Artikel "Kebajikan" Terkini
Amzad 'Terbang Pulang' Rai Calon SPM Terjejas
KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pulang terus dari Kuala Lumpur selepas persidangan Parlimen hari ini, semata-mata ingin menyampaikan sendiri bantuan dan memberi semangat kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di Terengganu.
"Saya mendapat maklumat pagi tadi tentang kehadiran calon-calon SPM daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah di sekolah ini dan pelajar Madrasah Moden Terengganu (MMT) Hulu Terengganu yang ditempatkan di SMA Khairiah.
"Jadi, saya rasa walaupun mereka ini daripada parlimen yang lain tetapi apabila calon-calon ini ditempatkan di Kuala Terengganu, kita perlu meraikan dan memberi semangat supaya mereka lebih positif untuk mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di SMA Atas Sultan Zainal Abidin, malam ini.
Dalam majlis ringkas itu, sebanyak RM10,000 disampaikan Amzad kepada empat sekolah berkenaan di mana SMA Mahmudiah menerima RM5,000 dan MMT Hulu Terengganu pula menerima RM3,000.
Manakala, SMAASZA dan SMA Khairiah masing-masing menerima RM1,000.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Terengganu, Lothman Awang dan Pegawai Pendidikan Daerah, Zailani Sulong.
Tambahnya, sumbangan peribadi tersebut disampaikan bagi menampung apa-apa keperluan berkaitan untuk membolehkan mereka menampung apa-apa yang hilang ekoran banjir.
"Menjadi tradisi saya di parlimen Kuala Terengganu untuk memberikan bantuan kepada calon-calon peperiksaan seperti tajaan tuisyen SPM sebelum ini," katanya.
Terdahulu, seramai 131 calon SPM dari SMA Mahmudiah dipindahkan ke SMAASZA berikutan sekolah mereka dinaiki air, semalam.
41 calon SPM daripada MMT Hulu Terengganu pula dipindahkan ke SMA Khairiah bagi memastikan calon-calon terbabit dapat menjalani peperiksaan dengan tenang.
01 Mar 22
906
Kerajaan Sedia RM8 Juta Hadapi Banjir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Sebanyak RM8 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghadapi banjir tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.5 juta telah disalurkan ke seluruh negara setakat ini.
"RM500 ribu juga telah disalurkan kepada Terengganu menerusi JKM negeri bagi membantu pengurusan banjir kali ini.
"Peruntukan bantuan bencana ini merangkumi pengurusan banjir, pengurusan PPS, penyediaan depo bencana dan sebagainya.
"Saya juga berpuas hati dengan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam proses penyediaan PPS di sini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika sidang media ketika meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah.
Selain negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak turut menerima jumlah peruntukan yang sama.
Manakala, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur menerima RM100 ribu.
Sebanyak RM30 ribu pula disalurkan kepada Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Negeri Melaka menerima RM150 ribu dan RM50 ribu lagi disalurkan kepada Pulau Pinang.
28 Feb 22
408
PERANTAU Main Peranan Penting Bantu Anak Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) perlu memainkan peranan penting dalam membantu anak negeri ini yang merantau di luar mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya amat berharap agar badan tersebut menjadi mata dan telinga kerajaan bagi pihak sekali gus dapat menyampaikan sebarang cadangan, pandangan dan keperluan.
“Dalam tempoh 4 tahun pentadbiran PAS di negeri Terengganu, kita telah banyak melakukan kerjasama bersama PERANTAU ketika berhadapan dengan COVID-19 di mana bantuan-bantuan yang sepatutnya diterima oleh anak-anak Terengganu yang terkesan dengan COVID-19 telah berjaya dilaksanakan.
"Terdahulu, kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 pada 2 Mei tahun lepas buat anak Terengganu di perantauan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucacp merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-6 PERANTAU di Kuala Lumpur kelmarin.
Ujar Wan Sukairi, PERANTAU juga telah memainkan peranan penting dalam menjejaki mangsa banjir dari kalangan anak Terengganu yang diuji dengan banjir di Pahang dan Lembah Klang baru-baru ini.
"PERANTAU menjadi NGO utama yang mengagihkan bantuan tersebut bersama NGO anak-anak Terengganu yang lain.
