Artikel "Kebajikan" Terkini
226 Warga Emas Terima Pencen Rakyat
KUALA NERUS, 24 Januari – Seramai 266 warga emas dari Seberang Takir telah menerima manfaat Pencen Rakyat Warga Emas dalam membantu menyara keperluan harian golongan sasar tersebut.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil, berkata bantuan itu merupakan sebahagian daripada manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan akhir tahun lepas.
Beliau berkata, semua penerima yang layak akan menerima bantuan RM50 sebulan sehubungan dengan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan pembayaran sebanyak RM300 bagi setiap penerima.
"Bayaran itu merangkumi pembayaran untuk bulan Jun hingga Disember yang akan mula disalurkan secara berperingkat kepada penerima bermula Ahad ini.
“Penerima terdiri daripada ketua isi rumah yang dikenalpasti tidak mendapat bantuan lagi daripada mana-mana agensi sama ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam),” tambahnya
Menemubual salah seorang penerima, Wan Abdul Rahman Jusoh, 69, ketika ditemuramah berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih atas pemberian tersebut sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian dan kecemasan.
“Saya tak jangka bahawa saya akan terpilih, Alhamdullilah dan terima kasih buat kerajaan negeri atas pemberian tahunan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kubang Badak, Wan Abdul Halim Wan Long, berkongsi perasaan gembira para penerima yang hadir dalam program penyerahan dana tersebut.
“Alhamdulillah pentadbiran Terengganu berjaya melaksanakan janji manifesto PRU yang lepas dan berharap akan diteruskan di masa-masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, seramai 19,230 warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini akan mula menerima bantuan Pencen Rakyat sebanyak RM300 seorang.
24 Jan 22
349
PERANTAU Platform Anak Rantau Perolehi Maklumat Kerajaan
HULU LANGAT, 24 Januari - Anak rantau dari negeri Terengganu digesa agar lebih aktif menyertai segala program dan aktiviti yang dilakukan oleh Sekretariat Kepimpinan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU).
Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Awasi Mohamad berkata, melalui penyertaan program yang dianjurkan oleh persatuan tersebut, segala maklumat berkenaan insentif bantuan daripada kerajaan kepada rakyat dari negeri ini yang berada di perantauan akan diperolehi.
"Kita sentiasa menganjurkan perjumpaan dengan mengadakan pelbagai program sosial, sukan dan melaluinya perkembangan semasa mengenai kerajaan negeri disampaikan.
"Apabila bertemu kita akan dapat maklumat untuk disimpan jika berlaku apa-apa permasalahan, dalam masa yang sama memelihara kebajikan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni rakyat Terengganu di Selangor yang terkesan banjir baru-baru ini, di sini, semalam
Beliau mewakili anak-anak rantau telah dikunjungi oleh rombongan kerajaan negeri yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turun padang bagi menyantuni mereka yang terkesan banjir secara mobil.
Dalam pada itu, Awasi berkata dengan menyertai persatuan PERANTAU juga memberi peluang anak negeri mengemukakan cadangan dan permasalahan untuk disalurkan kepada kerajaan negeri.
"Saya juga mahu mencadangkan agar Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap kampung menyalurkan maklumat mengenai anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dengan menghantar senarai nama kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (PKMD) masing-masing.
"Tujuannya, agar segala maklumat terbaru mengenai rakyat Terengganu yang berada di luar ini dapat kita perolehi.
"Sehingga kini, seramai 2,000 lebih yang aktif menyertai persatuan ini di negeri Selangor dan kita mengharapkan di masa akan datang akan lebih ramai menyertainya agar segala insentif ditawarkan kerajaan akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
23 Jan 22
687
Terengganu Jaga Kebajikan Perantau
HULU LANGAT, 24 Januari- Kerajaan Terengganu konsisten dalam menjaga kebajikan anak-anak negeri di perantauan dengan sentiasa mengambil cakna tentang segala keperluan dan masalah dialami untuk diberikan pelbagai bantuan.
Sebahagian anak-anak Terengganu turut terjejas akibat banjir di Selangor baru-baru ini, memberi kesan besar dalam kehidupan mereka sehingga ada yang trauma dengan kejadian tersebut.
Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, bersama pasukannya berkunjung ke setiap rumah untuk bertemu mata dengan mereka yang terkesan dan menyampaikan sumbangan daripada rombongan pihak kerajaan negeri dan juga badan bukan kerajaan (NGO).
