru itu beliau berharap agar AYB bertanggungjawab untuk meneliti setiap butiran bajet yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar sebelum membahas.
“Dari segi semangat perlembagaan, kerajaan sudah tentu tidak boleh berbelanja walau satu sen pun pada tahun hadapan sekiranya rang undang-undang ini tidak diluluskan,” katanya.
15 Nov 21
168