lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Terengganu Sumbang RM100 Ribu Bantu Perantau Mangsa Banjir
Terengganu Sumbang RM100 Ribu Bantu Perantau Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Kerajaan Terengganu menyumbang sebanyak RM100,000 bagi membantu meringankan beban anak-anak negeri berkenaan di perantauan yang ditimpa bencana banjir. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, musibah yang berlaku pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini menjejaskan banyak pihak dari segi kerugian dan kehilangan harta mahupun nyawa. "Musibah yang berlaku sangat luar biasa terutama bagi penduduk di Selangor yang boleh dikatakan tidak pernah mengalami situasi begitu hebat sebagaimana dihadapi baru-baru ini. "Sebagai satu tanda kebersamaan khususnya kepada rakyat di Terengganu di perantauan kerajaan negeri bersetuju memberikan sumbangan kepada anak-anak negeri terlibat. "Kita menyerahkan bantuan ini kepada Persatuan Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) yang menjadi persatuan induk untuk menguruskan pembahagian pertamanya mengenal pasti mereka yang terlibat dalam musibah ini seterusnya mengagihkan bantuan kepada mereka," katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas penyampaian sumbangan tersebut kepada wakil PERANTAU, Muhamad Hafizullah Muda di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Naib Presiden Kanan Terengganu Inc, Roslan Mamat dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abd. Razak. Wan Sukairi turut merakamkan rasa terima kasih kepada syarikat Terengganu Inc yang sudi memberikan sumbangan mereka kepada mangsa-mangsa banjir itu. "Kita sedia maklum, kerajaan Malaysia juga telah memberikan sejumlah sumbangan yang agak besar kepada yang mangsa-mangsa banjir mengikut keadaan mereka sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan tahun baharunya, baru-baru ini. "Jadi, apa yang diberikan kerajaan negeri adalah tanda keprihatinan kita dan tambahan di atas apa yang diberikan kerajaan Persekutuan. "Di peringkat negeri, ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalui Pusat Khidmat DUN masing-masing juga ada mengenal pasti rakyat kawasan mereka yang terlibat banjir tersebut untuk disantuni," katanya.  
04 Jan 22
668
Masjid Lumpuh Akibat Banjir Lumpur Kembali Pulih
Masjid Lumpuh Akibat Banjir Lumpur Kembali Pulih
MARAN, 30 Disember - Masjid di Kampung Sekara, Chenor yang ditenggelami banjir lumpur baru-baru ini kembali pulih selepas dibersihkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dalam Operasi Bantuan Banjir. Imam masjid, Mat Yunus Abu Bakar berkata, khidmat yang diberikan agensi terbabit memberikan kegembiraan kepada jemaah masjid. Katanya, sepanjang berlaku bencana berkenaan segala aktiviti termasuk Solat Jumaat terpaksa dihentikan. "Insya-Allah selepas ini ia akan kembali dihidupkan, terima kasih kepada sukarelawan yang hadir pada hari ini bagi melakukan kerja-kerja pembersihan masjid ini. "Mudah-mudahan Allah kurniakan fadilat kepada tenaga bantu yang bertungkus lumus bagi membersihkan rumah-rumah penduduk serta masjid ini," ujarnya ketika ditemui di masjid berkenaan semasa operasi pembersihan semalam. Dalam pada itu Ketua operasi pasca banjir APM Terengganu, LT. (PA)  Mohd Jeffri Johari berkata 15 anggota dan sukarelawan dari Terengganu beserta telah ditugaskan khas untuk membersihkan masjid berkenaan. "Hari ini merupakan hari kedua APM terlibat dalam operasi membersihkan institusi ini dimana kawasan tumpuan kita adalah Temerloh dan juga Maran. "Jika sebelum ini agensi kami hanya terlibat dalam pengoperasian memindahkan mangsa banjir, namun pada kali ini kami turut berperanan membantu masyarakat di Pahang dalam melakukan kerja-kerja pasca banjir dengan tempoh yang diberikan selama tiga hari," katanya. Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut, Muzafar Harun mewakili penduduk setempat menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Terengganu kerana telah membantu penduduk di daerah terbabit. "Terutamanya kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seluruh agensi dan para sukarelawan yang terlibat dalam misi ini. "Alhamdulillah, bantuan telah sampai kepada kami walaupun kampung ini berada agak jauh di pedalaman serta jauh dari pusat bandar," ujar beliau.  
