lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Terengganu Inc Sumbang RM500,000 Untuk Biasiswa Pelajar Cemerlang
Terengganu Inc Sumbang RM500,000 Untuk Biasiswa Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Syarikat pelaburan utama negeri, Terengganu Incorporated (TI) Sdn. Bhd. bersama-sama anak syarikatnya EPIC Berhad, TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. menyumbang RM500,000 kepada Yayasan Terengganu bagi program biasiswa pelajar cemerlang. Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TI dalam memastikan anak-anak Terengganu mendapat peluang pendidikan terbaik. Sehingga kini, TI telah menyalurkan RM1.5 juta kepada 30 pelajar cemerlang yang terpilih melalui program biasiswa ini. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TI dalam memastikan anak-anak Terengganu mendapat peluang pendidikan terbaik. "Sehingga kini, TI telah menyalurkan RM1.5 juta kepada 30 pelajar cemerlang yang terpilih melalui program biasiswa ini. "Kami juga bertekad untuk meningkatkan jumlah sumbangan kepada RM1 juta bagi tahun 2025," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri; Dato' Satiful Bahri Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Selain biasiswa, beliau turut menjelaskan bahawa TI juga aktif menjalankan pelbagai program komuniti. Baru-baru ini, syarikat tersebut menganjurkan program 'Back to School' di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, membuktikan komitmen mereka terhadap kesejahteraan pelajar di negeri ini. Burhanuddin turut menegaskan bahawa pendidikan berkualiti akan melahirkan bakat yang akan kembali berkhidmat untuk negeri ini.  "Kami percaya pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk negeri ini.  "Dengan jumlah yang lebih besar, lebih ramai pelajar akan menerima manfaat. "Natijahnya, kita akan membawa pulang bakat yang hebat ke Terengganu," ujarnya.
26 Feb 25
490
Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf
Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf
DUNGUN, 22 Februari - Kolej Islam Darul Iman menjadi institusi pendidikan pertama di negeri Terengganu yang dibina berdasarkan konsep wakaf di atas tanah hasil sumbangan orang ramai. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya sangat menyokong penubuhan institusi pengajian tinggi itu sekali gus menyuburkan pendidikan Islam di Terengganu. Ujarnya, insititusi itu akan dibina di atas tanah anugerah kerajaan berkeluasan 70 ekar di Santong berhampiran balai bomba yang dijangka memulakan operasi pertamanya dalam masa dua tahun lagi. "Setelah siap bangunan pentadbiran yang kosnya dijangka hampir 10 juta, akan terus dibuka kerana di situ akan ada dewan kuliah dan sebagainya di samping itu keluasan tanah ini akan digunakan untuk menampung pembinaan satu kompleks yang dilengkapi asrama, masjid dan kompleks sukan. "Di bangunan pentadiran ini juga di samping adanya bilik-bilik kuliah juga akan ada dewan besar dan sebagaiya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, di Jalan Santong, Paka, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata kolej itu dibina berdasarkan konsep wakaf kerana ia menjadi milik orang ramai bukan hak mana-mana individu mahupun kerajaan tetapi institusi milik masyarakat. "Kita turut sama berbangga dan menyokong serta memberikan sumbangan bagi memastikan institusi milik umat kita sendiri ini berjaya dibina,"ujarnya. Tambah beliau, pihak kerajaan negeri juga turut membantu bagi memastikan pengajian yang ditawarkan oleh pihak kolej itu membabitkan peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) untuk Pengajian Islam maka ia telah didaftarkan di bawah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).  
22 Feb 25
528
Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
DUNGUN, 21 Februari - Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu kantin beroperasi seperti biasa ketika di bulan Ramadan adalah tidak wajar sekiranya ia turut melibatkan sekolah yang majoriti pelajarnya adalah beragama Islam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, adalah lebih baik kantin di sekolah kebangsaan tidak dibuka sebagai menghormati bulan yang penuh kemuliaan itu. "Sebagai satu galakan atau dorongan supaya pelajar berpuasa, kalau mereka tidak berpuasa dia akan makan secara sembunyi bagi menghormati pelajar lain. "Sebagai contoh pelajar darjah satu maka ibu bapa yang perlu menyediakan 'bekal' di samping memberikan pendidikan tentang puasa dalam bentuk memberi nasihat. "Kita tidak perlu untuk paksa pelajar darjah satu ini berpuasa tetapi perlu diberi pendidikan agar kemuliaan bulan Ramadan itu dapat dihayati, tetapi saya lihat kebanyakan anak-anak masa kini bepuasa walaupun masih berada di bangku sekolah rendah,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, berhampiran Balai Bomba Jalan Santong,Paka, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata pihak pengusaha kantin sendiri pun tidak ada keperluan untuk meneruskan operasi mereka di bulan Ramadan. "Sebenarnya tidak menguntungkan sangat pengusaha kantin, sebab pelajar ramai yang berpuasa maka sedikit sangat yang pergi makan di kantin. "Jadi tidak padan untuk dia menyediakan makanan, adalah lebih baik mereka cuti dan boleh melakukan pekerjaan lain seperi menjual di pasar Ramadan yang lebih mendatangkan keuntungan,"jelas beliau.