"Inilah usaha kita lakukan samada di peringkat kerajaan negeri mahupun di peringkat NGO yang sangat prihatin tentang denyut nadi rakyat yang berada di sini ketika mengalami musibah.
"Sumbangan yang disampaikan pada hari ini sebahagian besarnya adalah daripada Perbadanan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di bawah Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) dan sebahagian lagi daripada warga negeri yang disalurkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Kelab Kebajikan Terengganu.
"Beberapa NGO yang turut terlibat antaranya ialah Al-Azhar Care, Cakna Care dan beberapa lagi pertubuhan yang lain. Saya jangkakan sekitar 100 keluarga menerimanya dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70,000.
"Alhamdulillah,setakat ini kita telah sampaikan semua sumbangan-sumbangan secara menyantuni dari rumah ke rumah yang mana kesemua mereka (penerima) ini telah dikenal pasti oleh Sekretariat Kepimpinan Anak-anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU)," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyantuni kesemua anak Terengganu yang terkesan banjir, di Selangor, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kemasik; Ir Saiful Azmi Suhali, ADUN Batu Burok; Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Setiausaha PERANTAU; Awasi Mohamad.
Salah seorang penerima bantuan, Fitri Yana Tumingan, berasal dari Hulu Langat yang berkahwin dengan anak jati Terengganu dari Ajil, Mohd Saifullizan Awang, mengakui teruja dengan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu itu.
"Alhamdulillah boleh buat belanja sedikit untuk kami sekeluarga serta emak mertua yang berasal dari felda Bukit Bading, Ajil yang kini tinggal bersama kami kerana sudah uzur. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri.
"Pengalaman banjir kali ini antara yang terburuk dihadapi selama tinggal di sini, memang boleh dikatakan tahun inilah yang paling memberi kesan disebabkan ramai yang terjejas dengan musibah yang dihadapi," katanya.
Sementara itu, Awasi menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dan cakna sehingga menjejaki perantau di mana sahaja berada untuk dibantu dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara.
"Sangat cakna dan prihatin sehingga bertungkus lumus untuk turun padang membantu anak-anak Terengganu di sini, seharian Hanafiah Mat berada di lapangan untuk turun berjumpa dengan kesemua mereka ini pada hari ini.
"Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO juga telah turun menyantuni penduduk yang berada di Lembah Klang, sebelum ini pun telah ramai wakil rakyat yang telah turun bertemu dan membantu anak rantau ini," katanya.
23 Jan 22
660
GLOWAQAF Sasar Dana RM125 Juta Bantu Komuniti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Global Al-Quran Waqaf Projek (GLOWAQAF) sedang giat memperkenalkan projek bantuan dana dengan menyasarkan sejumlah RM125 juta bagi membantu individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Amirah Izzati berkata ia juga termasuk bagi membantu institusi pendidikan seperti Maahad Tahfiz, Madrasah, Pondok dan rumah anak yatim yang selama ini hilang punca pendapatan sehingga terpaksa gulung tikar.
Katanya, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam Malaysia (PERKIWISA) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat juga telah bergabung melancarkan inisiatif tersebut.
"Dalam masa yang sama projek ini juga turut berhasrat melahirkan daie al-Quran untuk menyebarkan ilmu mukjizat tersebut, di samping membantu komuniti di negeri ini dengan dana yang dikumpulkan.
"Kita hendak membantu maahad tahfiz, madrasah, pondok pengajian al-Quran yang terjejas dengan menawarkan dana merangkumi pembangunan, pensijilan, pengurusan dan pendidikan, kita mahu ilmu agama yang mereka miliki diiktiraf.
"Bermula dengan sijil, diploma sehinggalah PHD, silibus yang disediakan kita akan adakan kerjasama dengan beberapa universiti sama ada dalam dan luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian, pada sidang media bagi mengebahkan program berkenaan, di Duyong Marina & Resort, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahirhatim Solihotdin.
Mengulas lanjut, pihaknya juga sedia menawarkan kerjasama kepada mana-mana anak syarikat (GLC), koperasi, pertubuhan, perbadanan atau yayasan yang berupaya untuk menguruskan projek yang diadakan itu di negeri ini.
