Artikel "Politik" Terkini
‘Pulanglah Anak Watan’ - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 November - “Pulanglah anak watan dengan penuh rasa tanggungjawab,” demikian seruan Menteri Besar Terengganu agar semua perantau yang menetap di luar negeri pulang mengundi pada 19 November ini.
Menerusi satu video yang dikongsikan dalam Facebook rasminya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, tugas besar menanti semua rakyat di tanah pusaka tercinta ini demi masa depan Malaysia dan Terengganu.
“Alang-alang berjuang kitalah hulubalangnya, kitalah yang menentu nasib masa depan semua, tidak mungkin kita hanya memandang, maka pulanglah anak watan, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk membuat pilihan yang tepat satu undi untuk kebaikan.
“Hasilnya adalah kepada kita jua, kitalah sama-sama yang mendirikan negara tercinta ini, menjadi sebuah negara yang bersih dan stabil,” ujarnya hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, ia sebagai ikhtiar dan rugi sekiranya seseorang itu tidak mengundi.
“Pulanglah anak-anak dan sahabat semua untuk mengundi pada hari Sabtu, 19 November dengan penuh rasa tanggungjawab ke arah Malaysia #BEST, Bersih dan Stabil, dan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” tambah beliau.
16 Nov 22
352
Dakwaan MCA Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 15 November - Dakwaan Malaysia Chinese Associate (MCA) yang mengatakan bahawa mereka yang membuat kerja dalam mendapatkan peruntukan membaiki pintu gerbang di Kampung Cina di sini adalah tidak benar
Calon Parlimen Kuala Terengganu daripada PN-PAS, Dato’ Amzad Hashim berkata beliau berasa amat terkilan dengan kenyataan tersebut.
Katanya, Dewan Perhimpunan Tiong Hua sendiri yang meminta bantuan kepadanya untuk membina pintu gerbang tersebut.
“Susulan itu, saya telah menghubungi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM120,000.
“Setelah itu, MOTAC telah meluluskan permohonan tersebut serta dalam surat rasmi juga menunjukkan bahawa merujuk kepada diri saya yang menguruskan semua,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Pengundian Awal bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di sini hari ini.
Tambah Amzad, jika MCA mempunyai bukti kukuh yang mendakwa mereka yang membaiki pintu gerbang tersebut diminta untuk tunjukkan bukti.
Beliau berkata, semua bukti ada padanya dan telah dimuat naik di laman Facebook miliknya.
"Bukan pintu gerbang sahaja yang dibantu oleh saya dalam berkhidmat untuk kaum Cina bahkan banyak lagi dan pelbagai inisiatif bantuan telah diberikan kepada golongan tersebut.
"Begitu juga pembinaan semula masjid Sultan Ismail di Chendering, ia atas usaha saya sendiri yang meminta bantuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu dan telah diluluskan sebanyak RM1 Juta," katanya.
Di samping, masjid itu juga telah mendapat anugerah masjid terbaik untuk seluruh negeri Terengganu semasa sambutan maal hijrah baru-baru ini.
15 Nov 22
407
Pengundian Awal Babitkan 221 Anggota Polis di Setiu Lancar
SETIU, 15 November - Proses pengundian awal membabitkan seramai 221 pegawai dan anggota polis beserta pasangan di Setiu berlangsung dengan lancar bermula jam 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Hussin berkata, kesemua anggota menjalankan kewajipan atas kesedaran masing-masing tanpa diugut atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk tidak diberikan sebarang amaran.
"Dengan kesedaran ini maka kesemua anggota polis di daerah ini menyatakan komitmen tinggi untuk mengundi kerana ia akan menentukan masa hadapan negara untuk dibangunkan, kalau tidak mengundi ia menjadi satu kerugian.
"Sebagai rakyat sewajarnya tidak mengambil sikap mengecualikan diri untuk menjalankan kewajipan ini tidak kira sesiapa sama ada tentera, polis, orang awam dan siapa sahaja perlu untuk mengundi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pusat Pengundian Awal di Dewan Abdul Ghafar Rajab, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, hari ini.
Lokasi pengundian awal bagi daerah ini, turut dibuka di Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Tong serta Batu Rakit.
Ujarnya lagi, bagi membentuk sebuah negara yang bersih dan stabil pengundi perlu memilih calon yang berwibawa untuk membina kepentingan negara dan bukan untuk kepentingan parti tertentu.
Dalam pada itu menurutnya, anggota yang positif Covid-19 juga tidak diabaikan dan diberikan perhatian agar individu yang dijangkiti virus berkenaan masih mampu menjalankan hal sebagai rakyat Malaysia.
