Artikel "Politik" Terkini
Hubungan Rapat Pengundi Bantu Menangkan Amzad
KUALA TERENGGANU, 14 November - Hubungan rapat pengundi dengan Calon Parlimen Kuala Terengganu daripada PAS, Datuk Haji Amzad Hashim akan membantu bagi mengekalkan kemenangan beliau pada pilihan raya nanti.
Mohamad Zulkifli Abdullah, 57 berkata, sifat mesra dan suka turun padang meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap calon Perikatan Nasional (PN) itu
Dia yang juga peniaga berkata, pemimpin yang dipilih hendaklah mempunyai keperibadian dan jati diri yang baik untuk mentadbir negeri dan negara.
"Rata-rata kenalan dan keluarga saya memberikan sokongan penuh kepada beliau pada pilihan raya nanti," katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Khamisah Yusof, 48, berkata PN-PAS dilihat mempunyai calon yang berpengalaman dan berwibawa dalam pemerintahan.
“Justeru dapat menjadikan calon tersebut kuat dan kepercayaan yang tinggi bagi menarik pengundi,” jelasnya.
Hisham Mustafa, 43, juga berpendapat bahawa calon PN lebih layak melalui latar belakang kejayaan, pendidikan dan sebagainya.
“Harapan agar dapat melihat perubahan yang lebih baik serta kebajikan rakyat yang lebih terjaga melalui pimpinan yang dipilih,” katanya.
14 Nov 22
233
Calon BN Besut Perlu Cermat Berkempen
BESUT, 14 November - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut, Datuk Nawi Mohamad diingatkan supaya cermat dalam berkempen agar tidak menyebabkan berlakunya salah faham kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini A. Rahman menegaskan tempoh berkempen perlulah berlangsung dalam suasana harmoni tanpa menyebarkan sebarang fitnah terutama terhadap kerajaan negeri.
“UMNO datang ke Pulau Perhentian beberapa kali sepanjang tempoh berkempen ini dan saya difahamkan isu yang disebut kepada masyarakat sini bahawa kerajaan negeri rampas tanah rakyat.
“Sebenarnya tak betul, tanah di Teluk Keke itu milik anak syarikat kerajaan negeri iaitu TDM Berhad (TDM), TDM berurusan dengan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi membangunkan pusat peranginan dengan cara pajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Pengenalan Calon Pilihanraya Umum (PRU) PAS di Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini semalam.
Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera turut berkata, pelan pembangunan tersebut telah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat di Pulau Perhentian.
“Saya dimaklumkan bahawa ada rakyat pulau sudah bekerja dengan pemaju buat masa ini dan kita yakin, apabila siap dibina bangunan (pusat peranginan) itu lagi ramai masyarakat pulau diterima kerja.
“Jadi pesanan saya kepada calon yang bertanding terutamanya daripada kem BN, jangan heret dan manipulasi usaha kerajaan negeri untuk manfaat takyat,” tegasnya.
Terdahulu, calon BN dilihat terdesak dalam berkempen sehingga perlu mengheret persepsi rakyat pulau terhadap isu tanah 42 hektar itu.
Parlimen Besut mempunyai pengundi seramai lebih 111,600 yang layak mengundi melibatkan empat calon yang bertanding daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Gerakan Tanah Air (GTA).
14 Nov 22
777
Shaharizukirnain Berjaya Wujudkan Pembangunan Berskala Besar di Setiu
KUALA TERENGGANU, 14 November - Penyandang kerusi Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir telah membawa perubahan berimpak besar untuk Daerah Setiu pada penggal lepas.
Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil usaha beliau sama ada melalui pertemuan dan permohonan secara terus dengan jabatan dan menteri yang terlibat sejak 2018 hingga 2022 membabitkan peruntukkan sebanyak RM208.91 juta.
Katanya, antara projek tersebut ialah dua Jambatan di Seri Bayas RM17.78 juta dan Jambatan Sungai Lerek RM6.75 juta, empat buah masjid di Kuala Kubang (RM3 juta), Pengkalan Merbau (RM3 juta) dan Chalok Barat (RM4 juta).