"Di samping bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang punca pendapatan kepada mereka yang layak dan berpotensi untuk menguruskan projek ini dengan potensi pendapatan di antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan" katanya.
Jelasnya, apa yang istimewa mengenai porgram berkenaan, setiap pewaqaf akan diberikan baucer percuma program yang bernilai RM8,999 walau hanya mewaqafkan satu naskah al-Quran.
"Segala sumbangan ini akan diserahkan sendiri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli parlimen di kawasan masing-masing. Semoga dengan usaha ini dapat membantu rakyat Terengganu dalam mendepani cabaran ini.
"Untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayarinya melalui media sosial dengan carian Glowaqaf di Facebool atau websitenya ialah waqaf.glowaqaf.my," ujarnya lagi.
20 Jan 22
391
Penerima Pencen Rakyat Luah Rasa Syukur
KEMAMAN, 19 Januari - " Alhamdulillah, dapat lah saya gunakan sumbangan yang diterima hari ini untuk membeli barang-barang keperluan," itu antara luahan hati Abd Kadir Ismail, 77 Tahun.
Beliau yang tinggal di Kampung Besut terharu atas usaha kerajaan negeri yang melaksanakan sumbangan pencen rakyat itu.
"Saya harap sumbangan seperti ini akan berterusan untuk masa akan datang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima sumbangan itu di Dewan Dato' Seri Amar Diraja, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pelaksanaan pencen rakyat merupakan manifesto Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri Terengganu sebelum memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
"Rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kami untuk memerintah negeri ini. Hari ini kerajaan telah bersetuju membayar pencen rakyat kepada lebih 19,000 warga emas," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan Majlis Sumbangan Pencen Rakyat Dun Cukai.
Dalam majlis itu, seramai 712 orang warga emas telah menerima sumbangan sebanyak RM300.
Bantuan pencen rakyat dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara, tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta berada dalam golongan miskin.
19 Jan 22
928
Keresahan 256 Nelayan Dapat Perhatian ADUN Bukit Tunggal
KUALA NERUS, 17 Januari – Seramai 256 orang nelayan terjejas mata pencarian rezeki akibat musim Monsoon Timur Laut di sekitar Bukit Tunggal tidak tercicir daripada perhatian kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, beliau amat memahami situasi getir seorang penggiat laut yang juga ketua keluarga apabila tibanya musim tengkujuh.
“Sebagai anak yang membesar dalam keluarga nelayan, saya dapat menjiwai perasaan mereka.
‘’Oleh itu, saya guna peruntukkan khas dari Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Tunggal bagi membantu meringankan sedikit beban mereka dengan bantuan kewangan sebanyak RM300 seorang.
“Kerja sebagai nelayan sepenuh waktu ini pendapatan tidak menentu dan jarang ada simpanan tetap, oleh itu kita mengambil usaha penyokong dalam ’’ katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Musim Tengkujuh Peringkat Dun Bukit Tunggal di Dewan Sivik Pulau Duyong, baru-baru ini.
Menemubual salah seorang penerima, Abdullah Abdul Rani, 64, dari Kampung Banggol Limau, beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kecaknaan pihak MTD dalam menjaga kebajikan mereka.
“Masa air kucoh ni, dok berani nok kelaut, hanya duduk baiki bot sahaja,’’ ujarnya yang telah berkecimpung selama 18 tahun sebagai nelayan.
“Bantuan berupa wang tunai berjumlah RM300 ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut mencari rezeki beberapa bulan lepas,’’ katanya.
17 Jan 22
496
'Boleh Tampung Perbelanjaan Kami' - Penerima Pencen Rakyat
KUALA NERUS, 17 Januari – Rata-rata warga emas yang menerima bantuan kewangan pencen rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur dan terharu atas usaha keprihatinan di bawah kepemimpinan kerajaan negeri.
Salah seorang penerima berasal dari Kampung Pulau Ketam, Mohammad Abdullah, 73, menyifatkan pemberian itu dapat menampung kos perbelanjaan bulanannya.
‘’Meskipun pada dahulunya kerja saya hanya memandu lori di sebuah syarikat swasta namun inisiatif ini sangat dihargai dan membantu golongan warga emas seperti saya,’’ katanya ketika ditemu bual selepas majlis penyerahan bantuan pencen rakyat Negeri Terengganu Peringkat DUN Bukit Tunggal, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata bantuan RM600 setahun ini adalah untuk warga emas yang tidak menerima sebarang bantuan dari pihak kerajaan.