"Tetap akan mengundi mengikut sepertima prosedur yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada awal lagi kita telah memastikan anggota semua berada dalam keadaan sihat, hanya seorang sahaja anggota polis di daerah ini yang didapati positif Covid-19,"ujarnya lagi.
15 Nov 22
422
Polis Hulu Terengganu Siap Sedia Hadapi PRU15, Banjir
HULU TERENGGANU, 15 November - Polis Hulu Terengganu bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan fenomena banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pengurusan Jawatankuasa Banjir Daerah telah menyediakan pelan kontijensi untuk membuat persiapan sekiranya berlakunya bencana banjir di Hulu Terengganu pada hari pengundian nanti.
"Pelaksanaan tugas berdasarkan aset dan petugas, jadi kita tidak ada masalah cuma anggota-anggota PDRM akan menumpukan sepenuh tugas kepada kawalan keselamatan bagi proses PRU15 nanti.
"Pihak Bomba selaku Timbalan Komander Operasi akan menguruskan proses pemindahan dan lain lain perkara yang berkaitan dengan banjir," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini.
Katanya lagi, ia bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi terjamin semasa menghadapi PRU15.
15 Nov 22
113
PRU15 : Kempen Di P038 Bersih, Tiada Laporan Polis Diterima
HULU TERENGGANU, 14 November - Polis Hulu Terengganu tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepanjang tempoh berkempen hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya tidak menerima laporan insiden seumpama itu daripada mana-mana parti politik yang bertanding.
"Sepanjang tempoh berkempen di P038, kita tidak menerima aduan atau laporan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah di daerah ini.
"Setakat ini 'report' masih bersih dan dalam keadaan sangat terkawal," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini.
Seramai 232 pegawai dan anggota polis menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan menerusi PRU15, di P038 hari ini.
Mohd Adli berkata proses pengundian awal dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa yang disaksikan oleh wakil-wakil calon yang bertanding.
"Proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota).
"Sehingga jam 10.30 pagi, lebih 60 peratus pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi,"ujarnya.
15 Nov 22
684
Banjir : Nyawa Rakyat Lebih Utama Daripada Kempen
HULU TERENGGANU, 15 November - "Semua memang nak menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tapi yang penting ialah nyawa rakyat sekiranya berlaku banjir pada ketika itu bukannya meneruskan kempen," tegas Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid.
Demikian reaksi beliau apabila ditanya strategi kempennya sekiranya Hulu Terengganu dilanda banjir menjelang hari membuang undi pada 19 November ini.
Katanya, keutamaan wajar diberi kepada persediaan banjir dan pengurusan mangsa bencana dan bukannya perebutan kuasa melalui pelaksanaan kempen.
"Saya tidak seharusnya mengangkat kepentingan diri, sebaliknya peka dan sensitif dengan suasana semasa.
"Jadi kalau nak tukar antara menang dengan nyawa rakyat..bagi saya nyawa rakyat 'first' pilihan," ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Santai Bersama Media di Warisan Pahlawan Resort, di sini hari ini.
Tambahnya, dia tetap akan berpegang kepada mengutamakan rakyat dalam apa jua situasi terutama perkara yang melibatkan nyawa serta keselamatan walaupun berhadapan dengan PRU15 yang sangat penting.
"Saya teringat kata-kata seorang tua bahawa atas dunia ini semua boleh cuba, nak makan ikan kelah boleh cuba, nak makan landak boleh cuba tetapi jangan sesekali cuba kematian," ujar beliau lagi.
Rosol juga berkata jika berlaku banjir mungkin Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membatalkan pengundian untuk PRU15.
"Ini disebabkan kita ada lima hingga enam tempat pengundian sekiranya berlaku banjir...air akan naik terutama di Hulu Berang," jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SPR mempunyai hak untuk menangguhkan PRU-15 jika banjir besar berlaku sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak dan PRU-15 tidak dapat dilaksanakan kelak.
15 Nov 22
190
Tentera Tunai Tanggungjawab Mengundi di Terengganu
KUALA NERUS, 15 November - Seramai 692 daripada 833 anggota tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan pasangan di Kem Seri Pantai 18 RAMD, di sini hadir menunaikan tanggungjawab mengundi, pagi ini.
Manakala, baki 141 anggota di kem berkenaan lagi mengundi secara pos.
Pengundian awal dilaksanakan di Dewan Seri Terengganu yang dibuka seawal jam 8.00 pagi melibatkan saluran satu dan dua.
