Artikel "Kebajikan" Terkini
23 Kanopi Manfaat Buat Rakyat Bukit Besi
Oleh : Amiruddin Zamri
DUNGUN, 13 Oktober - Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengambil inisiatif menyerahkan 23 kanopi kepada setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memudahkan urusan rakyat di setiap kampung terbabit.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, ia sekali gus dapat meningkatkan peranan serta perkhidmatan JPKK dalam memberikan kebaikan dan manfaat untuk rakyatnya.
"Jadi apa jua sebarang majlis yang hendak dilakukan, samada majlis kahwin, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya kanopi ini dapat digunakan.
"Kaedah yang kita guna pakai adalah, dengan JPKK meminjamkan kepada mana-mana anggota komuniti yang berhajat untuk mengunakannya, adalah menjadi harapan kita agar ia dijaga dengan baik untuk memastikan ia dapat digunakan secara terus menerus," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sebaik menyerahkan kanopi berkenaan kepada 23 JPKK di DUN Bukit Besi, semalam.
Katanya, Kanopi berkenaan telah ditempah secara khusus dari Jerantut,Pahang melalui syarikat pembekal dimiliki Shahrolrizam Ismail atau lebih dikenali sebagai 'Along Encik Kanopi'.
13 Oct 21
211
JKM Terengganu Terima Peruntukan RM2 Juta Persediaan Hadapi Banjir
MARANG, 10 Oktober - Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Terengganu menerima peruntukan RM2 juta sebagai langkah persediaan bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku pada November ini.
Pengarahnya, Mazura Ngah Abd Manan, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.5 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri pula menyalurkan sebanyak RM500,000.
Katanya, sebanyak 580 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dikenal pasti untuk dibuka bagi menampung mangsa-mangsa bencana apabila ia berlaku nanti.
"Kita sekarang juga dalam rangka mengagihkan keperluan-keperluan bencana di semua 17 mini depoh dan Pengkalan Hadapan, manakala untuk barangan ke pulau-pulau dan kawasan pedalaman pula akan digerakkan pada 17 Oktober ini.
"Dijangka pada akhir bulan ini kita akan selesai menghantar segala barangan keperluan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas melakukan tinjauan proses vaksinasi Covid-19 kepada 30 penghuni Sekolah Tunas Bakti Marang dan 18 Penghuni Asrama Akhlak Rusila, di sini, pada hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Mazura berharap agar segala operasi di PPS akan berjalan lancar dengan mematuhi Garis Panduan Pengurusan PPS semasa Covid-19 sebagaima telah ditetapkan Agensi Penurusan Bencana Negara (NADMA) bermula tahun lepas.
"Tanpa ada sebarang risiko jangkitan Covid-19 kerana semua pihak yang terlibat telah mempunyai pengalaman menguruskannya dan sudah pasti pelaksanaanya akan bertambah baik pada tahun ini," ujarnya lagi.
10 Oct 21
352
Mayat Tiga Kanak-kanak Lemas Ditemui
SETIU, 9 Oktober - Mayat tiga kanak-kanak yang lemas di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok ditemui awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Setiu merangkap Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) DSP Afandi Hussin berkata, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya Muhammad Aryyan Faheem, 7, ditemui pada 1.47 pagi.
"Mangsa ketiga dan terakhir Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada 8.15 pagi ini.
"Kesemua mangsa yang ditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir bersama ADUN Jabi, Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan Langkap, Zulbhari A Rahman serta Azmi Maarof menemui keluarga mangsa dan mengucapkan takziah atas kejadian yang berlaku.
Pegawai Daerah Setiu yang juga Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif dalam pada itu mengumumkan penutupan operasi pada 8.40 pagi dan mengucapkan tahniah kepada semua petugas SAR.
Sementara itu, Che Jemani Abdullah datuk kepada mangsa ketiga Nurul Hasya Humaira ditemui tidak dapat menahan sebak mengenangkan kejadian yang berlaku kepada cucu sulungnya itu.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota penyelamat yang terlibat operasi mencari cucunya.
