Artikel "Pendidikan" Terkini
Ibu Bapa Perlu Sedarkan Anak
DUNGUN, 15 Februari - Ibu bapa diharap agar sentiasa memainkan peranan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerjasama dengan pihak sekolah dan agensi-agensi kerajaan boleh meningkatkan tahap kefahaman, pengetahuan dan kesedaran berkaitan masalah penyalahgunaan dadah.
"Ia juga dapat mewujudkan rasa kepentingan seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita dan dapat menyemaikan semangat mendisiplinkan diri serta menjaga kesihatan," katanya.
Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program #LebihBaikCegah Sempena Bulan Antidadah Kebangsaan 2022 anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Dungun, Skuad Antidadah Dungun di Taman Rekreasi Bukit Chatak 2 di sini bar-baru ini.
Program sempena Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2022 yang berbentuk 'jungle trekking' berinformasi itu adalah juga dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Bukit Chatak Tengah, Pemuda Bukit Chatak 2, Kumpulan Rukun Tetangga(KRT) Bukit Chatak dan Mc'Donalds Dungun.
Katanya, penglibatan 100 orang murid Tahun Enam dari sekolah-sekolah sekitar Bandar Dungun program yang memberi informasi dan pendedahan bagi pembentukan sahsiah dan jati diri dengan membangunkan kemahiran kendiri dalam tempoh pendidikan formal.
"Semoga anak - anak pelajar sentiasa dijauhi dari segala gejala yang tidak baik ini. Moga dalam rahmat Allah swt. Insya-Allah," katanya.
15 Feb 22
325
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
KUALA NERUS, 14 Februari – Sejak ditubuhkan pada 2014, Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa berada di barisan hadapan dalam menarik pelajar antarabangsa dari seluruh dunia sekali gus mempopularkan Terengganu sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia.
Pengarahnya, Anuar McAfee, berkata universiti itu telah berkembang pesat dari segi pengambilan antarabangsa berbanding zaman Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) hasil sebaran dari mulut ke mulut, kemajuan fasiliti universiti dan persekitaran negeri yang aman.
“Apabila saya memegang jawatan (sebagai pengarah) 8 tahun lalu, antara persoalannya adalah bagaimana kita boleh menarik orang luar ke sini kerana ramai antara mereka lebih gemar tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Namun begitu, Pusat Antarabangsa dan kemasukan kami berkembang setiap tahun walaupun berdepan saingan daripada universiti pantai barat, bermula dengan 200 orang pelajar meningkat kepada 600 sehingga hari ini dengan lebih 1,170 pelajar dari 40 negara.
“Jika bertanya kepada mereka (pelajar), kebanyakkan menyatakan keterujaan tinggal di Terengganu, menyifatkan ia sebagai tempat yang kondusif untuk belajar, tenang, selamat, murah untuk didiami dengan kualiti pendidikan bertaraf dunia di UniSZA,” katanya yang juga pensyarah Bahasa Inggeris berasal dari Kanada.
Jelasnya, antara faktor lain yang menarik minat warga asing untuk datang dan melanjutkan pengajian tinggi, adalah disebabkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan yang sentiasa terjalin.
“Sesetengah pelajar lebih suka tinggal di sini berbanding pantai barat, melihat UniSZA lebih kecil berbanding 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain.
“Pada permulaannya, kebanyakan kemasukan adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan lain-lain sehingga pertengahan 90-an dengan mahasiswa China yang mengambil pengajian Islam. Namun pada 2006, kami terpaksa melakukan pengemaskinian besar apabila KUSZA dinaiktaraf sebagai Universiti Awam.
“Kini dengan fakulti baharu, program, pengembangan dalam penyelidikan, pengantarabangsaan bermula secara beransur-ansur sehingga UniSZA menjadi pilihan utama terutamanya di kalangan warga Jordan, Indonesia, Nigeria dan ramai lagi melalui pemasaran dari mulut ke mulut,” tambahnya.
Tambahnya ketika ditemubual pemberita, dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar, anjuran program pelajar antarabangsa dan masyarakat adalah cerah dengan program pertama tahun ini ialah pembersihan pantai Seberang Takir.
“Kami berharap jurang antara rakyat Terengganu tempatan dan siswazah antarabangsa akan berkurangan, menerusi lebih banyak aktiviti seperti dengan masjid awam, program alam sekitar dan banyak lagi.
"Ini bukan sahaja membuka peluang untuk ikatan antara budaya tetapi juga meningkatkan ekonomi tempatan dan pelancongan untuk negeri ini," katanya lagi.