"Saya amat berterima kasih kepada PERANTAU yang telah menjadi medium penghubung antara pihak kerajaan negeri bersama anak-anak Terengganu di perantauan di seluruh negeri termasuk di Sabah dan Sarawak," jelasnya.
Beliau juga berharap dengan hubungan yang dijalinkan bersama PERANTAU ini akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan negeri kepada anak-anak Terengganu di perantauan.
Dalam program yang sama, Wan Sukairi merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu PERANTAU yang diketuai oleh Prof Madya Dr Nuri Al Amin Endut selaku presiden.
20 Feb 22
1060
KOPERAT Baik Pulih Rumah Ibu Tunggal
KEMAMAN, 17 Februari - Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) melunaskan tanggungjawab sosialnya dengan membaikpulih sebuah rumah ibu tunggal di Kampung Panchur, Telok Kalong, Kijal.
Pengerusi Lembaga Pengarah KOPERAT Hishamuddin Abdul Karim berkata program sedemikian merupakan salah satu dari aktiviti 'Corporate Social Responsibility' (CSR) syarikatnya bagi membantu mereka yang memerlukan.
"Alhamdulillah dengan peruntukan sebanyak RM20 ribu rumah ini berjaya disiapkan dengan sempurnanya bagi memberi sedikit keselesaan kepada Puan Noremah sekeluarga.
Noremah A. Rahman
"Ribuan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kalong diatas kerjasama yang diberikan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh berkata demikian selepas majlis ringkas gimik penyerahan rumah yang dibaiki kepada penerimanya di sini kelmarin.
Sementara itu, penerima bantuan Noremah A. Rahman, 49, kelihatan sebak kerana terharu diatas apa yang diterimanya ketika cuba ditemubual oleh pemberita dan sempat mengucapkan terima kasih diatas bantuan yang dihulurkan kepada beliau dan keluarganya.
"Terima kasih kerana sudi membantu kami sekeluarga dan kami tak mampu membalas jasa pihak yang terlibat," ucapnya.
Rumah Noremah yang agak uzur sebelum ini akibat dimakan anai-anai kini kelihatan ceria setelah disenaraikan oleh JPKK sebagai penerima bantuan oleh CSR KOPERAT.
Kakitangan KOPERAT bergambar sebagai kenangan.
Turut hadir Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Pengarah KOPERAT, Abd Razak Mohamad, Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong, Pengurus Operasi & Pembinaan KOPERAT, Fadilah Mamat beserta pegawainya dan Pengerusi JPKK setempat Mohd Zuki Abd. Ghani.
16 Feb 22
590
644 Terima Manfaat Pencen Rakyat Terengganu
SETIU, 11 Februari - Satu lagi janji manifesto kerajaan Negeri Terengganu ditunaikan melalui Pencen Rakyat apabila 644 rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri turut menerima manfaat tersebut.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima pencen rakyat terdiri daripada mereka yang tidak menerima bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan bukan pesara yang menerima pencen tetap penjawat awam.
Zul Bhari ketika menyampaian ucapan dan merasmikan Majlis Penyampaian Pencen Rakyat Negeri Terengganu peringkat DUN Permaisuri.
"Inilah janji dan komitmen kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana yang ditawarkan dalam manifesto PRU-14 yang lalu dan kini menjadi kenyataan, Alhamdulillah.
"Walaupun kita merasakan nilai ini kecil tetapi ia sangat bernilai kepada semua penerima yang menerimanya hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Pencen Rakyat Terengganu peringkat DUN Permaisuri di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu di Sungai Tarom, semalam.
Terdahulu ucapan aluan disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Maliki Md Jusoh yang mewakili Pegawai Daerah Setiu.
Pada majlis itu, setiap penerima Pencen Rakyat menerima RM300 secara tunai yang melibatkan sejumlah peruntukkan RM193,200 bagi DUN Permaisuri.
Osman Daud, 73 salah seorang penerima ketika ditemui berkata, dia bersyukur atas penerimaan Pencen Rakyat dan akan menggunakannya bagi membeli keperluan keluarga.
11 Feb 22
486
28 Mangsa Banjir Perantau Dibantu ADUN Buluh Gading
KUALA NERUS, 9 Februari - Seramai 28 orang anak perantau daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading telah menerima sumbangan wang tunai setelah terjejas teruk akibat banjir di Negeri Pahang dan Selangor, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM500 bagi setiap keluarga yang terkesan akibat bencana pada akhir tahun lepas itu.
