Artikel "Politik" Terkini
Khairuddin Tewas, Kuala Nerus Kekal 'Hijau'
KUALA NERUS, 19 November - Calon 'underdog' dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Dr Alias Razak memenangi kerusi parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 56,697 undi.
Dalam keputusan yang dikeluarkan di pusat penjumlahan undi Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, hari ini Dr. Alias menewaskan penyandang terdahulu, Dato'Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dari Barisan Nasional (BN) yang memperolehi 26,932 undi dengan majoriti perbezaan 29,765 undi.
Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sebelum ini dikenali sebagai calon 'heavyweight' kerana mempertahankan Parlimen Kuala Nerus sejak PRU13 yang lalu ketika mewakili PAS.
Namun, penduduk Kuala Nerus membuktikan sokongan mereka kekal kepada PAS setelah bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu memilih untuk mewakili BN kali ini.
Selain sentimen parti, kejayaan Dr. Alias dilihat banyak dibantu prestasinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri ketika menangani pandemik COVID-19.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dato' Seri Suhaimi Hashim memperolehi 3,708 undi dan Azaha Wahid daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) memperolehi 291 undi.
19 Nov 22
608
Peti Undi Pulau Redang Tiba Jam 6 Petang
SETIU, 19 November - Tiga beg kuning peti Undi Pulau Redang telah tiba di Padang Astaka Majlis Daerah Setiu pada jam 6.00 petang.
Ketiga-tiga peti Undi itu Dari Pusat Pengundian Pulau Redang telah dibawa oleh tiga ketua tempat mengundi bersama tiga polis pengiring dengan helikopter sewa khas yang bertolak pada jam 5.00 petang dari Lapangan Terbamg Pulau Redang.
Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di Pulau Redang adalah seramai 1,316.
Kesemua pengundi telah melaksanakan tugas berkenaan pada jam 8 pagi dan berakhir tiga petang melalui tiga saluran di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.
Ini merupakan peti Undi yang pertama telah tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom.
19 Nov 22
492
PRU15 : Pengundi Diminta Terima Segala Keputusan
MARANG, 19 November - Semua pengundi dinasihatkan supaya menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan berlapang dada dan tenang.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.
“Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara sopan dan beradap dan saya dapati setakat ini sepanjang berkempen tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara.
“Kita berharap bahawa suasana ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, di sini hari ini.
Tambah Abdul Hadi, penerimaan dan sambutan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN-PAS) menunjukkan perkembangan positif di seluruh semenanjung, dari Perlis sampai ke Johor.
Beliau berkata ia amat menggalakkan khususnya dengan kehadiran anak-anak muda yang keluar mengundi dan ini merupakan satu petanda yang baik.
“Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” katanya.
Abdul Hadi turut mengakui mampu kekalkan kemenangan di Marang berdasarkan peningkatan undi diterima setiap kali pilihan raya.
“Saya menyeru kepada pengundi Islam, pengundi muda untuk keluar mengundi dalam manfaatkan amalan demokrasi ini.
“Dan sebagai orang bukan Islam juga tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin masing-masing,” ujarnya.
19 Nov 22
1873
PRU15: Sempat Mengundi Sebelum Berangkat Tunaikan Umrah
HULU TERENGGANU, 19 November - Walaupun hanya tinggal beberapa jam sebelum terbang untuk menunaikan umrah, seorang pengundi tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kali ini.
A.Rani Mamat, 57, dari Kampung Felcra Bukit Kapah berkata dia bergegas melunaskan tugasnya sebagai pengundi sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan menyertai jemaah lain untuk berangkat ke Tanah Suci selepas Asar.
"Penting untuk saya memilih pemimpin yang layak bagi memimpin negara, jadi tidak ada masalah untuk datang membuang undi sebelum ke lapangan terbang.
"Saya bergerak dari rumah seawal 6.30 pagi dan menjadi orang kedua selepas calon Perikatan Nasional(PN) P038, Datuk Rosol Wahid mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman pada 8.05 pagi tadi," ujarnya.
