lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Julang Martabat Pendidikan Islam Ke Tahap Tertinggi
Julang Martabat Pendidikan Islam Ke Tahap Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Kebersamaan antara kerajaan, pendidik dan masyarakat mampu mengangkat martabat pendidikan Islam ke tahap tertinggi. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tugas dan tanggungjawab pendidik bukanlah mudah, sebaliknya penuh cabaran yang perlu ditempuhi dalam usaha melahirkan modal insan berguna kepada masyarakat. "Rintangan harus ditempuhi dengan cekal dan berpegang matlamat yang jelas. Tentunya tugas ini berat dan mengambil masa lama, walaupun begitu ia akan memberi impak positif kepada anak didik khususnya anak-anak Terengganu. "Atas dasar inilah kerajaan negeri melihat perlu ada kesinambungan dan kerjasama erat antara kerajaan, pendidik dan masyarakat bagi memastikan sektor pendidikan berjalan baik. "Konvensyen hari ini yang bertemakan 'Pendidikan Rabbani Teras Kesejahteraan Ummah' merupakan teras utama kerajaan negeri dalam memastikan sektor pendidikan Islam dapat dimartabatkan selaras Terengganu sebagai 'serambi Madinah'," ucapnya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Dan Majlis Penyampaian Anugerah Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2021, di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini. Turut hadir, pegawai kewangan negeri; Zainal Abidin Mohamad, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT); Mat Azmi Arshad Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat  dan timbalannya, Maliaman Kassim. Dalam pada itu Satiful turut merakamkan penghargaan kepada penerima anugerah yang terpilih dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) yang diketuai pengarahnya, Lothman Awang dalam menjayakan konvensyen tersebut. "Hari ini, 14 tokoh pendidik diberikan anugerah sebagai penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan negeri terhadap para alim, ulama, pendidik, guru-guru yang bekhidmat tidak mengira pendapatan kewangan dan sebagainya, atas usaha dan tanggung jawab, amanah mereka sebagai pewaris nabi yang dipusakakan ilmu pengetahuan. "Kita harap ini pelaburan terbaik untuk kita kembali kepada Allah SWT dan terima kasih kepada semua jabatan termasuk JPINT yang berusaha terus mengangkat martabat pendidikan islam di Terengganu ini," katanya. Dalam majlis berkenaan, seramai 14 tokoh pendidik menerima anugerah daripada kerajaan negeri dengan sumbangan penghargaan bernilai RM1,000 bagi setiap kategori.       
06 Jan 22
992
'Terima Kasih Terengganu, Sekolah Kami Kembali Ceria'
'Terima Kasih Terengganu, Sekolah Kami Kembali Ceria'
TEMERLOH, 30 Disember - Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Islam At-Taqwa terharu dengan kerja keras sukarelawan Terengganu yang membersihkan institusi tersebut sehingga boleh kembali beroperasi seperti biasa. Guru Besarnya, Khairul Azwan Zamri berkata, kerja pembersihan lumpur dan sisa banjir oleh 38 sukarelawan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu membolehkan SRA At-Taqwa dibuka pada pada 10 Januari depan. Katanya, sejak empat hari pihaknya juga telah berusaha membersihkan 13 blok bangunan daripada kesan banjir namun tenaga yang terhad menyukarkan operasi. “Pada khamis lalu, paras air naik tinggi sehingga ke paras atap sekolah, hampir menenggelamkan kelas, blok pra sekolah, tandas, pejabat dan bilik guru.Alhamdulillah kerjasama sukarelawan ini meringankan beban kami. “Terima kasih kepada warga Terengganu terutamanya tenaga pengajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu daripada Dungun, Kuala Berang dan Kemaman kerana terus komited bergotong-royong bagi membolehkan 335 orang pelajar kembali untuk sesi hadapan. “Kebanyakkan kelas juga semakin pulih dengan beberapa tempat lagi belum selesai, semasa air naik barangan kelas sempat dialih oleh guru-guru disini dengan kebanyakkan kerosakan hanya melibatkan perkakasan elektrik seperti kipas dan lampu,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemu bual pemberita semasa Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021 di Kampung Paya Kecil, kelmarin. Sementara itu, wakil Jabatan Pendidikan Pahang, Yahaya Taib turut menyuarakan penghargaan kepada sukarelawan Terengganu dipimpin oleh rombongan Sekolah Imtiaz. “SRA Islam At-taqwa ini antara dua sekolah agama termasuk Maahad Tahfiz Islamiyah yang terjejas teruk di Temerloh di samping 24 buah sekolah lain lagi di sini,” katanya yang juga daripada Sektor Pendidikan Islam JPP.