21 Feb 25
190
10 'Bapa Culas' Dipenjara di Terengganu
10 'Bapa Culas' Dipenjara di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Sejak tahun 2012 sehingga tahun 2024 , seramai 10 'bapa culas' dipenjarakan akibat gagal melunaskan pembayaran nafkah anak-anak sebagaimana diperintahkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. Ketua Hakim Syarie Terengganu, YAA Dato' Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, hukuman tersebut dilaksanakan jabatan sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. "Orang yang hendak (diperintahkan) dihantar ke penjara ini ramai, tetapi apabila kita ingin hantar ke penjara tiba-tiba dia boleh bayar, jadi sepuluh orang tadi ialah yang betul-betul tidak mahu bayar dan masuk ke penjara. "Kita ikut apa yang ada dalam peruntukan undang-undang, diantaranya dipenjarakan dan sudah ada yang dipenjarakan kerana gagal membayar nafkah itu. Dalam masa sama juga, bagi yang bekerja kerajaan kita buat bentuk potong gaji, itu peruntukan yang ada. "Dalam menentukan berapa jumlah patut bayar ini, mahkamah telah mengambil kira dari segi keperluan anak dan kemampuan bapa jadi keputusan yang dibuat mahkamah ialah satu keputusan yang bapa mampu bayar. Cuma, masalah sekarang ialah berlaku keculasan membayar apabila telah mendapat perintah," katanya. Beliau berkata demikikan kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Literasi Undang-undang dan Program Penyampaian Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) siri 1 bagi tahun 2025 di Jabatan Kehakiman Syariah, di sini hari ini. Menurut beliau, ada juga perintah yang telah mendapat persetujuan bersama walaupun begitu tetap berlaku keculasan, jadi bentuk pelaksanaan perintah yang ada daripada mahkamah syariah, sama ada bagi sebulan tidak bayar nafkah boleh dipenjarakan sehingga sebulan dan dibuat potongan gaji di bawah Tahanan Tenaga Pendapatan.  "Biasanya, hakim tidak beri sehingga sebulan cuma kita perintahkan, sebab apabila ingin dipenjarakan mereka terus bayar," tambahnya. Wan Mohd Zakri memaklumkan, dalam pemerkasaan syariah bukan sahaja perkara terlibat jenayah tetapi juga isu pematuhan perintah mahkamah yang menjadikan kesalahan suami atau isteri tentang pematuhan arahan mahkamah merupakan satu perkara yang serius dan tidak boleh dipandang mudah. Dalam program berkenaan, seramai 21 ibu tunggal menerima bantuan nafkah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM46,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, mewakli agensi yang menjadi penyumbang utama usaha berkenaan. Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil menyokong usaha dilakukan BSK dalam membantu ibu-ibu tunggal semasa tempoh prosiding mahkamah. "Sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan beban mereka. Kita di bawah kerajaan negeri memiliki banyak agensi dan jabatan yang mengambil bahagian dalam memberi kebajikan kepada rakyat khususnya fakir miskin. "Kalau di peringkat persekutuan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita ada Tabung Darul Iman. Ini salah satu (usaha) yang kita gabung jalinkan semua. Program ini adalah program tahunan yang mana kalau ikut tahun ini jumlahnya lebih ramai, cuma penerima hari ini dalam kategori fakir miskin seramai 21 orang," katanya. "Selain itu, antara mekanisma yang kita ambil di pihak kerajaan negeri bermula tahun ini ialah kita mengadakan karnival indahnya hidup bersyariat. "Karnival ini melibatkan bayak agensi dan jabatan dengan salah satunya kita memberi pengisian dalam topik dan tajuk tertentu untuk beri kesedaran kepada masyarakat termasuk isu-isu yang bekait dengan pengurusan keluarga, talak cerai, nafkah anak dan seumpamanya," katanya.  