Dia yang ditemani anak lelakinya berkata, perancangan untuk menunaikan umrah sudah lama dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020.
"Dah lama tertangguh dan kini hasrat saya akhirnya tertunai tapi tetap akan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana ia sangat penting untuk masa depan kita semua," katanya.
19 Nov 22
564
PRU15: 'Lepas Menang Tunai Janji'
KUALA NERUS, 19 November - Itu pesan yang diluahkan Mohamad Ismail, 78, dari Kampung Bukit Datu, di sini.
Beliau yang ditemui bersama isterinya, Asmani Ismail, 65, selepas membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (SKBT) menyatakan, calon yang menang perlu melakukan tugas yang diamanahkan dengan baik.
"Saya sudah tiga kali mengundi dan kita memang kena turun mengundi.
"Siapa yang menang, kena jagalah rakyat yang memilihnya.
"Sebelum ini, mereka merayu undi daripada kita semua sepanjang kempen. Kini, mereka kena tunaikan keperluan yang rakyat minta," katanya.
Sementara itu, Chik Ali, 83, dari Kampung Bukit Tunggal, bersemangat hadir membuang undi sekalipun dengan berkerusi roda.
"Kena turun mengundi, jangan buat malas. Kita kena ambil siapa yang kita mahu untuk memimpin.
"Kita minta- minta calon yang menang dapat buat lebih baiklah sebab telah dipilih," katanya.
Beliau hadir ditemani dua anak dan tiga cucunya yang turut sama membuang undi, hari ini.
19 Nov 22
321
Jangan Tangguh, Keluar Mengundi
KUALA TERENGGANU, 19 November - Semua para pengundi di seru agar jangan menangguh dan keluar mengundi sementara cuaca masih baik pagi ini.
Calon Ahli Parlimen Kuala Terengganu daripada parti PAS, Datuk Haji Amzad Hashim berkata, keadaan semasa baik pada hari pengundian di kawasan ini.
"Pagi ini sebelum saya bertolak ke pusat pengundi, saya singgah rumah ibu saya minta restu ibu dan saya mngundi di sini bersama isteri.
"Jadi saya telah menunaikan tanggungjawab saya mengundi pada hari ini warganegara Malaysia tepat jam 8.30 pagi," jelasnya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Durian Burung, pada hari ini.
Menurutnya, sebanyak tujuh saluran dibuka dan para pengundi tiba di tempat pengundian seawal lapan pagi.
"Ada beberapa peraturan baru yang perlu diamati dari segi kita nak masuk kita diminta tinggalkan telefon.
"Saya anggap ini satu perkara sangat baik kerana ia akan membolehkan pengundi yang lain tidak terganggu. Undi adalah rahsia," ujar beliau.
Beliau turut menyantuni para pengundi dan berpuas hati serta dengan kehadiran keluar mengundi pada pagi ini.
"Saya dapat rasakan tanda-tanda yang baik. Apabila di sesi pagi ini nampak seolah-olah semua mahu keluar awal.
"Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang layak mengundi keluar mengundi beramai-ramai dan proses pengundian berjalan pada hari ini teratur," tambah beliau lagi.
Sementara itu, isteri beliau Datin Dr. Nur Diana Ahmad Takri berkata, beliau selamat membuang undi di saluran lima.
"Saya tengok perjalanan semua lancar. Prosedur sangat teratur dan mudah-mudahan kepada semua turun mengundi awal sebab kita takut faktor cuaca takut hujan dan sebagainya.
"Kepada semua satu sajalah peringatan sebaiknya pakai facemask sebab kita agak 'crowd'. Kalau kita tengok situasi sekarang semua turun di awal pagi.
"Alhamdulillah selamat mengundi semua," tambah beliau.
Justeru itu, beliau berharap kemenangan yang besar untuk Perikatan Nasional di Kuala Terengganu.