30 Dec 21
797
Banjir Besar Hadirkan Keinsafan
Banjir Besar Hadirkan Keinsafan
TEMERLOH, 29 Disember - Banjir besar yang melanda Taman Mentakab Indah di sini mendatangkan keinsafan kepada penduduk setempat. Menurut Sufian Sulaiman, 43, berkata musibah kali kedua  berlaku dalam tahun yang sama itu amat sukar untuk dilupakan. "Baru sahaja berlaku awal tahun, terpaksa pula hadapinya sekali lagi, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini, cuma dugaan pada kali ini sangat dahsyat, jika awal tahun boleh lagi mengharungi air, namun pada kali ini air naik mendadak iaitu satu jam sekaki paras air naik sehingga menenggelamkan taman ini. "Pada waktu itu tidak fikir apa dah, paling utama selamatkan keluarga dan pindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala saya pula lari ke tempat yang lebih tinggi di ladang sawit. "Tujuannya adalah untuk menjaga segala harta dan aset yang ada dalam rumah untuk melakukan pemantauan serta berjaga-jaga bagi memastikan tidak akan ada pihak yang ambil kesempatan untuk larikan barang-barang berharga," ujarnya. Bekas tentera itu berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di rumahnya dalam program misi pasca banjir di sini semalam. Tambah Sufian, tindakan kerajaan Terengganu menghantar sukarelawan sangat tepat pada masanya kerana dapat  membantu meringankan beban 400 keluarga di taman berkenaan. "Penduduk sini termasuk saya gembira apabila dimaklumkan kedatangan sukarelawan ini. "Penat awal tahun dulu belum hilang lagi, hati yang sedih pun belum terubat lagi, namun apa jua yang Allah kehendaki berlaku akan tetap berlaku. "Walaupun selama ini saya memilih untuk menetap di sini kerana selama ini difikirkan selamat tidak pernah terfikir kawasan ini akan mengalami nasib sebegini teruk sekali," katanya. Sementara itu, seorang anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan Terengganu, Wan Hisyam Wan Yusof berkata, pihaknya sangat berbesar hati diberi peluang untuk turut serta dalam misi yang dianjurkan kerajaan negeri. "Sedikit sebanyak kami dapat menyumbangkan tenaga dan berganding bahu dengan sukarelawan yang lain dalam menjayakan misi pada kali ini," katanya.
29 Dec 21
260
Luluh Hati Lihat Harta Benda Musnah Sekelip Mata
Luluh Hati Lihat Harta Benda Musnah Sekelip Mata
TEMERLOH, 29 Disember - Luluh hati seorang sukarelawan apabila melihat banjir besar yang berlaku minggu lalu memusnahkan harta benda penduduk di sini dalam sekelip mata. Sukarelawan Terengganu (T-Volt), Aina Nasuha Mohd Fauzi berkata, misi bersama 650 sukarelawan lain itu memberikannya satu pengalaman berharga selain dapat membantu mangsa. Katanya, kesemua mangsa bah di daerah itu sedang menghadapi kesukaran dan kesulitan akibat bencana alam terbabit  "Misi kebajikan ini dapat membantu anggota masyarakat yang sedang mengalami kesulitan dengan kerosakan harta benda. "Apa yang sedang mereka alami ini merupakan ujian besar dan sangat berat untuk dihadapi mereka, kita pun tidak mampu untuk menanggung bebanan sebagaimana yang mereka alami," ujarnya.   Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa kerja pembersihan di sebuah rumah penduduk di Taman Mentakab Indah, di sini, semalam. Sementara itu mangsa banjir, Maiyuni Zakaria, 42, berkata bantuan sukarelawan daripada kerajaan Terengganu memberi kelegaan kepada mereka. "Kami sekeluarga masih dalam keadaan penat setelah dua kali pada tahun ini menghadapi keadaan sebegini, cuma yang berlaku baru-baru ini lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan yang terjadi pada awal tahun. "Kali ini, air naik sangat laju dan tinggi sehingga mencecah bumbung rumah. "Boleh dikatakan kesemua harta benda, termasuk kenderaan motor dan kereta mengalami kerosakan. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menghantar sukarelawan bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh 400 keluarga di sini," ujarnya. Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata bantuan berterusan melalui misi kemanusiaan berkenaan akan dilakukan bagi menzahirkan kecaknaan Terengganu  terhadap negeri yang terbabit bencana. "Ini menjadi sebagai bukti keprihatinan pihak kerajaan negeri, nilai sebeginilah perlu diterapkan dimana ia perlu disemarakkan dalam kalangan rakyat di negeri Terengganu dan Malaysia amnnya. "Saya mendoakan agar urusan kebajikan yang akan dijalankan selama tiga hari ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT dalam membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan di Temerloh ini dengan seramai mungkin sukarelawan yang kita hantar serta hadir dalam menjayakan misi pengoperasian pasca banjir ini," katanya.  