17 Feb 25
942
Jabatan Amal Hulu Terengganu Ringankan Beban 20 Anak Yatim dan Anak Miskin
Jabatan Amal Hulu Terengganu Ringankan Beban 20 Anak Yatim dan Anak Miskin
HULU TERENGGANU, 10 Februari – Jabatan Amal Hulu Terengganu telah menghulurkan bantuan kebajikan sosial kepada 20 orang anak yatim dan anak miskin dari daerah ini dalam usaha meringankan beban mereka menjelang sesi persekolahan baharu. Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT), Ustaz Hamdi Harun, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan. Menurutnya, program tersebut melibatkan pembelian pakaian sekolah di Pasaraya Sakan, di mana anak-anak yang terlibat diberi peluang memilih kelengkapan persekolahan mereka dengan bantuan sukarelawan Jabatan Amal.   “Kami berharap bantuan ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak ini dan membantu mereka memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat. “Kami akan terus berusaha menggerakkan program kebajikan seperti ini bagi membantu golongan yang memerlukan. Keprihatinan masyarakat amat penting dalam memastikan mereka tidak terpinggir,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa program kebajikan sebegini  akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat perhatian sewajarnya. Ibu bapa dan penjaga penerima bantuan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jabatan Amal Hulu Terengganu.  
09 Feb 25
415
550 Murid Bakal Masuk Darjah Satu Terima Beg Sekolah
550 Murid Bakal Masuk Darjah Satu Terima Beg Sekolah
BESUT, 8 Februari- Seramai 550 anak-anak yang akan melangkah masuk ke darjah satu menerima sumbangan beg sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu keluarga yang memerlukan, tetapi juga menjadi simbol kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti.  Ujarnya, Pendidikan merupakan asas kepada masa depan yang lebih cemerlang, dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan setiap anak-anak ini mendapat permulaan yang baik di awal alam persekolahan. "Ini adalah salah satu usaha bagi membantu mereka membuat persiapan awal sebelum melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar," katanya semasa ditemui di program tersebut, baru-baru ini Dalam pada itu, beliau turut berharap agar sumbangan kecil ini dapat memberikan kegembiraan serta menyuntik semangat kepada murid-murid untuk belajar dengan lebih tekun.  "Saya mendoakan agar anak-anak kita berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara," tambahnya. Untuk rekod, sumbagan tersebut diberikan kepada semua anak-anak di DUN Hulu Besut yang akan melangkah masuk ke darjah satu tanpa mengambil kira dari kategori asnaf mahupun senang.  
08 Feb 25
91
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
IPOH, 12 Januari - Kebanyakan dilema ibu bapa kelahiran Terengganu di perantauan adalah berkait dengan bantuan pendidikan anak-anak mereka. Antara isunya ialah kesukaran memperoleh bantuan pendidikan disebabkan anak-anak mereka lahir di luar Terengganu, namun tidak mendapat kelebihan negeri tempat lahir berikutan ibu bapa berasal dari Terengganu. Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi kelonggaran untuk memberikan bantuan pendidikan yang diperlukan. "Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan beberapa agensi lain ada menawarkan pelbagai kemudahan untuk pendidikan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa berdasarkan beberapa kelayakan. "Walaupun lahir di negeri lain, anak-anak ini layak memperolehi bantuan ini sekiranya ibu atau bapanya berasal dari Terengganu dan mengundi di sana. "Jadi, nasihat saya sekiranya ibu dan bapa berasal dari Terengganu, maka pasti salah seorang atau kedua-duanya mengundi di Terengganu untuk mengekalkan kelayakan asas ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan dalam sesi dialog di Program Temu Mata Anak-anak Terengganu di Perantauan di sini, hari ini. Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Ladang, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. Untuk makluman, selain bantuan pendidikan Terengganu turut menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan kelahiran Terengganu yang mengusahakan perniagaan di tempat lain. Malah, ketika bencana banjir menimpa Lembah Klang beberapa tahun lalu, kerajaan Terengganu turut memberi bantuan pelbagai bentuk kepada anak-anak negeri yang terkena musibah dalam usaha meringankan beban mereka.  