14 Feb 22
866
Terengganu Salur RM15 Juta Biasiswa Pelajar Sejak 2019
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) sudah menyalurkan biasiswa sebanyak RM15 juta kepada 601 pelajar cemerlang negeri terbabit sejak 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif itu bagi membantu golongan berkenaan meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama sama ada dalam mahupun luar negara.
“Sehingga kini 84 orang daripada 601 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah menerima Skim Pelajar Cemerlang bagi mengikuti program, pengajian luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, , kejuruteraan, sains, perakaunan serta al-Quran dan Qiraat.
“Bagi mereka yang tidak berjaya mendapat biasiswa ada disediakan Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera bagi memastikan lebih ramai anak-anak dari negeri ini akan berjaya menyambung pengajian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara bagi tahun 2022, di Pejabat Yayasan Terengganu, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengarah YT, Dato' Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim serta Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh.
Pada majlis berkenaan, seramai tiga penerima biasiswa SPC buat pertama kalinya akan menjadi pelajar yang akan dihantar ke Australia, Tuan Nurain Nadhirah Tuan Kob dan Iffah Nabilah Shahidan akan ke University Of Melbourne dalam bidang 'Commerce (Accountancy), manakala Mohamad Shafiq Akram Shafee ke Universiti Monash bagi menyambung pengajian dalam bidang farmasi.
Satiful memaklumkan, nilai keseluruhan biasiswa yang diterima oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan adalah berjumlah RM 1.9 juta membabitkan tempoh pengajian selama tiga hingga empat tahun.
"Memilih Australia pada kali ini kerana kita ingin mempelbagaikan ruang pengajian ke lebih banyak negara sama ke United Kingdom, New Zealand, Korea dan sebagainya tidak hanya ke negara timur tengah dalam bidang pengajian Islam sahaja tetapi turut melibatkan bidang pengajian lain,” tambah beliau.
08 Feb 22
625
SPM Titik Permulaan Kehidupan Baru
KUALA NERUS, 8 Februari - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya dianggap sebagai peperiksaan pendidikan terakhir namun perlu dilihat sebagai satu titik mula kehidupan baru yang lebih mencabar setelahnya.
Menjelaskan kenyataan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan peperiksaan awam tersebut yang bakal ditempuhi juga merupakan sebagai saat penting dalam menentukan hala tuju masa hadapan para pelajar.
"Ini bukan titik akhir namun anggaplah ia sebagai pemula kehidupan baru menempuhi cabaran yang pelbagai setelahnya.
"Contohnya, kitaran kehidupan dari sudut ekonomi, jadi siapa lagi yang diharapkan untuk mendokong sektor negeri ini selain dari remaja belia yang cekap, bijak dan berpengetahuan untuk mengawal keseluruhan kitaran yang ada di sekeliling ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pelajar dan tetamu undangan ketika menyempurnakan perasmian penutup Tuisyen Rakyat di Dewan Felda Ehsan Wilayah Kelmarin, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, ilmu yang dipelajari juga mempunyai kuncinya iaitu setiap pelajar haruslah memiliki sifat jujur dan amanah.
"Namun, apabila kedua-dua sifat tersebut tidak dipraktikkan, tiadalah nilai sebenar ilmu tersebut dan tidak mustahil akan mudah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.
"Generasi akan datang diharapkan menjadi generasi berilmu, berpengetahuan, beramanah dan menjadi generasi yang memiliki tanggungjawab yang tinggi kepada Allah dan juga manusia," katanya lagi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.
Beliau turut berpesan agar para pelajar menjadikan keputusan yang bakal diperolehi kelak sebagai satu titik permulaan bagi sebuah kehidupan yang jauh lebih mencabar pada masa akan datang, bukannya titik pengakhiran dalam kehidupan adik-adik.
Untuk pengetahuan, program tuisyen rakyat kali DUN Tepoh tahun ini dibaratkan seperti tuah buat para pelajar SPM kerana diadakan sebuah universiti terkemuka di Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, sekaligus memberi peluang kepada anak-anak pelajar merasai suasana dewan belajar di menara gading.
07 Feb 22
448
Kerajaan Negeri Suntik Semangat Pelajar SPM
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Persediaan akhir pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihangatkan lagi dengan inisiatif program motivasi pelajar anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Menurut ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi program motivasi berkenaan merupakan rentetan daripada program Tuisyen Rakyat DUN Batu Buruk yang telah diadakan pada 3 Februari yang lalu.
Antara peserta program motivasi
“Program yang kita adakan ini merupakan usaha untuk membantu anak-anak pelajar kita agar berjaya dalam peperiksaan SPM yang akan akan dihadapi nanti.