Pusat pengundian akan ditutup pada jam 5.00 petang.
Seramai 2,483 anggota tentera dan pasangan di negeri ini melakukan pengundian awal.
Selain itu, ia turut melibatkan 4,542 anggota polis dan pasangan di 24 pusat mengundi awal (PMA) yang dibuka di seluruh Terengganu.
15 Nov 22
390
Penting Turun Mengundi Untuk Bentuk Kerajaan Lima Tahun
KUALA TERENGGANU, 15 November - Pentingnya para pengundi awal turun mengundi pada hari ini untuk membentuk sebuah kerajaan yang terbaik demi menjamin masa depan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Calon Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Amzad Hashim berkata, proses tersebut memainkan peranan penting dalam demokrasi pembentukan negara bebas daripada rasuah.
"Kepada pengundi-pengundi awal yang membuang undi di Parlimen Kuala Terengganu, selamat menunaikan hak dan tanggungjawab anda sebagai warganegara ini.
"Sudah pasti harapan dan doa saya supaya saudara semua akan mengundi saya, Calon No.4 bagi P036 - Parlimen Kuala Terengganu," jelasnya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata demikian dalam laman sosial facebook, pada semalam.
Justeru itu, beliau menyeru supaya pilihlah calon berintegriti bagi membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.
"Berilah peluang lagi sekali untuk saya berkhidmat kepada warga Kuala Terengganu. InsyaAllah, saya akan cuba sehabis daya saya untuk membalas kepercayaan anda demi kesejahteraan Kuala Terengganu ini dan anda semua.
"Semoga dengan undi yang telah diberikan oleh tuan-tuan menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan yang prihatin bersih dan stabil demi masa depan negara kita yang lebih cemerlang.
"Kuasa ada di tangan anda. Jangan lupa undi saya Calon No.4, Datuk Haji Amzad Hashim," ujarnya.
14 Nov 22
865
'Insya-Allah, Empat Kerusi Dalam Genggaman PAS'
KUALA TERENGGANU, 14 November- Kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus diyakini berada dalam gengaman PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, keyakinan itu berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi daripada jentera, penyokong dan akar umbi parti.
Katanya, PAS juga tetap berpeluang besar untuk menang di Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman walaupun saingan agak sengit.
"Ini kerana kempen lawan terutama Barisan Nasional (BN) sangat 'sejuk', lesu dan tidak serancak PAS terutama dari segi kekerapan ceramah dan pemasangan poster, kain pemidang dan bendera parti di seluruh Terengganu.
"Nampaknya BN tak begitu bersungguh dalam PRU-15, pos (markas) pun ada buka sekejap kemudian tutup, ceramah pun tak ada sangat seperti PAS sekurang-kurangnya mesti ada empat ceramah di setiap Parlimen setiap malam.
"Calon lain seperti PH (Pakatan Harapan) dan GTA (Gerakan Tanah Air) serta calon Bebas tidak ada impak yang besar, kerana pertandingan ini seolahnya hanya antara PAS dan UMNO, jadi kita nampak memang kita masih mendahului di semua lapan kerusi Parlimen Terengganu," katanya dalam sidang media hari ini.
14 Nov 22
767
Hubungan Rapat Pengundi Bantu Menangkan Amzad
KUALA TERENGGANU, 14 November - Hubungan rapat pengundi dengan Calon Parlimen Kuala Terengganu daripada PAS, Datuk Haji Amzad Hashim akan membantu bagi mengekalkan kemenangan beliau pada pilihan raya nanti.
Mohamad Zulkifli Abdullah, 57 berkata, sifat mesra dan suka turun padang meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap calon Perikatan Nasional (PN) itu
Dia yang juga peniaga berkata, pemimpin yang dipilih hendaklah mempunyai keperibadian dan jati diri yang baik untuk mentadbir negeri dan negara.
"Rata-rata kenalan dan keluarga saya memberikan sokongan penuh kepada beliau pada pilihan raya nanti," katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Khamisah Yusof, 48, berkata PN-PAS dilihat mempunyai calon yang berpengalaman dan berwibawa dalam pemerintahan.
“Justeru dapat menjadikan calon tersebut kuat dan kepercayaan yang tinggi bagi menarik pengundi,” jelasnya.
Hisham Mustafa, 43, juga berpendapat bahawa calon PN lebih layak melalui latar belakang kejayaan, pendidikan dan sebagainya.
“Harapan agar dapat melihat perubahan yang lebih baik serta kebajikan rakyat yang lebih terjaga melalui pimpinan yang dipilih,” katanya.
14 Nov 22
233