30 Dec 21
2301
PETRONAS Sumbang Zakat RM79,900 Kepada Sekolah Agama
PETRONAS Sumbang Zakat RM79,900 Kepada Sekolah Agama
KEMAMAN, 22 Disember – PETRONAS Peninsular Malaysia Assets (PMA) melalui Badan Kebajikan Kakitangan Islam PETRONAS (BAKIP) menyampaikan sumbangan zakat kakitangan PETRONAS berjumlah RM79,900 kepada empat buah sekolah agama terpilih di daerah tersebut. Pengurus Besar Kanan PMA, Hafiz Azzad Zubir berkata, sumbangan berbentuk wang tunai kepada 239 pelajar dan guru itu diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka. “Sebagai sebuah syarikat yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan pendidikan di negara ini, kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat menolong mereka dalam apa jua urusan berkaitan pendidkan dan kebajikan pelajar di sini. "Sumbangan zakat tersebut adalah hasil kerjasama yang dijalankan di antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan PETRONAS. "Melalui kerjasama tersebut, BAKIP dilantik sebagai wakalah zakat yang berperanan mengagihkan zakat yang dikeluarkan oleh kakitangan PETRONAS kepada MAIDAM pada tahun 2021," katanya semasa majlis ringkas di Markaz Dirasat Al Islamiah, Kampung Semanyor, Kemasik baru-baru ini. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi dan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.  
22 Dec 21
1191
Tumpuan Sama Rata Kementerian Pendidikan Kurangkan Jurang Perbezaan
Tumpuan Sama Rata Kementerian Pendidikan Kurangkan Jurang Perbezaan
KUALA LUMPUR, 14 Disember– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di gesa agar memberikan tumpuan sama rata kepada sekolah-sekolah di luar bandar agar pembangunannya seimbang dengan institusi pendidikan berkenaan yang berada di bandar bagi mengurangkan jurang perbezaan.  Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata ia termasuk dalam menyediakan fasiliti bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa serta selamat, dimana KPM perlu menyegerakan peruntukkan untuk membaikpulih fasiliti-fasiliti yang telah usang bagi sekolah di pedalaman. “Saya ingin membangkitkan isu yang berkaitan dengan baikpulih sekolah luar bandar seringkali terlewat menerima peruntukkan, ianya membimbangkan kerana kerosakkan yang berlaku boleh mengancam keselamatan murid dan warga sekolah bahkan terdapat juga sehingga ke hari ini masih belum diterima. "Diantara masalah yang dihadapi ialah kerosakan pada litar pemasang elektrik yang mana kerosakkan dialami itu menelan kos yang besar untuk dibaik pulih dan juga didapati sistem perpaipan yang terlalu lama juga perlu diperbaiki. "Perkara ini membawa implikasi besar. Kerana bil air sekolah melambung tinggi, mencecah ribuan ringgit akibat terdapat banyak tempat kerosakkan yang tidak diperbaiki segera.Begitu juga dengan komputer yang berada di pejabat dan bilik khas, fasiliti-fasiliti ini perlu di naiktaraf dengan kadar segera," ujarnya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam. Tambah beliau lagi,  apa yang berlaku pada hari ini, makmal sekolah, sekolah luar bandar telah usang dan sesetengah