Sumbangan kepada mangsa banjir yang diadakan di Shah Alam, Selangor
"Banjir yang melanda tanpa jangkaan yang melibatkan lebih 70 ribu mangsa di dua negeri tersebut telah merosakkan banyak harta benda terutamanya barangan keperluan rumah.
“Pada mulanya, kita ke Pahang dan Selangor untuk menyerahkan sumbangan ini.
“Namun begitu apabila ramai perantau pulang bercuti di kampung masing-masing ketika cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, kita buat satu lagi majlis di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading," katanya ketika ditemu bual pemberita selepas selesai agihan sumbangan baru-baru ini.
Katanya, ketiga-tiga majlis berasingan telah dianjurkan bagi menyempurnakan agihan itu.
Sumbangan kepada mangsa banjir yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading
Jelasnya lagi, beliau berharap agar sumbangan berupa kewangan itu dapat meringankan serba sedikit kos penyediaan kelengkapan rumah kesan daripada musibah banjir tahun lepas.
09 Feb 22
535
Van Jenazah Percuma Di Tepoh Beroperasi 24 Jam
KUALA NERUS, 8 Februari - Pertubuhan Kebajikan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, TEPOH CARE terus memainkan peranan penting dalam melancarkan pengurusan jenazah di kawasan terbabit apabila menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma.
Pengurus Khairat Kematian DUN Tepoh, Syakir Ahmad berkata, inisiatif itu dilakukan
bagi meringankan beban ahli keluarga jika berlaku kematian.
Katanya, setakat ini penggunaan van jenazah ada kalanya tidak dapat memenuhi permintaan apabila berlaku beberapa kematian dalam tempoh masa berdekatan.
“Seperti yang berlaku hari ini, kematian Almarhum Zakaria Ismail di Kampung Seberang Tepoh dan Almarhum Salim Yusof di Kampung Seberang Medan.
“Insya-Allah pihak pengurusan TEPOH CARE sedang mempertimbangkan pembelian sebuah van jenazah baharu yang akan ditempatkan di zon yang berlainan. Untuk perkhidmatan dalam kawasan DUN Tepoh kami tidak kenakan apa-apa bayaran sama ada arwah peserta khairat kami atau tidak kerana perbelanjaannya telah ditanggung sepenuhnya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh,” katanya setelah ditemui pihak media di Tanah Perkuburan Kampung Lerek.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkhidmatan disediakan itu tanpa mengira jarak perjalanan dari rumah ke tanah perkuburan.
Jelasnya, keluarga yang tidak menyertai mana-mana badan khairat dan tergolong dalam kalangan keluarga miskin boleh mendapatkan kit pengurusan jenazah melalui Kiosk TEPOH CARE di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh.
“Boleh dikatakan perkhidmatan ini beroperasi 24 jam membabitkan keseluruhan di daerah ini jika ada kematian.
"Pengurusan jenazah yang ditawarkan bermesej saling membantu dan meringankan beban keluarga si mati,” tambah beliau.
08 Feb 22
1212
Nasib Tujuh Keluarga Mangsa Kebakaran Terbela
KEMAMAN, 29 Januari - Nasib tujuh keluarga yang menjadi mangsa rumah terbakar di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi terbela apabila kerajaan negeri akan membina kediaman baharu untuk mereka.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat memahami situasi mereka yang terkesan dengan kejadian tersebut.
"Projek pembinaan rumah ini akan bermula Mac depan dan dijangka siap menjelang Hari Raya Aidilfitri," ujarnya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada semua mangsa itu, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, organisasi-organisasi daripada parti dan badan bukan kerajaan (NG0) serta orang awam yang telah sama-sama menyumbang bagi meringankan bebanan mangsa ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat memaklumkan tujuh buah rumah itu akan dibina semula di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Kita bersimpati dengan mangsa terlibat dan akan membina semula rumah dengan kos sebanyak RM60,000 sebuah," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.
29 Jan 22
358
Rumah RM180 Ribu Dijual Hanya RM54 Ribu
BESUT, 24 Januari - Percaya atau tidak, sebuah rumah dengan kos RM180 ribu akan dijual pada harga RM54 ribu sahaja.