19 Nov 22
144
PRU15: Orang Asli Sungai Berua Tunai Tanggungjawab
HULU TERENGGANU, 19 November - Meskipun tinggal di pedalaman, lebih 250 masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) hari ini.
Tok Batin, Rosli Desuh, 47, berkata, sejak jam 8.30 pagi masyarakat org asli dari suku kaum Semaq Beri, memenuhi perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah, untuk membuang undi.
"Kali ini ada penambahan pengundi lebih 100 orang apabila pengundi muda layak menunaikan tanggungjawab mereka.
"Saya arahkan semua yang layak mengundi keluar ke pusat pengundian lebih awal bagi mengelak berlaku keciciran sekiranya mereka tidak keluar dalam satu kelompok," katanya.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai pengundi harus dilaksanakan bagi memilih wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka.
Seorang penduduk masyarakat orang asli yang ditemui, Era Alias, 21, berkata, dia teruja untuk membuang undi buat kali pertama.
"Sebelum ini hanya teman keluarga datang mengundi tetapi hari saya menjadi pemilih untuk menentukan pemimpin yang layak untuk tadbir negara.
"Sejak jam 7.30 pagi kami berkumpul di Kampung Sungai Berua, sebelum bertolak ke pusat pengundian secara beramai-ramai dengan menggunakan kenderaan sendiri," katanya.
19 Nov 22
587
PRU15: Rosol Kekalkan Tradisi Jadi Pengundi Pertama
HULU TERENGGANU, 19 November - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu(P038), Datuk Rosol Wahid menjadi individu pertama membuang undi di Pusat Pengundian Di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman, di sini hari ini.
Rosol yang ditemani isteri, Toh Puan Halipah Ahmad, 59, tiba di perkarangan sekolah pada jam 7.50 pagi.
Beliau selesai membuang undi sekitar pukul 8.04 pagi, sementara isterinya sekitar pukul 8.06 pagi, pada Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) yang berlangsung hari ini.
Rosol yang ditemui pemberita selepas selesai membuang undi berkata, beliau berpuas hati kerana berjaya mengekalkan tradisi sebagai pengundi terawal sejak arwah bapanya masih hidup.
"Saya bersyukur sejak lima penggal yang lalu, sekolah ini menyaksikan saya sebagai orang pertama yang datang menunaikan tanggungjawab membuang undi bersama arwah bapa.
"Kini saya tetap meneruskan apa yang ditinggalkan oleh arwah bersama isteri," katanya ketika ditemui pemberita di SK Bukit Diman, pagi tadi.
Beliau yang juga penyandang kerusi parlimen itu sempat beramah mesra dengan pengundi sebelum memasuki pusat mengundi.
Sementara itu, Rosol berkata 12 adik beradiknya juga membuang undi di pusat pengundian yang sama dan enam anaknya di Sekolah Kebangsaan Telaga.
Semua pusat mengundi mula dibuka pukul 8 pagi dan waktu penutupan pula berbeza mengikut lokasi, namun semua ditutup sepenuhnya pada pukul 6.00 petang.
19 Nov 22
369
Dakwaan Empat Cawangan BERSATU Bubar Hanya Provokasi BN
HULU TERENGGANU, 18 November - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Terengganu menafikan laporan media yang mendakwa empat cawangan BERSATU di daerah itu dibubarkan.
Setiausahanya, Mohd Zawawi Ismail berkata semua empat cawangan BERSATU berkenaan masih wujud dan mempunyai ramai keahlian aktif.
"Laporan yang mendakwa empat cawangan BERSATU iaitu di Kampung (Kg)Bukit Apit, Felda Mengkawang, Pengkalan Ajal dan Kg Payang Kayu dibubarkan adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
"Dakwaan itu hanyalah gimik politik murahan individu terdesak yang berniat jahat untuk menjatuhkan moral serta kesepaduan jawatankuasa dan ahli BERSATU Bahagian Hulu Terengganu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15, esok ," ujarnya.
