lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Bantuan Persekolahan Terengganu: Ibu Bapa Luah Rasa Gembira
Bantuan Persekolahan Terengganu: Ibu Bapa Luah Rasa Gembira
BESUT, 2 Disember - Sebahagian ibu bapa yang menerima Bantuan Persekolahan bagi Tahun 2021 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, baru-baru ini meluahkan rasa gembira dengan inisiatif tersebut. Salah seorang penerima, Roslan Bin Umar, 62, berkata, bantuan yang diberi kerajaan negeri tanpa mengira parti politik itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan ditanggungnya.  "Saya sebelum ini hanya menjual di kedai makan dan untuk mendapatkan kembali sumber pendapatan seperti sebelum pandemik akan mengambil masa. "Jadi, sekurang-kurangnya ia membantu saya,"katanya.   Sementara itu, seorang ibu kepada 3 orang anak, Nurul Amira Binti Othman, 31 tahun mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan untuk persekolahan tersebut. "Alhamdulillah saya sangat gembira kerana dalam 2,000 orang penerima, saya di antara yang terpilih untuk menikmati  sumbangan kerajaan negeri.  "Terima kasih Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar di atas pemberian wang tunai ini." katanya. Seramai 2,460 penerima telah menikmati Bantuan Persekolahan bagi Tahun 2021 peringkat DUN Jerteh, baru-baru ini yang dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad.
01 Dec 21
417
2,460 Murid Jerteh Terima Bantuan Persekolahan
2,460 Murid Jerteh Terima Bantuan Persekolahan
BESUT, 2 Disember - Seramai 2,460 murid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh memperolehi Bantuan Persekolahan bagi tahun 2021 dalam Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan DUN Jerteh di Dewan Masjid Hadhari, baru-baru ini. Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, jumlah tersebut merupakan penerima terakhir bagi Parlimen Besut dengan harapan agar bantuan berkenaan dapat meringankan beban ibu bapa pelajar-pelajar. "Alhamdulillah, hari ini kita (Jerteh) DUN yang terakhir yang meneruskan agenda kebajikan kepada rakyat dalam menyampaikan bantuan persekolahan.   "Bantuan ini dilaksanakan bagi meringankan beban ibubapa terutama dalam kelangsungan pembelajaran anak-anak secara bersemuka.  "Samada ia digunakan untuk membeli pakaian sekolah atau kelengkapan yang lain. Adalah diharapkan agar bantuan ini dapat memberi semangat baru buat anak-anak ke sekolah," katanya.    
01 Dec 21
144
2,251 KIR Terima Bantuan Persekolahan Di DUN Kijal
2,251 KIR Terima Bantuan Persekolahan Di DUN Kijal
KEMAMAN, 30 November - Seramai 2,251 Ketua Isi Rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima Bantuan Persekolahan Negeri Terengganu 2021 sebanyak RM100. Salah seorang penerima bantuan Mohd Azan Abu Bakar, 49, ketika ditemui pemberita bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan tersebut. "Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana saya terpilih sebagai penerima bantuan persekolahan ini. Mohd Azan Abu Bakar "Sekurangnya ia dapat meringankan beban perbelanjaan kami sekeluarga memandang keluarga kami merupakan keluarga yang agak besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penyerahan bantuan ini di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal semalam. Sebahagian daripada penerima yang hadir. Azan merupakan KIR kepada sebelas orang anak dimana dua orang anaknya layak menerima bantuan. Dia bekerja sebagai pembuat pagar besi secara kecilan kini menetap di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang. "Harapan saya agar kerajaan meneruskan bantuan seumpama ini agar golongan berpendapatan rendah turut merasa nikmat yang dikurniakan oleh Allah," ujarnya.