kes hampir runtuh bahkan bangunan-bangunan bagi pembelajaran vokasional menengah atas juga memerlukan bangunan baru agar proses pengajaran dan pembelajaran kondusif dan berkesan. “Saya juga ingin membangkitkan berkenaan kerosakan pagar di SK Chalok, di Setiu akibat dilanda banjir. Sudah dua kali banjir melanda, setakat hari ini masih belum dapat dibaiki. Saya memohon agar kementerian dapat menyalurkan peruntukkan bagi masalah-masalah yang telah saya bangkitkan, bagi memastikan kemudahan infrastruktur sekolah luar bandar khususnya, diperkasakan sekaligus hak pelajar luar bandar untuk mengecapi pendidikan yang sempurna tercapai,"ujarnya. Dalam pada itu katanya, cadangan untuk melantik warden bukan daripada kalangan guru juga sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak kementerian. "Jika sekiranya ia tidak dapat dipertimbangkan, saya cadangkan supaya elaun warden di kangan guru ini dapat ditingkatkan bagi menaikkan semangat mereka untuk bertugas," ujarnya
14 Dec 21
546
Graduan PSMZA Terima Diploma Secara Hibrid
Graduan PSMZA Terima Diploma Secara Hibrid
DUNGUN, 14 Disember - Menyedari penularan COVID-19 masih belum reda sepenuhnya, pihak pengurusan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah mengadakan majlis konvokesyen secara hibrid membabitkan 1,152 graduan diploma. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Mohamad Amin  Hamat, berkata pihaknya terpaksa berbuat demikian, mengadakan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Kali Ke -18 secara hibrid  memandangkan keselamatan graduan menjadi keutamaan. "Konvokesyen PSMZA kali ini telah mengangkat tema “Graduan Politeknik Aspirasi Pendidikan Gemilang” yang menyaksikan kebolehan dan pencapaian pelajar- pelajar politeknik telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.  "Penguasaan para pelajar dalam pelbagai kemahiran telah meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik sekaligus menjadi  contoh terbaik dalam bidang pendidikan amnya dan pendidikan TVET(Pendidikan dan Latihan Teknik & Vokasional)   khususnya.  " Kepercayaan besar ini diasaskan daripada usaha berterusan tenaga pengajar dan komitmen para pelajar yang sentiasa  bersedia mempersiapkan diri menghadapi cabaran dalam bidang pendidikan yang semakin kompleks," katanya.  Mohamad Amin berkata demikian ketika  mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) , Zainab Ahmad di majlis gilang gemilang yang diadakan secara bersemuka di salah sebuah hotel di sini sekaligus meraikan graduan PSMZA, penerima - penerima Anugerah Kecemerlangan dalam kategori masing-masing.  Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail berkata mereka yang berjaya mendapat penganugerahan diploma adalah bagi pengajian sesi Disember 2019 dan  Jun 2020 yang bermula pada 12 hingga 16 Disember. 2021.  "Majlis Konvokesyen hari ini( hari pertama) adalah untuk penyampaian anugerah kepada graduan-graduan cemerlang dan manakala hari  berikutnya nanti akan diadakan di kampus PSMZA secara maya." jelasnya dalam ucapan alu-aluan di majlis yang sama.   