"Dua buah klinik pula berjaya dibina di Batu Rakit (RM33 juta), di Rhu 10 (RM26 juta) selain itu turut dibina Balai Raya Gong Pasir (RM150,000), Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Renek (RM429,000) dan Dewan Tertutup Kampung Kerandang (RM450,000).
"Batu penahan hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras (RM800,000), takung air di Batu Rakit (RM800,000) dan pedalaman muara di Kampung Mangkuk (RM112 juta) selain itu juga telah dibuka Jalan Pertanian Chalok Barat (RM750,000) dan telah berjaya membina 375 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Kampung Bintang," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, semalam.
Perkongsiannya itu telah mendapat reaksi yang cukup baik di kalangan rakyat Setiu kerana telah berjaya membawa perubahan yang menepati kehendak dan keperluan rakyat.
Rata-rata penduduk juga mahu beliau menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 agar terus kekal menjadi ahli Parlimen.
Salah seorang penduduk, Hajar Fatimah menyatakan dalam tempoh yang singkat dengan pembangunan dan perubahan yang dibawa menunjukkan penyandang kerusi parlimen itu telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.
"Alhamdulillah baru empat tahun, cuba bayangkan kalau Ustaz Zul (Shaharizukirnain) menjadi Ahli Parlimen untuk tahun-tahun seterusnya ke hadapan sudah tentu akan banyak lagi kemajuan yang akan dibangunkan di Setiu," ujarnya.
14 Nov 22
376
Terengganu Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
HULU TERENGGANU, 13 November - Kerajaan negeri sudah bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Terengganu.
Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata persediaan itu termasuk dari segi logistik, pengoperasian bilik gerakan, bekalan makanan dan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir yang terlibat.
"Memang kami telah bersedia sejak dari bulan Ogos lagi dengan pelbagai latihan yang diadakan oleh agensi-agensi yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk masyarakat tempatan.
"Lebih kurang 10 peratus di antara pusat pengundian yang berpotensi untuk dijadikan pusat penempatan banjir dikenalpasti, juga telah bersiap sedia walaupun sebenarnya sebagaimana yang saya sebut sebelum ini tidak sesuai diadakan PRU pada musim begini kerana akan menyusahkan rakyat, tetapi dah berlaku juga, kerajaan kena hadap je lah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Kampung Buluh, di sini, semalam.
Tambahnya, semua aset ada cara pengendalian tersendiri sekiranya berlaku banjir terutama di kawasan-kawasan kritikal dan itu adalah perkara yang dilihat di peringkat awal lagi oleh semua agensi dalam membuat persiapan masing-masing.
Menurutnya lagi, pihak anggota amal juga sentiasa bersedia 24 jam dari semasa ke semasa di seluruh daerah di negeri ini sekiranya diperlukan.
"Mereka ini hanya menunggu panggilan je sekiranya perlu untuk berada di tempat-tempat tertentu untuk membantu masyarakat berpindah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan akan meningkat kepada 90 peratus pada waktu pagi, petang dan malam pada minggu ketiga iaitu minggu pengundian.
“Tetapi bila kita kata ramalan, ia masih ramalan lah tapi saya percaya masyarakat samaada pengundi atau bukan pengundi, mereka ini akan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
13 Nov 22
329
PRU-15: Kemampuan PAS Tadbir Negara Baik, Punyai Rekod
HULU TERENGGANU, 13 November – Selepas lebih empat tahun menjadi kerajaan negeri dan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, PAS berjaya mematikan tuduhan pihak lawan selama berpuluh tahun kononnya parti berasaskan Islam itu mustahil untuk memerintah.
Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, PAS telahpun membuktikan kemampuan mereka dalam mentadbir negeri dan penglibatan dalam kerajaan persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS untuk memerintah selepas PRU15.
“Itu pandangan dia (Mahathir) ..terpulanglah kalau nak terima atau tidak tapi pada saya PAS telah membuktikan melalui penyertaan dalam kerajaan peringkat negeri-negeri dan nasional termasuk yang membina negara di peringkat pusat.
“Jadi dalam tempoh yang sangat singkat ini, kenapa pula PAS dilihat tidak mampu untuk bersama membentuk sebuah kerajaan gabungan dalam kerajaan persekutuan dan ini kita akan teruskan di masa hadapan.InshaAllah selepas 19hb ini, kita akan bentuk kerajaan yang lebih kuat di peringkat nasional,” ujarnya kepada media selepas program Santai Petang Bersama Masyarakat di Kampung Tanggol, semalam.