“Apa yang penting ialah kita berusaha, niatkan ikhlas kerana Allah SWT dan berdoa supaya dipermudahkan untuk memahami dan menjawab soalan nanti,” pesannya dalam ucapan majlis penutup program motivasi tersebut.
Program tersebut telah diadakan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai dan disampaikan oleh pakar motivasi, Mohamad Mizan Mohd Nor.
Ustaz Mohamad Mizan menyampaikan motivasi kepada pelajar
Dalam pada itu, Program Tuisyen Rakyat bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik diadakan baru-baru ini telah diadakan disertai seramai 90 orang pelajar.
05 Feb 22
432
160 Pelajar Terima Manfaat Tuisyen Rakyat DUN Tepoh
KUALA NERUS, 2 Februari - Seramai 160 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan Tepoh telah terpilih untuk menyertai Tuisyen Rakyat sebagai usaha kearah memperkasakan ilmu para pelajar menghadapi peperiksaan awam tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penempatan kelas tuisyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan satu tuah buat pelajar dengan persekitaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mampu menyuntik semangat mereka untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
"Calon peperiksaan SPM yang terpilih menyertai Tuisyen Rakyat diharapkan dapat menggunakan peluang ini sebaiknya untuk meningkatkan penguasaan mata pelajaran seterusnya meraih keputusan peperiksaan SPM yang cemerlang bagi peringkat Negeri Terengganu.
"Inisiatif ini yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs Tepoh) merupakan salah satu usaha pihak Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu para pelajar menguasai mata pelajaran.
"Disamping itu, ia memastikan semua pelajar dapat meraih keputusan peperiksaan yang lebih membanggakan" kata Hishamuddin ketika ditemui media.
Terdahulu, selain tuisyen biasa, dua kelas elit turut dibuka bagi pelajar yang mengambil subjek Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Perjalanan tuisyen rakyat ini mendapat sokongan sepenuhnya pihak SMKA Dato' Haji Abbas, SMK Kompleks Gong Badak, SMK Bukit Guntong dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT).
Manakala itu, program motivasi dan majlis penutup akan diadakan pada 5 Februari 2022 di Dewan Ehsan Felda Wilayah Timur.
02 Feb 22
318
Pasangan Suami Isteri Terima Diploma Arwah Anak
KUALA NERUS, 27 Januari- Pasangan Ahmad Badri Abd Wahid, 54, dan Zubaidah Mohd Yusof, 54, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri mengambil diploma anak ketiga mereka pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kuala Nerus, hari ini.
Ahmad Badri, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena, Selangor menerima diploma bagi pihak anaknya, Ahmad Wafi, 22, graduan Diploma Pengajian Islam (Al Quran dan As Sunnah) yang meninggal dunia pada 9 Disember 2020 akibat serangan jantung ketika bermain futsal.
Ketika itu, Ahmad Wafi sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana muda Usuluddin dengan Kaunseling untuk semester pertama di UniSZA pulang ke kampungnya di Sungai Besar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahmad Badri berkata, walaupun sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri, dia dan isterinya gembira kerana arwah tetap mengharumkan nama keluarga walaupun dia sudah tiada.
"Kami teruja untuk hadir ke majlis hari ini dan seronok melihat rakan-rakan arwah meraikan kejayaan masing-masing meskipun anak saya tiada bersama.
"Dia anak yang baik dan tidak menyusahkan. Saya bangga dengan dia sebab memilih pengajian dalam bidang agama sama seperti saya dan isteri,” katanya.
Diploma berkenaan telah disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.
Seramai 3,345 graduan UniSZA diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu.
27 Jan 22
1294
Tuah Rezki Putri Uda Mahu Jadi Contoh Bangsa Muda Orang Asli
KUALA NERUS, 27 Januari- “Saya sangat gembira dan bersyukur serta mahu menjadi contoh yang terbaik untuk bangsa muda orang asli," kata Tuah Rezki Putri Uda.
Tuah Rezki, 23, menerima Diploma Pengajian Bank yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Fadzli Adam bersama 254 graduan yang lain di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12, di sini, hari ini.
Tuah dari suku kaum Semai merupakan anak kelima dari enam beradik kini menyambung pegajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dan Rekreasi di UKM, Bangi.
Bapa Tuah, Minit a/l Bah Los, 59, dan ibunya, Juliana a/p Bah Uda, 54, tidak dapat hadir pada majlis konvokesyen kerana tiada kenderaan dan perjalanan yang agak jauh.