09 Oct 21
1585
415 Nelayan Pesisir Pantai Terima Bantuan 'Touch Point'
DUNGUN, 24 September - Seramai 415 nelayan pesisir pantai (Zon A) di negeri ini menerima bantuan 'touch point' untuk menambah keupayaan mereka menangkap ikan dan menambah pendapatan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara bantuan yang diberikan ialah peranti pengesan ikan (fish finder), peralatan memancing, kawat kubu dan pukat tangsi.
"Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 secara keseluruhan manakala di Kemaman diperuntukkan sebanyak RM46,000 Nelayan Zon A ini merupakan jumlah teramai berbanding Zon B dan C
"Penggunaan peralatan menangkap ikan secara tradisional merupakan kaedah utama yang digunakan oleh nelayan ini. Diharapkan dengan bantuan peralatan tangkapan ikan yang diberikan ini sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan setelah menerima kesan akibat daripada penularan wabak Covid-19 di negara ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan, pada Program Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negeri, Pemyerahan Lesen Sampan Nelayan, Bantuan 'Touch point', kerja-kerja Melabuh Unjam dan Bantuan 'One Off' Covid-19 Sektor Pertanian di Dungun, baru-baru ini.
Pecahan penerima bantuan berkenaan di daerah ini adalah seramai 49 penerima dengan bilangan peralatan sebanyak 164 dengan jumlah keseluruhan RM34,500.
Manakala bagi daerah lain pula mengikut pecahan, Kemaman (66), Marang (78), Kuala Terengganu (40), Kuala Nerus (71), Setiu (60), Besut (51).
Terdahulu Azman turut menyerahkan sebanyak 109 lesen sampan khas kepada penerima di daerah ini, yang merupakan antara yang teramai di Terengganu.
Selain itu, sebanyak 40 unit unjam telah dilabuhkan di Kampung Sura yang turut memberi manfaat kepada 20 nelayan di Dungun.
25 Sep 21
497
Pemandu Teksi, Pekerja Kebersihan Kemaman Terima Bantuan YaPIEM
KEMAMAN, 24 September - Sebanyak 132 keluarga terpilih terdiri daripada pemandu teksi, pengusaha teksi, pekerja kebersihan dan pengusaha bas sekolah di daerah Kemaman menerima bantuan melalui Program Inspirasi Qaseh Kami : Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) 3.0 hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang menyempurnakan pemberian bantuan tersebut berkata, sumbangan berupa barangan keperluan bernilai RM100 setiap seorang itu adalah sebahagian daripada siri-siri bantuan agensi agama tersebut kepada masyarakat.
"Hari ini kita menyantuni sebahagian golongan terjejas kerana kerja-kerja asas mereka tidak dapat di laksanakan secara langsung berikutan pandemik Covid-19.
"Kita melihat keperluan mereka untuk dibantu melalui program 'food bank' dan daripada jumlah keluarga terpilih, dua keluarga terpilih meneruma sumbangan Inspirasi Prihatin YaPIEM berjumlah RM500 setiap keluarga.
"Secara keseluruhan sumbangan yang hari ini adalah sebanyak RM14,200 dan semoga sumbangan ini meringankan beban keluarga dan menjadi pemangkin dalam menjalani hari-hari mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pemberian bantuan tersebut kepada wakil penerima di perkarangan Stesen Teksi Kemaman, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Terdahulu, YaPIEM turut menyalurkan bantuan kepada nelayan-nelayan di Kemaman sebagai golongan sasar dan RM24,000 telah disalurkan kepada penerima dalam kedua-dua program berkenaan.
YaPIEM merupakan antara agensi agama yang efektif dalam menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga memerlukan melalui inisiatif dan program-program yang dianjurkan.
Sejak 1985, YaPIEM telah membelanjakan RM638 juta kepada lebih lima juta penerima manfaat. Melalui program 'food bank' sahaja, sebanyak RM21.65 juta telah disalurkan kepada 1.15 juta penerima.
Barangan yang disumbangkan dibeli daripada pengusaha tempatan bagi membantu ekonomi setempat secara tidak langsung- Ahmad Marzuk.