29 Dec 21
777
Sukarelawan DUN Air Putih Turut Bantu Mangsa Banjir Pahang
Sukarelawan DUN Air Putih Turut Bantu Mangsa Banjir Pahang
KEMAMAN, 28 Disember- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang dialami penduduk di Kuantan, khususnya di kawasan Sungai Isap, Taman Seri Inderapura dan Sungai Lembing apabila diuji dengan musibah banjir lumpur pada minggu lalu.  Cakna dan prihatin akan nasib yang menimpa penduduk di kawasan tersebut, seramai 40 orang sukarelawan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Air Putih bersama-sama Skuad PAS kawasan Kemaman dan Khidmat Malaysia hadir menggembleng tenaga bagi membantu meringankan beban para mangsa yang terjejas ekoran tragedi itu. Dialam misi bantuan banjir selama tiga hari yang bermula 23 Disember lalu, para sukarelawan yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia, Ameerah Malaysia, Briged Muslimat dan Pemuda PAS kawasan Kemaman hadir bersama kelengkapan membersih. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang misi bantuan tersebut adalah program Dapur Rakyat yang mana sebanyak 2,000 pek makanan tengahari diagihkan kepada masyarakat setempat memandangkan keadaan mangsa yang masih keletihan dan sibuk mengemas kediaman masing-masing. Selain itu, operasi pembersihan pasca banjir di sekitar kawasan setempat seperti di Sekolah Kebangsaan Pancing dan kediaman penduduk di Pekan Sungai Lembing, Taman Inderapura dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau turut dilakukan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang juga merupakan Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Daerah Kemaman berkata, mereka yang terlibat dengan banjir amat memerlukan sokongan daripada segi moral dan tenaga oleh semua anggota masyarakat. "Ini termasuk bagi membantu membersihkan kediaman dan premis mereka yang berselut dan berlumpur. “Diharapkan dengan kehadiran para sukarelawan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk di kawasan ini meskipun tidak dapat membantu sepenuhnya," ujanrya. beliau turut merakamkan ucapan termia kasih kepada para sukarelawan yang telah bertungkus lumus membantu para mangsa dan menjayakan misi bantuan banjir kali ini sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. "Diharapkan semoga mereka yang diuji dengan musibah ini agar tabah dan dipermudahkan segala urusan," katanya.
28 Dec 21
309
Kaum Ibu Kumpul RM16,380 Dalam 48 Jam Untuk Mangsa Banjir
Kaum Ibu Kumpul RM16,380 Dalam 48 Jam Untuk Mangsa Banjir
MARANG, 26 Disember - Kaum ibu di daerah ini tidak ketinggalan dalam membantu mangsa banjir apabila Dewan Muslimat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM16,380 dalam tempoh 48 jam. Ketuanya, Faridah Omar berkata kutipan itu akan disalurkan kepada mangsa yang terjejas di Pahang. Katanya, kutipan itu dibuat sebaik sahaja mendapat maklumat Khidmat Malaysia Marang akan mengadakan misi membantu mangsa banjir. "Walaupun tidak dapat menyumbang bantuan tenaga di lokasi, kutipan derma ini akan dapat membantu mangsa sedikit sebanyak. "Kutipan derma itu disumbang melalui muslimat daripada seluruh cawangan yang berada di kawasan DUN Rhu Rendang," katanya kepada pemberita. Menurutnya lagi, terdapat juga individu yang menyumbang secara peribadi, malah Ameerah DUN Rhu Rendang juga turut menyerahkan bantuan berbentuk keperluan peribadi wanita dan keperluan asas. Sementara itu, jentera bantuan banjir dari Rhu Rendang akan disertai oleh pemuda, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Amal dan Majlis Tindakan Dun (MTD) melalui rombongan Khidmat Malaysia Marang. Misi membantu mangsa banjir itu berlangsung selama dua hari bermula jumaat lalu di Kuantan, Pahang. Sumbangan itu diserahkan kepada wakil sekretariat Khidmat Malaysia DUN Rhu Rendang, Najmuddin Rani.  