12 Jan 25
2714
'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?' - Ini Jawapan Peguam
'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?' - Ini Jawapan Peguam
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini mengundang rasa kurang puas hati sebahagian kecil rakyat Terengganu yang hadir hari ini apabila tidak dapat melihat secara langsung ia dijalankan, sebaliknya dimaklumkan hanya sekitar 70 individu dipilih Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu untuk menyaksikannya. Perkara itu bagaimanapun dijelaskan Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Muhammad Hariz Md Yusoff yang menyatakan bahawa pemilihan lokasi hukuman sebat serta proses dilaksanakan sebegitu bagi mematuhi syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran. "Dalam konteks perundangan negara kita ini, kita percaya bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk terdiri daripada golongan Muslim dan bukan Muslim. "Dalam keadaaan ini, kita ingin menjaga haibah (kewibawaan) ataupun kehormatan agama Islam itu sendiri, maka ia dilakukan dalam keadaan tertutup tetapi melibatkan khalayak ramai yang mana orang-orang tersebut ditentukan oleh pihak berkuasa dan kami difahamkan pihak berkuasa ialah Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. "(Keadaan) Ini mungkin satu permulaan, kemungkinan pada masa hadapan lebih banyak prosesnya sebab hukuman sebatan khalayak ramai ini merupakan kali pertama dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan hukuman tersebut, hari ini. Jelasnya, pemilihan lokasi itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah yang digubal secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 2023 (melalui Arahan Amalan No 11 Tahun 2023). Para jemaah masjid menunggu di perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah selepas solat Jumaat untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat khalayak ramai. Selain itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada 16 Disember 2024 telah dibuat dengan mengambil kira semua aspek seperti kesalahan berulang kali oleh pesalah dan bagi memastikan hukuman dijalankan dengan adil, berhemah, dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam serta hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Pelaksanaan ini mencerminkan ketelusan proses kehakiman, sekaligus membuktikan bahawa ia bukan sahaja mengikut kehendak undang-undang tetapi juga menepati nilai-nilai murni  keadilan Islam yang menitikberatkan ihsan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.  
27 Dec 24
38380
Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu - Peguam
Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu - Peguam
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru mahkamah Syariah di negeri-negeri lain untuk mencontohi Terengganu dalam menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan agar perkara berkenaan dapat membuka mata masyarakat, mengarusperdanakan syariah dan menjunjung hukum syarak. Timbaan Presiden PPMM, Muhammad Hariz Md Yusoff turut menyeru semua pihak supaya tidak mengelirukan masyarakat dengan mempolitikkan isu tersebut serta memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman sebatan syariah. "Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada sistem undang-undang negara yang sah, dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat melalui perspektif sempit atau prejudis. "Alhamdulillah, pelaksanaan sebatan syariah tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar meskipun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu. Hasil penyaksian kami terhadap hukuman sebatan tersebut, PPMM dengan tegas menolak tohmahan dan persepsi buruk yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu melanggar prinsip kemanusiaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan sendiri pelaksanaan hukuman enam sebatan kepada pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini. Beliau bersama Setiausaha Agung PPMM, Danial Farhan Zainul Rijal turut menyertai sekitar 70 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwan dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyaksikan pelaksanaan hukuman itu yang berlangsung sekitar jam 2.30 petang. Muhammad Hariz juga menambah, pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka di Terengganu adalah untuk mendidik masyarakat secara kolektif mengenai kepentingan mentaati perundangan Islam. "Tindakan pelaksanaan ini juga memberi mesej jelas mengenai usaha mengekang perlakuan yang bercanggah dengan moral dan etika masyarakat Islam. "Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa," katanya. Mohd Affendi menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai setelah hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.  
27 Dec 24
706
Program 'Ceria Ke Sekolah' TNB Untuk B40
Program 'Ceria Ke Sekolah' TNB Untuk B40
KEMAMAN, 24 Disember - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman menganjurkan program 'Ceria Ke Sekolah 2024' bagi mengagihkan baucer bantuan persekolahan kepada murid-murid golongan B40.  Berlangsung di Kemaman Arena Square semalam, program yang merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) syarikat tersebut memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di negeri Terengganu. Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Haji Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor berkata, TNB menyasarkan murid-murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan pakaian seragam untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan datang melalui program yang dianjurkan. "Program sebegini bukanlah perkara baharu yang dijalankan oleh kami, malah sudah melebihi 10 tahun pihak kami mengadakan program sebegini dalam membantu masyarakat setempat.  "Selain program Ceria Ke Sekolah, pihak syarikat juga mengadakan program Sekolah Amanah dan Sekolah Angkat dalam memperlihatkan kesungguhan kami dalam memajukan bidang pendidikan di negeri Terengganu ini. “Pihak TNB mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan buat para pelajar pada hari ini akan meringankan beban kewangan ibubapa dan berbelanjalah dengan berhemah. Semoga semua pelajar sentiasa beroleh kecemerlangan serta kejayaan untuk masa hadapan diri dan keluarga,” ucapnya lagi.  Turut hadir adalah sebagai perasmi adalah Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Haji Hazri Jusoh. Seramai 300 pelajar yang terpilih dari setiap DUN di sekitar Kemaman yang hadir bersama ibu bapa dan penjaga menerima baucer bernilai RM100 setiap satu daripada TNB Terengganu.
25 Dec 24
376