24 Sep 21
383
Balu Nelayan Jatuh Bot Dapat Perhatian Exco Terengganu
DUNGUN, 24 September - Isteri kepada nelayan yang terkorban dalam satu tragedi di muara Kuala Dungun baru-baru ini, Rohani Hashim, 60, menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim semalam.
Menurut Dr Azman, pihaknya telah mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu untuk menghulurkan bantuan segera kepada Rohani dalam menguruskan keperluan segera.
"Malang tidak berbau, nelayan yang mencari rezeki di laut berhadapan risiko terutama dalam musim angin tenggara sekarang.
"Semoga para nelayan kita sentiasa mengutamakan keselamatan paling utama perlu memakai jaket keselamatan. Ajal maut ketentuan Allah, kita sebagai hamba hanya mampu berusaha," ujarnya selepas menziarahi keluarga terbabit semalam.
Terdahulu, seorang nelayan mayat Mohd Noor Mamat ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Kapas.
Mayat mangsa ditemui bot pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Dungun.
Operasi SAR yang diketuai Ketua Polis daerah, Superitendan Baharuddin Abdullah digerakkan dengan kekuatan 50 anggota termasuk polis, bomba, Pasukan Penyelamat Air (PPDA) Bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam.
Mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot bersama dua rakannya ketika pulang menangkap ikan pada 21 September baru-baru ini.
24 Sep 21
244
Pemilik RPMM Pulau Redang Terima Kunci November Ini
SETIU, 22 September - Penduduk Pulau Redang menerima khabar gembira apabila Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di pulau berkenaan dijangka diserahkan kepada pemilik-pemiliknya, November ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed dalam lawatan pra penyerahan ke RPMM berkenaan, baru-baru ini berkata, projek kediaman rakyat yang menelan belanja RM28.5 juta itu siap sepenuhnya dalam beberapa minggu lagi.
"Hari ini kita melawat RPMM Pulau Redang yang dimulakan sejak 2012 yang telah siap sebanyak 99.90 peratus. Kini, tinggal bakinya hanya 0.01 peratus sahaja bagi memenuhi syarat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan insya-Allah dalam beberapa minggu lagi kita akan selesai semuanya.
"Bangunan yang dibina ada empat blok dan setiap bloknya ada 40 unit dan keseluruhan sebanyak 160 unit. Ini adalah projek yang dinanti-nantikan penduduk Pulau Redang ini, insya-Allah hasrat mereka akan tercapai.
"Kita jangkakan kerajaan negeri boleh menyerahkan kunci kepada para pemilik dalam awal November ini," katanya.
Turut hadir, Ketua Pengawai Operasi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Azmal Azaddin, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin dan wakil-wakil jabatan berkaitan.
Jelas Ahmad Shah lagi, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian tentang perkara tersebut kerana rumah adalah satu keperluan mendesak kepada rakyat.
"Sebab itu, ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri kita melihat mana-mana projek yang boleh dibaik pulih secepat mungkin untuk diberi rakyat, kita akan percepatkan dan ini salah satu buktinya," katanya.
Dalam pada itu, Azmal turut memaklumkan baki proses yang belum siap hanyalah dari segi permohonan dan penilaian CCC.
"Hari ini, kita hendak tahu apa lagi yang diperlukan untuk memperoleh CCC, kita sudah mengenal pasti masalah yang ada dan kita jangkakan selewat-lewatnya bulan Oktober ini akan selesai dan kita akan buat penyerahan selepas itu," katanya.
Berdasarkan data terbaru, sebanyak 1,657 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu telah diagihkan kepada penerima. Manakala, sebanyak 9,776 unit RMM sedang giat dibangunkan di seluruh negeri.
22 Sep 21
1664
Hasrat Pengayuh Beca Miliki Rumah Sendiri Tercapai
MARANG, 19 September - Impian seorang pengayuh beca, Mohd Nasir Jusoh, 62 atau Pok Yah untuk memiliki rumah sendiri akhirnya direalisasikan oleh Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman (Iman Care) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Berkongsi detik kegembiraan menerima rumah menerusi program 'Baiti Saadati' di Kampung Rawai itu, Pok Yah menzahirkan perasaan syukur kerana hasratnya setelah sekian lama dipenuhi.