“Walaupun saya datang seorang diri, saya tetap bangga kerana dapat menamatkan diploma dan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda demi mengubah nasib hidup keluarga saya.
“Sepanjang pengajian diploma banyak perkara yang saya belajar sendiri dari segi pelajaran, pengurusan kewangan, pengurusan diri dan berkomunikasi dengan rakan-rakan," katanya yang berasal dari perkampungan orang Asli Chenderong Kelubi, Perak.
Katanya lagi, menjadi seorang perempuan Orang Asli yang berpelajaran tinggi dan berkarier adalah impian Tuah agar dapat menjadi contoh untuk diikuti oleh orang asli yang lain.
“Saya tidak pernah malu menjadi orang asli sebab saya nak orang asli ini setara dengan bangsa yang lain”, katanya yang bercita-cita menajdi seorang pensyarah.
27 Jan 22
378
Graduan Cina Terima PhD Pendidikan Di Fakulti Pengajian Islam
KUALA NERUS, 25 Januari- Seorang graduan berbangsa Cina menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, kelmarin.
Datuk Dr. Ang John Sun, 55, berkata, dia begitu gembira kerana dapat menunaikan amanat mendiang ibunya yang memintanya menyambung pengajian sehingga peringkat PhD.
“Ibu saya teringin sekali melihat saya mendapat PhD dan hari ini saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian dia walaupun sudah tiada.
“Sedih juga sebenarnya kerana semasa mendaftar Phd di UniSZA, dia datang menemani saya dan dia sangat gembira saya melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD,” katanya.
Katanya lagi, tinggal bersama masyarakat Melayu membuatkannya sentiasa berkomunikasi bahasa Melayu dengan fasih serta minat mendalami ilmu Pendidikan Islam.
“Saya mula pengajian PhD pada tahun 2018 dan sebelum ini Sarjana Sains di UPM dan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan di USM.
“Masa SPM saya ambil mata pelajaran Pendidikan Islam dan sekarang pun saya mengajar Bahasa Melayu di sekolah," katanya yang juga Ketua Bidang Bahasa di SMK Badak Bachok, Kelantan.
Bapa kepada anak kembar lelaki dan perempuan itu hadir ke majlis konvokesyen bersama isterinya, Datin Kee Hui Bin, 50.
25 Jan 22
776
Dunia Pendidikan Lebih Memahami Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - "Dunia pendidikan ini banyak mengajar untuk lebih memahami situasi masyarakat dan keadaan persekitaran," jelas seorang penerima anugerah Tokoh pendidik peringkat Negeri, Noorzila Mohamed.
Menurutnya yang juga seorang ustazah berusia 48 tahun, guru ibarat petani yang sentiasa memastikan tanamannya subur tanpa gangguan musuh.
"Alhamdulillah, rezeki dari Allah. Sebenarnya anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada saya untuk terus berdakwah.
"Berperanan sebagai daie, mengajak masyarakat,terutama muslimat terus mencintai ilmu dan beramal dengan Islam," katanya ketika dihubungi pada hari ini.
Beliau yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Manir telah bertugas sebagai seorang guru sejak tahun 2005.
Noorzila menyifatkan cabaran ketika mendidik masyarakat untuk menjadi insan berguna bukan perkara yang mudah.
"Anak-anak yang kurang minat belajar ini boleh diselesaikan melalui guru sebagai murabbi bukan sekadar pengajar.
"Begitulah tugas seorang pendidik. Kena jadikan murid sebagai anak-anak yang disayangi," ujarnya yang kini masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Menara, Manir.
Beliau turut menasihati generasi muda agar kekal istiqamah dengan ikhlaskan hati membuat semua perkara kerana Allah dan sentiasa menuntut ilmu.
"Berkata Iman al-ghazali, orang yang dikatakan berilmu ialah orang yang sentiasa berinteraksi dengan ilmu.
"Belajar untuk memahami politik Islam dan mengkaji sirah-sirah Rasulullah serta memahami perjuangan para muslimat Islam masa silam," ujar beliau.
Beliau memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (Ajk) Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (Ketua Lujnah Dakwah), Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Tarbiyyah Hulu Terengganu, Ajk Tarbiyyah Negeri Terengganu, Ajk alimat Negeri Terengganu, Naqibat Teras Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Dan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT).
Selain itu, Pengarah j12k Muslimat Hulu Terengganu, Ajk tarbiyyah DMPM, Penasihat Muslimat Dun Manir, Naqibat Ameerah Hulu Terengganu dan Setiausaha Muslimat cawangan Kubang Bujuk serta penceramah bebas dan pengkuliah bertauliah negeri Terengganu.
08 Jan 22
337