14 Dec 21
1595
Terengganu Tidak Hanya Fokus Pinjaman Tanpa Riba
Terengganu Tidak Hanya Fokus Pinjaman Tanpa Riba
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Pematuhan syariah di Terengganu tidak hanya terhad kepada pinjaman pelajaran semata-mata. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua aspek di negeri ini berlandaskan pematuhan syariah. "Tidak hanya pinjaman pelajaran tanpa riba yang kita wujudkan dibawah Yayasan Terengganu, kita juga akan memastikan semua aspek akan terlibat dalam pematuhan syariah ini termasuk aktiviti sukan di negeri ini. Tambah Satiful, Terengganu juga akan memastikan semua aktiviti urusniaga melibatkan anak syarikat milik kerajaan negeri mesti patuh syariah. "Jika anak syarikat ini perlukan pinjaman, mestilah pinjaman yang patuh syariah," katanya dalam Program Ziarah Mahabbah Pendidikan ke Terengganu. Tuan Guru Syeikh Wan Izzuddin Wan Ibrahim bersama Tuan-tuan guru pondok Hadir sama dalam program tersebut, guru-guru dari Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah dan Sekolah (Kafa) Integrasi Al-Mujahideen, Selangor seramai 100 orang.  Peserta Program Ziarah Mahabbah  
13 Dec 21
438
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Tiada masalah keciciran murid sekolah yang berlaku di Terengganu disebabkan kemiskinan keluarga terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, semua pihak memainkan peranan dalam memastikan pelajar negeri ini dapat meneruskan pelajaran dengan baik. “Kita sentiasa membuat pemantauan, tidak berbangkit isu keciciran pelajar ketika pandemik COVID-19 kerana pihak kerajaan, swasta, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lain-lain pihak sentiasa membantu termasuk menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa. “Termasuk pemberian data internet, telefon pintar dan sebagainya ketika pelajar terpaksa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, TER, hari ini. Walau bagaimanapun Satiful berkata, tidak dinafikan kemungkinan terdapat pelajar yang masih tidak hadir ke sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap situasi COVID-19 ketika ini. “Tiada isu keciciran pelajar ini negeri ini. Kemungkinan yang tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu hantar lagi. Kita pun tidak ambil tindakan, kecuali calon peperiksaan seperti SPM, STPM mereka hadir untuk selesaikan sukatan,” ujarnya.  
09 Dec 21
1015
PSMZA Bantu Tambah Keperluan Darah
PSMZA Bantu Tambah Keperluan Darah
DUNGUN, 7 Disember - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terus aktif membantu unit  tabung darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menampung keperluan darah. Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA itu berkata pihaknya bersedia menjadikan Program Derma Darah sebagai program tahunan  instituisi  berkenaan. Katanya,apa yang dianjurkan  setiap semesta sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan, pelajar - pelajar dan komuniti sekitar. "PSMZA berjasama dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu mengadakan Program Derma Darah bertempat Dewan Dagang PSMZA  yang diadakan selama dua hari bermula 6 hingga 7 Disember 2021," katanya ketika dihubungi. Katanya, HSNZ mensasarkan 300 beg darah selama program dua hari ini.  " Kebiasaannya PSMZA sentiasa melebihi sasaran. PSMZA adalah diiktiraf sebagai penderma aktif dalam kalangan IPTA di Terengganu, " katanya. 
07 Dec 21
630
TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat
TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat
KUALA TERENGGANU, 3 Disember-  TDM Berhad melalui bahagian perladangannya, TDM Plantation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti  Kolej TATI (UCTATI) untuk meningkatkan produktiviti dan operasi syarikat melalui teknologi mekanisasi dan perkongsian kepakaran inovasi.  