Dia selama ini menjalani hidup bersama isterinya Che Ku Zaiton Che Ku Jalil, 49, beserta dua orang anak, Nur Husna Mohd Nasir, 15 dan Muhamad Safiuddin Mohd Nasir, 12, dengan menyewa sebuah rumah di Kampung Gelugor Raja.
"Saya memohon untuk mendapatkan rumah ini sudah sekian lama, dengan kewangan yang dikumpulkan sendiri melalui hasil pendapatan kerja mengayuh beca selama 16 tahun, memang tidak mampu untuk mendirikan sebuah rumah. Kerana pendapatan saya tidak menentu apatah lagi bekerja di dalam waktu menghadapi pandemik COVID-19 ini.
"Semasa Wan Sukairi ketika hadir ke rumah sewa saya, saya nyatakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, dan beliau nyatakan jika saya ada geran tanah milik sendiri ia akan memudahkan urusan untuk memiliki kediaman ini, syukur akhirnya saya menerima rumah ini dengan begitu cepat," ujarnya.
Pok Yah berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika majlis penyerahan rumah berkenaan yang dirasmikan oleh Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi, Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman.
Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, beliau telah berjanji kepada Pok Yah untuk menyempurnakan hasrat itu selepas mengetahui kesulitan yang dihadapi oleh penarik beca berkenaan.
"Pada Februari yang lalu saya berjanji untuk merealisasikan impiannya dan Alhamdulillah melalui Iman Care melalui peruntukkan sebanyak RM55,000 dan Pejabat ADUN Wakaf Mempelam dapat membina sebuah rumah yang berkeluasan 600 meter persegi dengan dilengkapi tiga buah bilik beserta sebuah bilik air, bilik mandi satu dapur dan satu ruang tamu.
"Insya-Allah projek ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tumpuan kita adalah membina rumah yang mana pemohon mempunyai halangan dari sudut mendapatkan peruntukkan kerajaan yang menetapkan syarat-syarat tertentu.
"Mana-mana individu yang kita fikirkan layak untuk dibantu maka melalui peruntukkan yang ada melalui NGO dan badan-badan yang lain akan membantu mempermudahkan hasrat rakyat untuk memiliki rumah kediaman sendiri," ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Iman Care Wan Ikhwan Wan Arif berkata rumah yang diterima oleh penarik beca itu merupakan rumah kelima yang berjaya dibina melalui program terbabit.
"Dibina selama 57 hari, Alhamdulillah dapat disiapkan lebih awal dari tarikh yang dijangka.
"Dengan bantuan ini diharapkan dapat membantu Pok Yah untuk membina kehidupan yang lebih baik pada usia sudah di penghujung jadi kita harap dapat memberikan sedikit kelegaan kepadanya," katanya.
Mengulas mengenai program yang diadakan itu Ikhwan berkata pihaknya komited bagi memastikan setiap tahun 10 buah rumah dapat dibina bagi membantu rakyat.
"Program ini sebenarnya kita dah mulakan pada tahun 2018 dan apabila mendapat sumbangan korporat dan orang ramai kalangan rakyat di negara ini yang prihatin dan simpati dapat kita membina kediaman kepada mereka yang memerlukan.
"Sebelum ini menerusi program yang sama kita telah membina dua buah rumah di DUN Permaisuri, empah buah rumah di Hulu Terengganu pula kita perbaiki dan rumah keenam akan dibina seumpama ini di Kampung Sekati DUN Manir, dan juga dalam perancangan akan turut dibina ialah di Seberang Takir dan juga Pengkalan Berangan,"ujarnya lagi.
19 Sep 21
1386
Solat Hajat Tanda Syukur Terima Bantuan Rumah
MARANG, 10 September - Tanda melafazkan rasa syukur menerima bantuan bina rumah baru, pemiliknya Zakaria Mohamad bersama beberapa penduduk setempat mengadakan solat sunat hajat di atas tapak rumah di Kampung Baru Bukit Kecil.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, barang-barang untuk proses pembinaan akan sampai pada minggu hadapan dan akan dibuat dalam kadar segera.