‘’Mewakili Kerajaan Terengganu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ibu-ibu ayah-ayah yang terpilih menerima sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan dari pihak kerajaan ini.
‘’Sumbangan ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan sumbangan warga emas yang telah lama bekerja sebelum ini dalam apa jua lapangan sama ada buruh, nelayan, petani dan sebagainya bagi memajukan sektor ekonomi negeri," jelasnya.
Jelas beliau, bantuan itu juga termasuk kejayaan 18 daripada 20 manifesto dari 2018 sehingga 2021 tempoh pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan janji sebagaimana yang termaktub dalam manifesto Pilihanraya Umum lepas.
“Jika ada rakyat dalam Dun ini yang layak tetapi terlepas pandang atau tercicir nama mereka, sila hubungi wakil kampung setempat untuk tindakan selanjutnya,’’ tambahnya.
17 Jan 22
676
'Jangan Hina, Kami Cuma Mahu Bina Hidup'
PETALING JAYA, 15 Januari - Anak-anak Terengganu yang bekerja di Panasonic memuji kerajaan negeri kerana telah melaksanakan kerjasama dengan syarikat berkenaan sehingga mampu mengubah nasib hidup mereka melalui tawaran peluang kerja.
Hazahar Zulkefli, 33, menyifatkan peluang melalui Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Terengganu oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) merupakan satu keperluan cukup mendesak ketika ini.
Katanya, melalui usaha itu kerajaan negeri telah membantu banyak perkara antaranya kos ke Selangor, penginapan dan pengangkutan yang disediakan secara percuma melalui persefahaman dengan syarikat.
"Kami hanya datang dan bekerja sahaja di sini, tidak lebih daripada itu, ini hakikat yang perlu diketahui umum sebelum membuat apa-apa kenyataan.
“Saya kehilangan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan kerajaan negeri telah menawarkan pakej yang sangat bagus untuk saya rebut.
“Perkara ini dah kurangkan bebanan saya dan saya datang dengan azam membina semula kehidupan untuk bekeluarga dan memiliki pendapatan seperti orang biasa,” katanya ketika ditemui di asrama pekerja PAPAMY, di sini semalam.
Nurkhuzaini selaku exco bertanggungjawab, sering turun padang memantau keperluan anak-anak perantauan yang baru membina semula kerjaya mereka.
Jelas anak kelahiran Besut itu, mungkin orang memandang remeh kerja di kilang tetapi hanya individu yang merasainya akan bersyukur dengan peluang itu.
“Bagi saya, gaji di sini memuaskan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, tanpa pakej ini pun saya sanggup datang bekerja daripada duduk sahaja di rumah.
“Sekarang, dengan pendapatan bulanan sebanyak kira-kira RM2,900 sebulan, saya turut dapat hantar wang kepada keluarga,” katanya.
Imran (berbaju biru) dan Ahmad Rahimi selesa dengan kerjaya, mahu bina pengalaman dan modal untuk masa depan.
Sementara itu, Mohd Imran Ismail, 30, yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, pada awalnya dia datang untuk mendapatkan modal sebelum membina kerjaya baharu di kampung.
“Saya ingin cari modal asalnya, tetapi jika boleh saya ingin kerja lebih lama di sini. Kami semua masuk sebagai operator, tetapi baru-baru ini ada rakan yang berkelulusan ijazah sudah ditawarkan ke posisi lebih tinggi oleh pihak syarikat.
“Sebelum ini saya skeptikal juga dengan kerja kilang, tetapi apabila sudah datang ke sini saya dapati ia selesa tambahan pula kilang dari Jepun ini yang mengamalkan budaya kerja yang baik.
“Sebenarnya, di mana-mana boleh sahaja asalkan ada peluang kerjaya yang stabil. Jika saya bekerja di Terengganu, saya kurang peluang untuk menambah kewangan berbanding di sini boleh kerja lebih masa dan buat banyak sedikit wang selain karier boleh berkembang dalam syarikat,” katanya.
Perkara tersebut turut dipersetujui anak kelahiran Bukit Besi, Dungun, Ahmad Rahimi Izzuddin Mohd Asri, 29 tahun.
Dia datang bekerja untuk membina kewangan stabil sambil menimba pengalaman sebelum mendapat tawaran lebih baik.