Itulah harga yang dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Beting Lintang, di sini.
Jelasnya, sebanyak 50 buah kediaman bakal dibina dalam projek berkenaan melibatkan kos sebanyak RM7.6 juta.
"Jualan tersebut melibatkan kaedah jual beli selama 25 tahun dengan ansuran bulanan serendah RM180 sebulan.
"Projek ini merupakan salah satu daripada tiga projek PSN negeri Terengganu dengan kos kira-kira RM24 juta.
“RM13 juta adalah sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan kerajaan negeri tambah RM11 juta untuk mencukupkan jumlahnya.
“Ini tidak termasuk biaya penyediaan tapak sebanyak RM10 juta yang turut ditanggung kerajaan negeri dan tanah diberikan secara percuma," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah PSN berkenaan di Beting Lintang, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II; Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Kota Putera; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu; Dato' Shahidan Embok.
Sementara itu, Dr. Samsuri dalam ucapan perasmiannya berharap, pembinaan PSN akan memberikan kemudahan kepada golongan nelayan yang sangat memerlukan kediaman.
“Kita dapat melaksanakan program perumahan kediaman yang menyediakan kediaman selesa kepada nelayan.
“Hari ini adalah untuk 50 nelayan sebagai permulaan dengan dana yang ada. Walaupun penempatan ini boleh dibina bagi menempatkan sehingga 200 kediaman, tetapi kita bermula dengan 50 buah buat masa ini.
“Insya-Allah, jika ada rezeki kita cuba teroka lagi untuk melengkapkan kepada 200 buah,” katanya.
Beliau turut berharap projek yang dibina berdasarkan ciri-ciri spesifikasi Rumah Darul Iman (RAHMAN) yang patuh syariah dengan berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur dan 2 bilik air.
Diharapkan agar spesifikasi yang ditambah baik ini akan dijadikan ‘blue print’ atau piawaian tetap kepada agensi kerajaan atau pemaju-pemaju luar yang ingin melaksanakan pembinaan rumah mampu milik di negeri Terengganu,” katanya.
Sebanyak tiga PSN Terengganu bakal dibangunkan iaitu di kawasan Pulau Sekepeng, Kemaman (7.26 hektar), di Beting Lintang ini (7.17 hektar) dan di Penarik, Setiu (4.69 hektar) dengan 50 buah rumah bagi setiap tapak.
25 Jan 22
2950
Kerajaan Negeri Belanja 2,393 Nelayan Terengganu Perbaharui Lesen
BESUT, 24 Januari - Terengganu mengumumkan pembaharuan lesen nelayan bagi tahun 2022 akan ditanggung kerajaan negeri bagi membantu golongan nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, kos pembaharuan lesen yang ditanggung melibatkan 2,393 orang.
"Hari ini saya hendak umum satu berita gembira yang kami telah putuskan. Biasanya jika hendak memperbaharui lesen nelayan, ada yuran yang perlu dibayar.
“Pertama ‘fee’ sampan berjumlah RM2, yang kedua ‘fee’ peralatan (RM2) dan yang ketiga ‘fee’ matil (RM5) nama dia, menjadikan kos RM9.
“Kos ini akan ditanggung kerajaan negeri bagi tahun ini. Doakan semoga kita dimurahkan rezeki supaya tahun-tahun yang seterusnya pun tidak perlu bayar,” katanya.
Beliau mengumumkan berita baik itu ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Beting Lintang, di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II; Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Kota Putera; Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu; Dato' Shahidan Embok.
Menurut Dr. Azman, sebelum ini lebih 600 nelayan sampan di seluruh Terengganu tidak mempunyai lesen menyebabkan mereka dinafikan daripada menerima kelebihan dan elaun, dan subsidi yang diperuntukkan.
“Alhamdulillah, pemberian lesen nelayan yang telah dibekukan sekian lama ini, gerakan ‘task force’ untuk mencairkannya bermula daripada negeri Terengganu.
“Beberapa kali kita berjumpa YB menteri berbincang dan akhirnya apabila menteri setuju mencairkannya, negeri-negeri lain juga menerimanya,” katanya.
Dalam projek tersebut, sebanyak 50 buah rumah kediaman nelayan bakal dibina melibatkan kos berjumlah RM7.6 juta melibatkan usahasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
24 Jan 22
377