lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Empty Image
16 Spesies Ikan Utama Bernilai Tinggi Ditemui Di Sungai Besut
Sebanyak 16 spesies ikan utama yang bernilai tinggi dan boleh menjadi sumber mata pencarian kepada nelayan darat ditemui di Sungai Besut.Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, penemuan hasil kajian inventori spesies ikan bertujuan untuk mengumpul maklumat dan taburan spesies ikan darat di negeri ini.Katanya, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang diberi tanggungjawab menjalankan kajian itu selama tiga hari mulai 10 Julai lalu di Sungai Besut.Menurutnya, hasil kajian itu turut membuktikan banyak ikan darat termasuk ikan kelah, lampam, baung dan sebarau membiak dengan baik di sungai berkenaan.Oleh itu, katanya, kerajaan memerlukan penguatkuasaan yang lebih kerap bagi membendung aktiviti menuba secara haram yang boleh menyebabkan spesies hidupan laut berkenaan pupus.Muhammad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata demikian selepas majlis pelepasan benih ikan ke perairan umum di Empangan Jajar Gong Duek, Jertih, hari ini.Pada majlis itu sebanyak 61,000 ekor  benih ikan lampam sungai dan 5,000 ekor benih ikan baung bernilai RM20,000 dilepaskan di perairan berkenaan.“Benih ikan yang dilepaskan itu diharapa dapat membiak dan bergerak menuju Sungai Besut iaitu sungai utama di daerah ini,” katanya.Muhammad Pehimi berkata, kerajaan melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sudah melepaskan 1.8 juta benih ikan dan udang serta induk ikan di beberapa sungai utama seluruh negeri sejak 2008.Beliau berkata, ketika ini terdapat 240 nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan mereka turut diberikan elaun bulanan RM200 sebulan sebagai bantuan sara hidup.
07 Sep 17
382
Empty Image
UniSZA Perkenal Produk Susu Kambing
Pehemi menunjukan produk susu kambing keluaran UniSZAUniversiti Sultan Zainal Abidin ( UniSZA) mengorak langkah mengeluarkan pelbagai produk makanan berasaskan susu kambing berjenama UniFarm.Naib Canselornya, Dato' Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif berkata, lima produk yang dikeluarkan daripada susu kambing segar ialah aiskrim,yogurt, keju, karipap dan samosa.Katanya, lima produk berkenaan mula dipasarkan kepada orang ramai sempena perasmian kiosk UniSZA di hadapan pasar raya Pantai Timur di Jertih.Beliau berkata, pelancaran kiosk yang pertama di negeri ini yang menjual produk berkenaan dihasilkan Pengusaha Komuniti Tenesu Kambing Besut ( PKTKB) di bawah bimbingan universiti itu."Kiosk berkenaan akan diperluaskan bukan sahaja di Daerah Besut,malah akan dibuat di bandar utama negeri ini, katanya selepas majlis perasmian kiosk perintis itu hari ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato' Muhammad Pehimi Yusof.Katanya, Program Ladang Kambing Tenesu (UDGF) dan kiosk berkenaan bertujuan memindahkan ilmu keusahawanan dalam bidang ternakan kambing tenusu kepada penternak tempatan.Beliau berharap kejayaan perusahaan itu akan meningkatkan sumber ekonomi berasaskan penternakan apabila pengeluarannya menjadi yang terbesar di negara ini.
29 Aug 17
308
Empty Image
Sate Jabi Bakal Setanding Sate Kajang
Ahmad Razif membakar sate sebelum menikmati hidangan itu di Kedai Sate Kak Mah Jabi sempena Majlis Santai Sepetang Bersama YAB MB Di DUN Jabi, semalam. Foto oleh Tg Syamim Tg IsmailKerajaan negeri berhasrat menjadikan Pekan Jabi, hab sate di Terengganu mampu dikenali di seluruh Malaysia setanding sate Kajang,  bermula tahun depan.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan khusus akan disediakan bagi mengembangkan perusahaan itu termasuk membangunkan prasarana serta infrastruktur baharu yang lebih lengkap.“Kita berhasrat supaya Jabi ini akan dikenali sebagai hab sate Terengganu pada tahun depan. “Sehubungan itu, kita akan menyediakan bajet khusus bagi membangunkan fasiliti dan infrastruktur  serta memastikan lebih ramai penduduk di Jabi ini menjalankan perniagaan ini dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan,”katanya.Beliau berkata demikian di Majlis Santai Sepetang Bersama YAB Menteri Besar Di DUN Jabi, di Kedai Sate Kak Mah, Jabi, semalam. Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan ADUN Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor.Hadir sama, Pegawai Daerah Besut, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.Ahmad Razif  sempat menikmati keenakan sate ayam, daging dan kambing serta pelbagai menu lain termasuk arnab panggang, tapai dan bubur kacang bersama kira-kira 250 masyarakat sekitar yang turut hadir di majlis itu.Selepas menikmati hidangan petang itu, beliau bersama Iskandar dan pemimpin setempat yang lain kemudiannya menziarahi tiga orang veteran UMNO Jabi termasuk bekas wakil rakyat DUN berkenaan.Sebelum itu, dalam ucapannya, Menteri Besar turut meluluskan peruntukan tambahan RM150,000 bagi menambah baik Masjid Jabi dengan menjadikan kos keseluruhan penambahbaikan itu RM300,000.“Saya sangkakan pelawaan YB Iskandar kepada saya dan isteri hanya makan sate Jabi, sebaliknya pula berlaku apabila dia minta saya tambah bajet untuk baiki Masjid Jabi. Tapi tidak mengapalah, beliau minta bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya untuk manfaat penduduk setempat juga. Jadi saya luluskan tambahan bajet RM150,000 itu pada hari ini,”kata beliau lagi sambil berseloroh.