29 Nov 21
601
'Gementar Nak Masuk Kediaman Baharu' - Penerima Rumah
'Gementar Nak Masuk Kediaman Baharu' - Penerima Rumah
MARANG, 28 Disember - Disebabkan terlalu teruja dan gembira apabila menerima sebuah rumah baharu di bawah peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), seorang ibu tidak dapat menyembunyikan perasaannya. Zanariah Ariffin, 46, mengakui dia agak gementar ketika diberikan kunci dan hendak membuka pintu rumah tersebut. "Bergetar tangan nak buka pintu ini. "Sebelum ini, sudah beberapa kali permohonan saya ditolak kerana terdapat masalah seperti keadaan kawasan tanah yang berbukit dan tidak mempunyai jalan asas. "Saya rasa sangat bersyukur kerana pihak Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang yang banyak membantu memudahkan urusan kami untuk lulus permohonan rumah ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau rumah yang bakal didudukinya. Sebelum ini, Zanariah yang mempunyai dua anak hanya menumpang di rumah ibu mertuanya disebakan kekangan kewangan. Manakala suaminya pula hanya berkerja sebagai seorang nelayan. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan, pihaknya telah membantu memudahkan urusan dan menyelesaikan masalah kos tambahan bagi memastikan proses bina baru rumah itu dapat dijalankan. "Kita akui, kelulusan permohonan untuk mendapatkan rumah ini bukanlah mudah, oleh sebab itu pihak kami sedaya upaya membantu agar proses ini dapat diteruskan dan keluarga ini dapat tinggal di tempat yang mereka harapkan," jelansya. Katanya, mereka ini bukannya daripada kalangan orang yang berkemampuan, maka tugas kebajikan tersebut diperhalusi bersama di peringkat PKM untuk membantu mereka. "Rumah yang hampir siap sepenuhnya akan diduduki tidak lama lagi, hanya tinggal beberapa kerja kecil untuk diselesaikan, tambahan lagi sekarang musim tengkujuh yang sedikit sebanyak menyebabkan kerja tergendala," katanya. Menurutnya, pihak Teknikal dan Penilai daripada MAIDAM juga telah turun meninjau keadaan rumah ini sebelum proses akhir diluluskan untuk penyerahan rumah secara rasmi kepada penerima. "Kita juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada MAIDAM, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta semua yang terlibat," tambahnya lagi.
29 Nov 21
1676
'Ini Bukan Bantuan Besar, Cuma Membantu Mereka Menampung Hidup'
'Ini Bukan Bantuan Besar, Cuma Membantu Mereka Menampung Hidup'
KUALA TERENGGANU, 29 November - Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyampaikan sumbangan tunai kepada para peniaga kecil di daerah Kuala Terengganu bagi meringankan beban yang ditanggung pasca pandemik Covid-19. "Ini bukan bantuan yang besar sangat sebenarnya, kita faham peniaga baru sahaja bermula semula, masing masing ada kekurangan menampung sara hidup. "Mereka ini usahawan kecil-kecilan dan barangkali penambahan daripada saya sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan kesusahan mereka, dengan cara itu mereka boleh fokus kepada perniagaan mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Kuala Terengganu kepada 42 usahawan kecil di daerah berkenaan, di Dewan Pusat Tarbiyyah DUN Wakaf Mempelam, di sini semalam. Dalam program tersebut, Pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Engku Mohd Hairil Nizam Tuan Ahmad dijemput untuk memberi penerangan berkenaan peluang-peluang yang disediakan oleh pihak YPU kepada para usahawan. Menurut Ahmad Amzad, Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu lebih fokus membantu pada aspek kehidupan harian. "Usahawan dan rakyat adalah manusia yang perlu kepada rasa selesa jadi, saya harap ini dapat memberi kelegaan kepada mereka. "Ada pun bantuan modal pusingan dan sebagainya yang itu kita sediakan melalui medium lain yang ada di bawah inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.  "Setakat ini di peringkat parlimen kita lebih kepada menjaga kebajikan, dari segi keusahawanan itu lebih kepada kerjasama misalnya bersama YPU," katanya.
28 Nov 21
242
'Skuad Uniti' Pasukan Hadapan Urus Komuniti Hadapi Banjir
'Skuad Uniti' Pasukan Hadapan Urus Komuniti Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 24 November - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melalui Skuad Uniti sedia berperanan sebagai pasukan hadapan untuk menghadapi serta menangani situasi tidak terduga seperti bencana banjir. Ketua Pengarahnya, Abdul Halim Hasan berkata, pihaknya melalui skuad terbabit akan mengguna pasukan 'Bantu Mula' di Kawasan RukunTetangga (KRT) seluruh negeri. "Pasukan akan membantu memindahkan mangsa-mangsa  banjir, bertindak menyalurkan maklumat pada setiap masa, serta melakukan segala kerja-kerja yang berkaitan pada peringkat awal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Kita juga akan akan turut berperanan menenangkan mereka yang terlibat menghadapi musibah berkenaan dengan menyampaikan motivasi bagi memulihkan psikologi mereka dalam tempoh awal berlaku itu. "Manakala pada pasca banjir pula sukarelawan ini akan membantu melaksanakan kerja pembersihan," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK), di Sumai Hotel Apartment, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Mohd Rosli Alias. Dalam program itu seramai 457 sukarelawan telah diberikan sijil penghargaan melalui wakil di setiap daerah terlibat melaksanakan MOVAK, iaitu Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut. Mengulas mengenai MOVAK, beliau berkata program yang diadakan bermula Julai merupakan usaha melalui Kementerian Perpaduan bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh masyarakat terutama kepada mereka yang berada di luar bandar. "Program ini telah ditamatkan, setakat ini belum ada keperluan untuk turut membantu rakyat dalam bagi mendapatkan dos penggalak, jika ada keperluan kita bersedia untuk laksanakannya," ujarnya.    