25 Dec 21
573
NGO Kini Diiktiraf Sebagai Rakan Strategik JKM
NGO Kini Diiktiraf Sebagai Rakan Strategik JKM
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU , 24 Disember – Badan Bukan Kerajaan (NGO) kini diiktiraf sebagai rakan strategik dan diberi ruang oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turut membantu jabatan dalam kes bencana alam dan musibah seperti banjir yang dihadapi oleh rakyat sekarang. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, ia sangat bertepatan dengan suasana sekarang iaitu musim tengkujuh dan bencana tersebut yang sedang berlaku. “Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri dan persekutuan (concurrent list), JKM mempunyai peranan yang besar membantu rakyat termasuk dari kalangan orang miskin, uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak. “JKM tidak lagi melihat NGO sebagai sasaran kerja mereka tetapi menjadi rakan strategik mereka mengharapkan sumbangan dan peranan dari NGO,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan lawatan kerja bersama NGO Marang ke Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Negeri Terengganu, pada semalam. Katanya, tujuan utama lawatan ini ialah sebagai persiapan untuk menghadapi bencana alam terutama banjir. “Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di Selangor dan Pahang yang menghadapi keadaan banjir yang sangat teruk. “Sebab itu antara yang kita boleh buat selain dari melalui jabatan ialah melalui NGO. Sebab itu saya panggil beberapa NGO  untuk terlibat dengan program ini supaya dia boleh tahu  apa  peranan yang boleh dimainkan sewaktu musibah seumpama ini,” ujar beliau. Beliau menambah, situasi banjir di Terengganu pada masa kini terkawal walaupun telah berlaku perpindahan terutamanya di daerah Kemaman dan Dungun. Justeru itu, semua pihak harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. “Saya difahamkan melalui portfolio Belia Sukan dan NGO Terengganu menghantar sejumlah sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sana  terutama pasca banjir kerana apa yang berlaku di negeri lain itu  kita merasakan tanggungjawab bukan untuk menjaga diri kita  sahaja. “Kerana perkara seumpama ini perlu ada kerjasama dari semua negeri bagi meringankan beban di tempat berkenaan,” tambah Dato' Yahaya.
24 Dec 21
578
Terengganu Lancar Operasi Bantuan Banjir Ke Pahang
Terengganu Lancar Operasi Bantuan Banjir Ke Pahang
KUALA TERENGGANU, 22 Disember – Terengganu kini siap siaga mengerakkan sukarelawan dalam misi pasca banjir ke Pahang. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, tenaga bantu daripada pelbagai agensi kerajaan di negeri ini akan dihantar bagi membantu mangsa banjir di Pahang. “Mesyuarat Exco pada hari ini telah meluluskan operasi kali ini dengan penglibatan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta sukarelawan seramai 500 orang," katanya kepada media. Hanafiah Mat Jelas Hanafiah, pihaknya bersetuju untuk membersihkan rumah mangsa banjir dan mengadakan dapur rakyat di kawasan yang terlibat. “Insya-Allah kita mensasarkan sebanyak 1,000 buah rumah akan dibersihkan dalam tempoh dua hari tersebut," katanya. Tambah Hanafiah, pasukan tersebut akan berada di Pahang dari 28 Disember sehingga 30 Disember ini. “Semua agensi akan dilibatkan antaranya Urus Setia Belia, Sukan dan NGO, Urus Setia Penerangan Darul Iman, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah, Angkatan Pertahanan Awam, Polis, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengaliran dan Saliran,” jelasnya lagi. “Operasi ini akan dikawal selia oleh APM Terengganu dengan kerjasama APM Pahang bagi memastikan keberkesanan kerja yang akan dilaksanakan nanti. Katanya, ini merupakan hasrat kerajaan negeri bagi meringankan beban mangsa banjir di Pahang. “Kita mengalu-alukan para dermawan dan sukarelawan untuk memberikan sumbangan tenaga mahupun kewangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang. “Mana-mana NGO dan sukarelawan yang ini menyertai boleh menghubungi Urusetia T-Volt di talian 017-3113319 atau terus ke pejabat saya,” ujar beliau.