“Tiada masalah untuk bekerja di luar Terengganu asalkan ada kerja sahaja, kerana di sini lebih stabil ditambah dengan penginapan dan pengangkutan juga disediakan, jadi kami lebih selesa.
“Memang bagus dekat dengan keluarga kerana kita boleh menguruskan keluarga, namun tidak menjadi masalah kerja di luar jika memberi pulangan lebih baik.
“Buat permulaan, saya sasarkan lima tahun untuk kerja di sini jika tiada tawaran daripada agensi kerajaan,” katanya.
14 Jan 22
2221
'Terima Kasih Cari Dan Bantu Kami' - Penerima Bantuan
SHAH ALAM, 14 Januari - Sebahagian rakyat Terengganu yang terkesan banjir di Lembah Klang mula menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, semalam.
Razali Awang, 43, yang berasal dari Kampung Kedai Buloh merasakan pemberian Kerajaan bernilai RM500 amat besar.
"Terima kasih kerana kerajaan negeri sanggup cari kami di sini walaupun jauh.
"Saya rasa, usaha kerajaan negeri bagi tunai lebih baik kerana kita lebih tahu apa yang diperlukan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Muda, semalam.
Jelas perancang bandar itu, usaha itu sedikit sebanyak membina ukhuwah anak-anak Terengganu di perantauan dalam menyumbang kembali kepada negeri.
Dalam pada itu, pekerja kilang yang telah bermastautin di Sri Muda lebih 10 tahun, Mohd Ikhwan Nordin, 36, menyifatkan bantuan itu tanda keprihatinan negeri kepada anak-anak perantauan.
"Bukan sedikit, ia banyak membantu sebenarnya.
"Bantuan tunai lebih memberi manfaat kerana kami lebih tahu apa diperlukan dan kerajaan negeri memahaminya," katanya.
Salah seorang lagi penerima, Rosmiza Embong,52, berasal dari Kuala Terengganu, berterima kasih kepada kerajaan negeri atas segala usaha dilakukan.
"Ini meringankan beban kami yang hilang semua harta. Dengan ini, dapat sedikit membantu dan memberi semangat kepada kami.
"Masalah kami sekarang adalah pengangkutan ke kerja dan dengan bantuan tunai ini dapat membantu sedikit," katanya.
Dalam majlis penyampaian bantuan banjir itu, sebanyak RM110,000 disumbang kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated, KMI Healthcare dan TDM Berhad.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kepada enam Badan Bukan Kerajaan NGO anak-anak perantauan Terengganu.
14 Jan 22
838
Sukarelawan 'Hero' Dalam Mengangkat Mesej Perpaduan - Ir Saiful
KUALA TERENGGANU, 5 Januari-Rakyat di negara ini yang menyertai sukarelawan dalam menjayakan misi kemanusian serta menghulurkan pelbagai bantuan ketika bencana banjir yang berlaku boleh dianggap sebagai 'hero' dalam mengangkat mesej perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kesemua mereka telah bersatu hati dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan serta mengenepikan segala perbezaan tanpa mengira bangsa, budaya serta fahaman politik untuk sama-sama menyertai aktiviti kemanusian dalam meringankan beban dialami mereka yang terkesan.
"Ini merupakan suatu perkara yang sangat positif , mereka semua bolehlah dianggap sebagai wira.
"Walaupun tidak dibayar dan diberikan upah mahupun ganjaran namun kesemua mereka gigih membantu membersihkan rumah-rumah, masjid dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.
Katanya, seruan kerajaan melalui Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang telah menjadi platform yang baik untuk rakyat di negeri ini tampil membantu sedaya upaya bukan hanya mengikuti info serta perkembangan semata-mata bahkan telah turut turun padang.
"Kita mengharapkan agar selepas ini akan lebih ramai lagi terutamanya belia dan beliawanis dari negeri ini yang akan tampil bagi menyertai kegiatan kemanusiaan ini.
"Saya yakin serta percaya dengan jumlah yang lebih ramai kita akan bersedia untuk menjayakan misi bantuan ke mana-mana sahaja bukan hanya bertumpu dalam negeri semata-mata.
Tambahnya, secara tidak langsung misi tersebut berjaya merealisasikan bahawa gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan malaysia bukan hanya retorik semata-mata.
05 Jan 22
433