"Kami juga sangat teruja kerana dapat membantu keluarga Zakaria yang sememangnya orang yang kurang berkemampuan dan solat hajat yang dibuat ini juga untuk mengharapkan semua urusan dapat berjalan dengan lancar.
"Zakaria hanya berkerja sebagai buruh kampung, dan sebelum ini menyewa dan menumpang di rumah yang agak uzur di mana atapnya banyak yang bocor, dinding dan dapur yang berlubang dan tandas tidak sempurna, malah tiada pintu yang tertutup.
"Kita telah memberi bantuan kepadanya sebelum ini di mana melibatkan beberapa agensi seperti Norlan United yang telah bersetuju membaiki rumahnya dengan membaik pulih tandas dan bahagian dapur," katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya juga telah membawa wakil daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk permohonan bina baru rumah, dan telah diluluskan berdasarkan syarat-syarat.
"Kunjungan yang dibuat oleh pihak KPLB untuk menyiasat dan menjelaskan syarat-syarat seperti mempunyai tanah milikan sendiri, pendapatan serta pekerjaan dan lain-lain," katanya
Beliau berkata ketika selesai solat hajat tersebut yang diimamkan oleh Ketua Urusan Ulama, DUN Rhu Rendang, Ustaz Rasyid Mustafa .
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kelulut.
Keadaan rumah tumpangan Zakaria sebelum dibaiki
Katanya lagi, Pusat Khidmat telah memberi perhatian dan mengambil perjalanan sewajarnya kepada keluarga Zakaria yang mana termasuk sebagai golongan yang sangat memerlukan.
"Sebelum ini, keluarganya juga cuba untuk membina rumah tetapi tidak dapat disiapkan dan tergendala kerana kekurangan sumber kewangan dan hanya berkerja kampung.
"Di samping itu, musim pandemik COVID-19 dan tempoh perintah kawalan pergerakan ini juga sangat memberi kesan kepada penduduk dan orang yang berkerja seperti Zakaria," tambahnya lagi.
Hasil bantuan baik pulih daripada agensi Norlan United
10 Sep 21
503
'Giliran Kami Pula Bantu Penduduk Tepoh' - Ghazali
Oleh : Amiruddin Zamri
KUALA NERUS, 6 September - Sewaktu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menghadapi musibah banjir, pelbagai pihak termasuk sukarelawan dari DUN Tepoh diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menjalankan misi bantuan.
Kini apabila rakyat di Tepoh mengalami kesulitan akibat berlaku masalah air, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman pula mengerakkan sukarelawannya untuk membantu meringankan beban dialami penduduk terjejas akibat masalah berkenaan.
"Kami merasa terpanggil untuk turut menghulurkan bantuan, mengerahakan tenaga bantu seramai 23 orang dengan menggunaka tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan empat buah lori bagi digunakan dalam misi ini.
"Diantara kawasan yang kami jejaki ialah Kampung (Kg) Lerek dimana Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg berkenaan telah menjadi juru arah kepada kami dalam mengenalpasti rumah-rumah yang perlu disampaikan bekalan air ini.
"Pada sebelah petang kami telah menuju ke Bilik Operasi Bekalan Air Bersih di Batu Rakit, dimana kami diatur untuk menyampaikan bantuan ke Kg Gong Sekolah yang melibatkan seramai 110 orang yang terkesan akibat krisis air berlaku ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, ketika menjalankan misi berkenaan, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, banyak pengalaman yang diperolehi sepanjang menjalankan misi berkenaan.
"Secara tidak langsung menzahirkan bahawa kerja bantu-membantu yang digerakkan pelbagai pihak ini, menunjukkan bahawa masyarakat negeri ini melalui pimpinan-pimpinan di setiap DUN, sangat prihatin terhadap setiap masalah atau kesusahan yang menimpa.
"Juga melalui sukarelawan yang digerakkan oleh pelabagai Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan saya juga amat kagum dengan Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang tidak mengenal erti penat lelah.
"Dalam menghulurkan khidmat bakti mereka dalam menjalankan misi ini demi memastikan kebajikan rakyat terjaga," katanya.
06 Sep 21
148