22 Dec 21
605
MCT Lancar Tabung Bencana Bantu Mangsa Banjir
MCT Lancar Tabung Bencana Bantu Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 21 Disember- Dalam kemeriahan Kenyir Monsoon Casting Tournament (MCT), para penggiat sukan memancing tidak melupakan rakan-rakan dan saudara yang ditimpa bencana banjir ketika ini. Justeru, pihak MCT melancarkan Tabung Bencana Banjir yang dilancarkan pada hari akhir festival yang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu bertujuan membantu mangsa yang teruk dilanda banjir. Pengerusi Sekretariat MCT 2021, Azri Ngah, berharap ia dapat meringankan beban selain menghilangkan kesedihan mangsa yang kehilangan harta benda, kediaman, malah turut membabitkan kehilangan nyawa. "Kita belum dapat jumlah sebenar kutipan hari ini dan kutipan ini akan diserahkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima," katanya selepas perasmian penutup MCT, semalam. Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Timur, Hafiz Hazin, berkata pelancaran tabung berkenaan adalah tindakan tepat dilakukan penganjur pada masa ini. "Dalam kita berseronok menjayakan festival ini, kita tidak lupa kepada saudara kita, rakan dan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan bencana ini. "Malah, ada peserta dari negeri terbabit banjir termasuk kakitangan Tourism Malaysia terpaksa pulang serta-merta selepas kediaman mereka dinaiki air," katanya. MCT 2021 mendapat sambutan meriah apabila menerima penyertaan lebih 350 kaki pancing termasuk dua peserta luar negara masing-masing dari Amerika Syarikat dan Jepun.
21 Dec 21
515
Bekas Atlet, Pemimpin Belia Terima Manfaat Perubatan RM40,000
Bekas Atlet, Pemimpin Belia Terima Manfaat Perubatan RM40,000
KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Sebagai menghargai jasa pengorbanan bekas atlet serta mantan pemimpin belia yang telah mengharumkan nama negeri, kerajaan Terengganu memberi Kad Sejahtera bagi membantu kemudahan kesihatan kepada 80 penerima daripada golongan berkenaan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM40,000. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini seramai 29 bekas atlet dengan keutamaan golongan berpendapatan isi rumah terendah (B40) terpillih menerima manfaat itu. Selain itu katanya, 51 orang mantan ahli belia tersenarai sebagai penerima yang diselia oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT).  "Kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan mereka dengan memasukan nama mereka sebagai peserta Kad Sejahtera, satu inisiatif manfaat perubatan bagi mereka yang layak di kalangan rakyat Terengganu berjumlah RM500 setahun bagi setiap pemegang kad. "Ini kerana, kita tahu tidak semua mereka mendapat pekerjaan yang membolehkan mereka hidup senang, jadi kita mengenang jasa mereka dengan cara ini. Setakat ini, kita tidak ada sasaran berapa jumlah semuanya dan kita tengok berdasarkan laporan yang diterima serta kelayakan mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Agihan Kad Sejahtera tersebut di Taman Tamadun Islam, baru-baru ini. Tambahnya, pemberian kad sejahtera itu merupakan inisiatif yang lebih membantu bekas atlet dan mantan ahli belia. "Kita pilih kad sejahtera kerana kebanyakan mereka berada dalam usia lanjut dan seperti kita tahu kos perubatan juga bukan rendah. Jadi, usaha ini lebih bermanfaat dalam tempoh lebih lama supaya membantu mereka dari segi kesihatan dan ekonomi yang boleh ditumpukan kepada perkara lain," katanya. Dalam program berkenaan, Wan Sukairi turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM3,000 kepada pasukan Markless Komii yang telah menjuarai Festival Bola Sepak Pantai AFF 2021 yang berlangsung di pantai Pattaya, Chonburi Thailand, baru-baru ini. Sumbangan berkenaan merupakan sebaahagian dari keseluruhan RM5,000 jumlah sumbangan kerajaan negeri di mana sebanyak RM2,000 telah diberikan sebagai kos perjalanan pasukan tersebut ke Thailand sebelum ini.    
07 Dec 21
809