Dalam masa yang sama menjawab tohmahan Mahathir bahawa PAS akan memperalat agama lebih banyak (jika menang PRU15), Ahmad Samsuri berkata soal itu tidak perlu menjadi satu isu besar kerana kehidupan semuanya akan berlandaskan agama termasuk politik yang berlapikkan panduan Islam.
Mengikut rekod, kerajaan negeri Terengganu ketika mengambil alih pentadbiran selepas PRU14, kerajaan negeri telah menyelamatkan beberapa projek sakit termasuk menyelesaikan masalah anak-anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian.
Malah PAS juga membuktikan mereka mengotakan segala janji yang dibuat dalam manifeso sewaktu PRU14.
13 Nov 22
473
PRU15:Perang Bendera Makin Rancak
KUALA TERENGGANU, 10 November - Menjelang seminggu lagi tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) menyaksikan perang bendera semakin rancak di seluruh negeri termasuk di Terengganu.
Tinjauan mendapati hampir keseluruhan kawasan parlimen dipenuhi bendera parti yang bertanding sebagai strategi ‘perang’ psikologi bagi menunjukkan kekuatan parti masing-masing.
Setakat ini, PN dan BN dilihat lebih ke depan khususnya dari segi pemasangan bendera dan kewujudan bilik-bilik gerakan serta markas di sekitar negeri ini.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata pemasangan bendera menjelang setiap pilihan raya bertujuan menambah kehangatan ‘demam’ itu yang berlangsung sekali setiap lima tahun.
Pemasangan bendera di sekitar pinggir jalan dilakukan pada waktu petang dan malam agar tidak menganggu lalu lintas di sekitar laluan oleh jentera parti-parti terlibat.
SPR telah menetapkan tarikh pengundian awal pada 15 November ini manakala 19 November sebagai hari mengundi.
Terdapat seramai 922,586 pengundi berdaftar yang layak mengundi di seluruh Terengganu pada PRU-15 bagi lapan parlimen nanti.
12 Nov 22
375
Lelaki Bakar Bendera Parti Politik Ditahan Polis
KUALA TERENGGANU, 11 November - Tindakan seorang lelaki membakar bendera parti politik yang tular di media sosial baru-baru ini telah disiasat dan akan ditahan oleh pihak polis dengan segera.
Ketua Urusetia Pilihan Raya Umum -15 (PRU15) Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Husain berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah melakukan siasatan mengenai kejadian tersebut dan telah mengenalpasti individu berkenaan.
“Terdapat dua kejadian yang melibatkan lelaki membakar bendera Parti Islam Semalaysia (PAS) dan seorang lagi membakar bendera Malaysia.
“Melalui hasil daripada siasatan mendapati bahawa kedua-dua kejadian tersebut dilakukan oleh individu yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media semalam.
Mohd Aluwi berkata, maklumat awal juga telah diperolehi dan mendapati bahawa lelaki berkenaan merupakan seorang pesakit mental.
“Kedua-dua kejadian tersebut telah tular melalui pemilik akaun Tiktok 'Mohammad farhan 2953' ,” katanya.
11 Nov 22
1087
Pembangunan Infrastruktur di Marang Terus Dirancakkan - Abdul Hadi
MARANG, 11 November - Pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di Marang akan terus dirancakkan bagi memastikan keselesaan penduduk.
Penyandang kerusi Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, daerah itu yang terletak di kawasan pinggir bandar sudah mempunyai banyak kemudahan asas namun perlu ditambah baik sesuai dengan keadaan semasa.
Katanya, perkara itu akan terus dilaksanakan demi kepentingan masyarakat Marang.
“Marang kedudukan di pinggir bandar, infrastruktur dah ada, kerajaan mesti melaksanakan pembangunan di sini, sesiapa memerintah kena buat, pinggir bandar ini harus didahulukan,” katanya.
Mengulas mengenai peluang pekerjaan di Marang, Abdul Hadi berkata, rata-rata penduduk di Marang bekerja sendiri terutama sebagai petani dan nelayan.