Pada majlis MoU yang berlangsung di Hotel Permai semalam, TDM Plantation diwakili  Penasihat Perladangan TDM Jalaini Che Kar dan Ketua Pegawai Eksekutif  TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim. Manakala  UCTATI diwakili rektornya Profesor Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Profesor Madya Ts. Dr.Rosliza Ramli. Turut menyaksikan MoU tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat dan  Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin. Menurut Hamdan, kerjasama itu merupakan satu peluang bagi syarikat untuk mendapatkan pandangan dalam bidang inovasi teknologi dan mekanisasi, serta automasi daripada pemain industri yang berpengalaman dan berkebolehan tinggi. "Peluang ini membolehkan syarikat menambah baik operasi melalui kemajuan teknologi, seterusnya memastikan pergerakan syarikat selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 dan Internet of Things (IoT). “TDM Plantation Sdn Bhd bukan sahaja bertujuan untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekosistem perladangan, tetapi juga untuk memastikan sistem sokongan yang baik dapat disediakan. Ini termasuklah infrastruktur, kemudahan, latihan dan ilmu pengetahuan yang berkaitan untuk mekanisasi operasi perladangan, menyelesaikan masalah kekurangan tenaga yang semakin meruncing di ladang dan memastikan syarikat kekal berdaya saing, terutamanya ketika mengharungi wabak pandemik kini," ujarnya. Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing. Dalam tanggungjawab yang dipersetujui, UCTATI akan memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan berhubung dengan inovasi dan mekanisasi aktiviti operasi perladangan, penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat berkenaan inovasi dan mekanisasi perladangan, perkongsian hasil penyelidikan untuk faedah komersial bagi kedua-dua pihak dan mana-mana bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama. Sementara itu, Dr Anuar berkata, dengan rangkaian pakar berkemahiran tinggi yang cekap, lengkap dengan keupayaan dalam pelbagai bidang teknikal, pihaknya yakin untuk menyokong TDM Plantation Sdn Bhd kearah merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya.  “Kami mengharapkan hasil positif daripada gabungan keupayaan TDM Plantation Sdn Bhd dengan kepakaran teknikal UCTATI. Kita juga bersedia membantu pihak mereka dalam menangani cabaran masa kini dan jangka panjang yang boleh mengganggu momentum syarikat, termasuk dalam usaha mengurangkan beban kerja yang intensif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia melalui mekanisasi dan automasi teknologi,” katanya. TDM Plantation Sdn Bhd sebelum ini memeterai perjanjian dengan Edaran Badang Sdn. Bhd. bagi mendapatkan jentera Mechanical Buffalos untuk kegunaan ladang.
03 Dec 21
631
Ibu Tunggal Gembira Kecaknaan Kerajaan
Ibu Tunggal Gembira Kecaknaan Kerajaan
  DUNGUN, 2 Disember -  "Pemberian bantuan persekolahan RM100 cukup bermakna bagi saya dan anak-anak sebagai persediaan masuk sesi baharu pada Mac tahun depan," kata Ibu tunggal Aminah Kori, 37 Katanya, nilainya kecil bagi orang, tetapi bagi dirinya cukup besar, boleh mengantikan baju sekolah lama kepada yang  baru, ."Sejak saya berpisah dengan suami,  kehidupan saya dan anak-anak terjaga, saya tak rasa kesempitan, macam hari ini, anak saya dua orang dapat bantuan RM100 seorang," katanya yang juga seorang suri rumah,  Aminah yang mempunyai empat orang anak itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 2021 di Dewan Al-Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini kelmarin.   Aminah bersama dua orang anaknya (anaknya yang berbaju merah itu adalah seorang autism)    Anak-anaknya adalah antara  1,868 orang penerima terpilih dalam Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang menerima bantuan berkenaan.  Manakala ibu tunggal kepada 12 orang anak, Rogayah Kadir, 55 merasakan keberkatan berada di bawah kerajaan yang mengambil berat syariat Islam. "Rasa syukur sungguhlah, anak - anak pun terjaga, nak masuk 'U'(Universiti Malaysia Terengganu) baru ni dapat bantuan, ni dapat bantuan anak sekolah pulok, dahlah JPKK pun ada hantar sokmo barang dapur, murah hati sungguhlah, " katanya yang kematian suami sejak 2014. Sementara itu, ADUN Rantau Abang, Alias Harun berharap bantuan tersebut digunakan sebaiknya untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.  " Berfikir dulu sebelum berbelanja, jangan gunakan bantuan ini untuk perkara yang tidak perlu, mentang - mentang ada duit, kita beli ini, itu sedangkan, ianya bukan keperluanpun," katanya di dalam ucapan ringkas di majlis tersebut. Turut hadir di majlis tersebut ialah Penghulu Mukim Sura, Muhammad Afif Ismail dan Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar. 
02 Dec 21
279