24 Nov 21
577
BAJET 2022 : Terengganu Umum i-Fitri, Bantuan Raya Bernilai RM400
BAJET 2022 : Terengganu Umum i-Fitri, Bantuan Raya Bernilai RM400
KUALA TERENGGANU, 15 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman, hari ini mengumumkan i-Fitri, iaitu bantuan sempena perayaan bernilai RM400 kepada rakyat Terengganu yang layak. Jelasnya, bantuan berkenaan akan disalurkan menjelang hari raya nanti. "Bantuan ini akan disalurkan kepada 31,500 isi rumah miskin dan RM250 kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000. "Usaha ini diharapkan dapat menyokong kewangan kesemua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat setelah dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan," katanya.  
15 Nov 21
7242
Keluarga Terdekat Jaga Anak Yatim Wajar Diberi Potongan Cukai Khas
Keluarga Terdekat Jaga Anak Yatim Wajar Diberi Potongan Cukai Khas
KUALA NERUS, 11 November - Kerajaan dicadangkan supaya menyediakan potongan cukai khas buat ahli keluarga penjaga anak-anak yatim, menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali. Beliau berkata, ini termasuk bantuan khas turut diberikan kepada keluarga yang menjaga mereka bagi meringankan beban. "Penjagaan oleh wali seperti datuk dan bapa saudara atau keluarga terdekat lebih berkesan kerana melibatkan kestabilan emosi, psikologi, pendidikan, persekitaran keluarga dan kasih sayang dalam kehidupan anak-anak yatim tersebut. “Dalam Islam, anak-anak yatim perlu menjadi tanggungjawab wali mereka selepas kematian ibu bapa iaitu datuk, bapa saudara, adik beradik dan seterusnya. “Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan potongan cukai khas kepada ahli keluarga yang menjaga anak-anak yatim ini di samping bantuan khas kepada keluarga yang menjaga anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan ketika persidangan bajet, baru-baru ini. Dalam Bajet 2022, kerajaan menyediakan sebanyak RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak yatim yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19. Sehingga kini, lebih 4,700 anak yatim kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19. Sementara itu, Dato' Dr. Khairuddin turut menjelaskan, rumah kebajikan untuk anak yatim juga wajar diberikan peruntukan khas apabila mereka mengambil anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19. Dalam pada itu, beliau mencadangkan bagi anak yang kehilangan ibu supaya kerajaan menyediakan bantuan PRIHATIN yang sesuai untuk bapa mereka mencari pasangan baharu supaya boleh membantu mereka menjaga anak-anak. “Malah dana khas juga perlu diberikan kepada ibu-ibu yang sudi menjaga anak suami mereka atau anak tiri seperti anak sendiri,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Online.
11 Nov 21
229
Skuad Upaya, Cetus Semangat OKU Bantu Golongan Senasib
Skuad Upaya, Cetus Semangat OKU Bantu Golongan Senasib
MARANG, 24 Oktober - Skuad Upaya di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat kini sedang bergiat aktif dalam melakukan kerjasama bagi membantu golongan senasib sekali gus mencetuskan semangat Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk meneruskan kehidupan bersama-sama komuniti. Golongan OKU ini perlu diberi perhatian khusus kerana ujian yang mereka lalui berbeza dan tidak sama seperti orang lain yang boleh menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, selepas melihat gerak kerja dan kesungguhan mereka dalam aktiviti kebajikan serta sukarelawan melibatkan OKU, pihak PKM telah menyusun beberapa program untuk membantu golongan ini di kawasan Rhu Rendang. "Di Rhu Rendang, aktiviti kebajikan memang giat dijalankan dan kita juga sering mengunjungi golongan OKU, sama ada dilahirkan OKU atau baru berstatus OKU atas sebab-sebab tertentu seperti kemalangan, sakit kronik dan sebagainya," katanya. Menurutnya lagi, idea untuk berkerjasama dengan Skuad Upaya ini adalah bagi menyalurkan bantuan bukan sahaja dari segi fizikal malah mental itu sendiri, iaitu spiritual atau semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. "Memang berbeza apabila mereka diziarahi oleh golongan seperti mereka sendiri, semangat dan hubungan yang dicipta pun berbeza kerana mereka ini senasib serta lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain," katanya dalam satu kunjungan ke rumah penduduk cacat penglihatan di Taman Rahmat bersama-sama Skuad Upaya. Ujarnya lagi, PKM juga melihat lebih jauh hasrat untuk penubuhan Skuad Upaya Kawasan Marang sebagai badan yang boleh menerajui aktiviti dan bantuan di samping mendekati golongan ini. "Sebelum ini, beberapa golongan OKU di kawasan Rhu Rendang telah dikunjungi oleh PKM dan Skuad Upaya di mana ada di antara mereka yang bersetuju untuk ditempatkan dalam golongan cacat penglihatan seperti Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). "Di pusat seperti ini, mereka juga boleh mempelajari ilmu al-Quran dan pengetahuan lain mengikut cara-cara tertentu seperti kaedah Braille serta lain-lain lagi," tambahnya lagi.  