“Jadi tidak timbul banyak isu berkaitan hal itu, kita cuba usaha bantu untuk pelbagaikan peluang,” katanya ketika ditemui media selepas program bersama komuniti Marang pagi tadi.
Untuk rekod, projek mega menaiktaraf jalan dan membina jambatan baharu yang bernilai RM338.5 juta antara pembangunan sedang berjalan di Marang.
Selain itu, projek tebatan banjir dan pemuliharaan Pantai Rusila, Marang turut dijalankan bagi keselesaan penduduk.
Sementara itu, projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang sedang dilaksanakan bermula 15 Disember tahun lalu dengan kos projek bernilai RM30.5 juta.
Jumlah pendaratan ikan di negeri ini dijangka meningkat semula selepas kerja-kerja mendalamkan muara sungai dilakukan untuk memudahkan nelayan mendaratkan hasil laut.
11 Nov 22
567
PAS Tiada Masalah Sesiapa Nak Isytihar Harta
MARANG, 11 November - PAS tiada masalah dengan mana-mana pihak atau individu yang ingin menyisytiharkan harta pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walau bagaimanapun berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai wayang jika ia hanya dibuat menjelang hari pengundian.
Katanya, langkah itu sebenarnya boleh dibuat sebelum musim PRU dan bukan semata-mata demi mengaburi mata orang ramai.
"Pengisytiharan harta bukan hanya boleh dibuat pada minggu atau waktu pilihan raya ini, ia boleh dibuat bertahun-tahun dulu atau pada bila masa-masa.
"Masyarakat setempat boleh menilai dan lebih tahu (harta) calon PAS yang kita ketengahkan, harta kita tak sampai juta-juta, PAS tiada kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa macam parti lain, namun PAS tiada masalah sesiapa nak umum," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila pagi tadi.
Abdul Hadi ketika berprogram bersama masyarakat di marang hari ini.
Untuk rekod, DAP juga merupakan antara parti yang tidak mewajibkan calonnya yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon-calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau mengabaikan tugas sebagai Ahli Parlimen, Abdul Hadi berkata pengerusi PH itu tidak layak bercakap soal itu.
"Rakyat yang menilai, penduduk di kawasan saya menilai, buktinya saya terus diberi kepercayaan menjadi Ahli Parlimen Marang.
"Saya mendapat sokongan majoriti rakyat bukan hanya orang islam, bahkan bukan islam contohnya yang ada di Wakaf Tapai, Marang.
"Kita dengar penilaian pengundi kita, bukan orang yang duduk jauh," tambah beliau.
11 Nov 22
325
Dr. Alias Saran Lawan Jangan Cipta Provokasi Murahan
KUALA NERUS, 11 November- Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus, Dato'Dr Alias Razak menafikan beliau bersikap sombong atau kurang mesra ketika bersua calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Hasnim sebagaimana kenyataan yang tular di portal Malaysiakini, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di Pasar Malam Serdang, Kuala Terengganu itu, Alias berkata, beliau hanya bertegas untuk menjaga dirinya.
"Isunya kecil sahaja, kami bertembung di pasar malam itu, kami bersalaman dan beliau menarik saya untuk berpeluk, tetapi saya menolaknya.
"Ada beberapa sebab, ketika itu saya dalam keadaan basah lencun.
"Sebagai seorang doktor dan juga exco kesihatan negeri, saya juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai.
"Saya bertegas untuk mengutamakan perkara lebih penting ketika itu berikutan musim COVID-19 masih belum tamat dan saranan menjaga batas serta pergaulan dalam masyarakat masih ditekankan, cukuplah bersalaman kerana disitu bukan tempat dan keadaan yang sesuai untuk berpelukan," katanya.
Tambahnya, sebagai calon pemimpin, Suhaimi seharusnya tahu keutamaan dan keperluan, bukannya menjadikan isu remeh sebagai provokasi murahan.
"Virus itu masih ada walaupun kita telah dibenarkan bebas melakukan aktiviti harian. Ketika berkempen, kita juga sering diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan masing-masing.
"Kalau kita terlalu bebas, kemungkinan menyebabkan jangkitan merebak semula.
"Saya ambil kesempatan ini untuk turut berpesan, jaga kesihatan masing-masing, cukup salam dan tidak perlulah berpeluk-pelukan," katanya.
11 Nov 22
550