Menurut Zawawi, individu yang mendakwa cawangan BERSATU dibubarkan dan ditutup adalah ahli jawatankuasa yang bermasalah dan tidak memahami perlembagaan parti serta undang-undang pertubuhan.
"Mereka tiada hak dan kuasa untuk membubarkan atau menutup mana-mana cawangan atau bahagian parti.
"Pengunduran beberapa ahli jawatankuasa cawangan yang bermasalah itu tidak memberi kesan atau menjejaskan parti," katanya.
Jelas Zawawi lagi, Zamani Mamat yang merupakan bekas Setiausaha BERSATU Bahagian Hulu Terengganu telah lama meninggalkan parti selepas tewas kepada Datuk Rosol dalam pemilihan jawatan Ketua Bahagian.
"Alias Abdullah pula adalah bekas Pengerusi Penyelaras BERSATU DUN Ajil yang tidak aktif selepas dilantik sebagai pengurus syarikat perniagaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozi Mamat," ujar beliau.
Dalam masa yang sama, seluruh kepimpinan BERSATU Bahagian tersebut termasuk 15 cawangan turut memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Rosol sebagai Ketua Bahagian yang juga calon Perikatan Nasional-PAS bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu untuk PRU-15.
Justeru itu, pihak yang berkenaan diingatkan supaya tidak membuat kenyataan tidak berasas mengenai BERSATU Hulu Terengganu semata-mata untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu.
18 Nov 22
176
Manifesto Perikatan Nasional Angkat Martabat Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Perikatan Nasional (PN) dilihat sangat serius untuk menjulang dan mengangkat martabat dunia pendidikan melalui manifesto yang dikemukakan.
Antaranya ialah, menaikkan elaun guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) sebanyak 50 peratus ke RM1,500 sebulan dan memperkenalkan Skim Khas penyerapan ke jawatan tetap secara berperingkat bagi mengatasi masalah utama guru-guru terbabit.
Selain itu lagi, memberi dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat untuk menyertai sistem kemahiran T-Vet dan bantuan pengajian awal sebanyak RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, ia bukan retorik kerana dibuktikan melalui apa yang dilakukan oleh PAS di Terengganu yang kini menjadi komponen utama dalam PN selain BERSATU.
"Sangat mementingkan pendidikan yang merupakan pelaburan jangka panjang dan sudah tentu ia bukan menjadi bebanan kepada PN untuk melaksanakan janji-janji manifesto itu yang sudah tentu akan meringankan beban rakyat.
"Juga ia sangat membantu golongan miskin tegar untuk memastikan mereka dapat menghantar anak mereka ke sekolah dengan baik dimana turut berjanji akan menyediakan perkhidmatan bas sekolah dan pusat penjagaan percuma,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UPDI UPDI selepas menghadiri Half Al-Takrim, Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021, Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu, di Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort Terengganu, di sini, semalam.
Justeru kerana itu katanya, rakyat wajar memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 ini kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan memerintah negara.
"Tidak semua perkara dipolitikkan, pada kali ini telah ditawarkan calon-calon yang bersih, tidak terbabit dengan gejala rasuah, salah guna kuasa dan sebarang penyelewengan dan telah terbukti mampu mentadbir di tiga buah negeri, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
"Dari sudut pendidikan Terengganu telah membuktikan bahawa sangat serius untuk melahirkan peneraju kepimpinan di masa akan datang mengikut acuan Islam dengan mewujdukan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) yang kita berhasrat untuk mewujdukkannya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Serta Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang dihasratkan untuk diwujudkan di setiap daerah, kita berharap agar hasrat ini menjadi realiti dengan dikekalkan kerajaan ini untuk terus mentadbir bagi merealisasikan harat rakyat ke arah dunia pendidikan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan generasi masa hadapan," ujarnya lagi.
17 Nov 22
703