24 Oct 21
320
GLC Terengganu Buka 'Food Bank' Di Stesen Minyak
GLC Terengganu Buka 'Food Bank' Di Stesen Minyak
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Kerajaan negeri melalui Anak syarikatnya (GLC), Terengganu Intercroprated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mewujudkan bank makanan di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar Kuala Terengganu sebagai inisiatif  meringankan beban rakyat pada waktu ini. Ketua Komunikasi Strategik Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, pihaknya memperuntukkan RM100,000 sehingga akhir tahun ini bagi menjayakan program itu yang telah beroperasi di beberapa tempat seperti Shell Wakaf Mempelam, Pulau Kambing dan Stesen Minyak Petron. Katanya, bank makanan itu menyediakan segala keperluan asas seperti beras, kicap,mihun, sardin gula, tepung gandum dan sebagainya di lokasi tumpuan umum terbabit. "Persetujuan telah dicapai antara pihak kami dan pemilik stesen minyak, mereka bersetuju untuk membenarkan kita meletakkan segala barangan di premis mereka, pekerjanya akan sentiasa memastikan barangan mencukupi. "Kita target dalam seminggu atau dua minggu sekali kita akan tambah barangan ini bergantung pada keadaan, apabila sesuatu barangan habis akan dimaklumkan kepada syarikat untuk ditambah. "Sasaran kita adalah khusus untuk membantu golongan susah terdiri daripada golongan asnaf, daif, mereka yang mengalami kesempitan hidup akibat terjejas pandemik Covid-19 dan sebagainya. Mereka yang betul-betul memerlukan boleh datang ke sini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada perasmian 'Terengganu Inc Food Bank' di Shell Wakaf Mempelam semalam.   Program tersebut telah dirasmi serta dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah. Suridah turut memaklumkan sebuah sekolah akan turut terpilih bagi dijadikan bank simpanan makanan, dalam memastikan rakyat Kuala Terengganu dan sekitarnya mendapat manfaat menerusi usaha kebajikan diadakan tersebut. Dalam pada itu Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata kerjasama diantara syarikat dan pemilik stesen terbabit adalah efektif dalam memudahkan golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan segala keperluan harian mereka "Jadi ini merupakan suatu usaha baik jadi kepada masyarakat atau rakyat yang berada di sini dan sekitarnya khusunya penduduk Kampung (Kg) Tok Jamal, Kg Wakaf Mempelam, Padang Midin, Pengadang Baru, Sungai Rengas, Kubang Tangga boleh datang ke sini untuk mendapatkan barangan keperluan harian. "Boleh diambil mengikut apa yang mereka perlukan. Bekalan ini akan sentiasa mencukupi kerana akan sentiasa ditambah. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terbaik menerusi usaha murni ini dalam membantu meringankan kesusahan dialami rakyat dalam suasana penuh mencabar ini," ujarnya. Dalam pada itu, Pengurus Stesen Minyak Shell Wakaf Mempelam, Wan Ahmad Farhan Dato' Wan Hazmi berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila premisnya itu dipilih untuk menempatkan 'Food Bank' berkenaan. "Dengan menjadikan stesen minyak ini sebagai perantaraan, untuk menyampaikan sumbangan kebajikan yang disalurkan secara khusus kepada penduduk di sekitar Kuala Terengganu ini khususnya penduduk di Wakaf Mempelam pihak kami telah melantik kakitangan untuk menjaga barangan ini. "Kami akan pastikan sampai betul-betul kepada mereka yang memerlukan, bagi menjamin tidak berlaku ketirisan, dan mengelak daripada  pihak yang sengaja mengambil kesempatan, jadi setiap hari akan ada staf untuk 'monitor'. "Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Terengganu INC, ADUN setempat serta mana-mana pihak yang terlibat menjayakan program ini," ujarnya. Sementara itu, ibu tunggal kepada lima anak, Rohaya Ismail, 44, berkata inisiatif yang diwujudkan itu mampu membantu golongan kurang berkemampuan dan mengalami keperitan hidup. "Terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19, alhamdulillah syukur kepada Allah apabila datang ke sini saya dimaklumkan bahawa ada program ini telah dilancarkan, jadi saya mengambil kesempatan untuk mengambil barangan keperluan ini. "Barangan ini menjadi keperluan untuk keluarga saya, jadi ia sangat membantu saya dan anak-anak yang alami kepayahan setelah diceraikan suami untuk meneruskan kelansungan hidup," ujarnya yang berasal dari Merbau Patah.        
14 Oct 21
836