29 Aug 17
812
Empty Image
Pisang Kejuk Dalila Jadi Tular
Dunia perniagaan berasaskan makanan turut mengalami evolusi dan inovasi pantas akibat kuasa media sosial masa kini.Bagi Nur Dalila Farhana Yusof, 29, yang menjalankan perniagaan `Pisang Kejuk' bersama suaminya sejak dua tahun lalu, pengaruh media sosial seperti facebook dan whatsapp juga banyak membantunya untuk melariskan perniagaan dengan penularan promosi yang lebih cepat.Katanya, pada permulaan perniagaan, dia hanya menjual di kedai terletak di perkarangan Flat Polis Padang Hiliran Kuala Terengganu sebelum meluaskan rangkaian bagi memenuhi permintaan ramai penggemar `pisang cheese' istimewanya itu dengan membuka lima cawangan baharu lagi."Alhamdulillah sekarang saya telah dapat membuka enam gerai, iaitu empat di Terengganu. Selain di Flat Polis Hiliran, Gudang Makan (Manir), Kedai Molek dan Sura Jeti di Dungun), manakala satu di Taman Daya Johor Bharu dan satu lagi di Lembah Sirih,Kota Bharu, Kelantan.“Perniagaan kami bukan sahaja pelanggan datang dan ambil sendiri, bahkan kami meluaskan perkhidmatan menerusi perkhidmatan `COD' (Cash On Delivery), tetapi bukan setiap hari. COD pada hari yang tertentu sahaja,"katanya kepada Teganukita.Menceritakan permulaan dia berjinak-jinak menceburi bidang itu,Dalila membantu ibunya seorang penjual goreng pisang sebelum tercetus idea untuk memvariasikan produk makanan itu supaya lebih menarik dan memberi kelainan kepada penggemar `dessert' dan kudapan petang di Terengganu.Dia juga mengenakan harga berbeza setiap pilihan dan mengikut perisa yang diinginkan pelanggannya seperti keju coklat, coklat marshmallow, coklat bubble, pelangi dan keju susu."InsyaAllah, pada masa yang akan datang, saya akan membuka cawangan di seluruh negeri serta menambah lagi kepelbagaian perisa bagi memenuhi selera penggemar pisang cheese yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia,”katanya,
21 Aug 17
1125
Empty Image
Lima Skim Bantuan dan Kemudahan Disediakan Untuk Usahawan IKS
Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menyediakan lima skim bantuan dan kemudahan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri ini.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohammad berkata, ianya untuk pembangunan perniagaan dan produk, pembiayaan perniagaan, premis dan kilang IKS, latihan dan seminar keusahawanan serta promosi dan pemasaran.Katanya, menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan T’Fund, sebanyak tiga skim yang ditawarkan YPU iaitu Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dengan had maksimum RM20,000.“Sementara, Skim Pinjaman Bisness Online (SPBOL) pula had maksimum adalah RM10,000.“Skim Pembiayaan Usahawan Terengganu (SPUT) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad menawarkan had maksimum sebanyak RM1.0 juta,” ujarnya.
20 Aug 17
66
Empty Image
Jualan Kuih Gong Kapas Semakin Meningkat Menjelang Musim Pilihan Raya
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, turut memberi kesan kepada jualan kuih-muih di Bazar Kuih Tradisional di Gong Kapas, Kuala Terengganu apabila semakin mendapat sambutan ramai khususnya untuk program mesyuarat cawangan sehingga ke perwakilan parti setiap bahagian.Tengku Othman Tengku MohdPemilik bazar berkenaan, Tengku Othman Tengku Mohd,50, yang menjalankan perniagaan bersama kembarnya, Tengku Ahmad Tengku Mohd, berkata setiap hari akan ada tempahan dari pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta yang menempah kuih di bazar untuk pelbagai majlis keraian.“Lebih 100 jenis kuih tradisional dan moden yang terdapat di sini, banyak syarikat dan individu yang telah menempah kuih sekiranya ada mesyuarat dan program rasmi."Malah, sambutan juga semakin meningkat terutama untuk sajian di majlis mesyuarat di peringkat kampung sehingga ke peringkat negeri dan daerah (bahagian), apatah lagi menjelangnya PRU tidak lama lagi,"katanya kepada Teganukita.Katanya, hasil jualan harian lebih kurang RM2,000 sehari, boleh meningkat kepada RM5,000 apabila ada tempahan khas untuk sebarang majlis.“Kami sentiasa bersedia menerima tempahan, tidak kiralah dalam kuantiti yang sedikit ataupun banyak, kerana perniagaan kami dibuka setiap hari kecuali pada musim Aidilfitri dan Aidiladha.Katanya, bazar kuih tradisional ini juga telah membuka satu lagi cawangan baharu di Mayang Place, Batu Buruk, sejak tahun lalu.Tambahnya, walaupun bazar itu sudah ditambah baik kerajaan negeri bagi memberi keselesaan kepada peniaga pada Januari lalu, pihaknya berharap agar disediakan parkir kenderaan di hadapan bazar itu.“Saya berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah parkir supaya dapat menarik lebih ramai lagi pembeli untuk membeli dan membuat tempahan di sini,”katanya.
16 Aug 17
1318
Empty Image
E- Commerce, Pasaran Yang Menguntungkan
Perdagangan elektrik atau lebih dikenali sebagai E- commerce (E-dagang) dilihat sebagai medium baharu untuk usahawan pada masa kini menjual barangan dan perkhidmatan, sama ada melalui internet atau melalui rangkaian media sosial.Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, ia merupakan pasaran yang menguntungkan dan dapat mengembangkan perniagaan serta rujukan mereka bukan sahaja pasaran tempatan, tetapi dalam sudut pandangan global. “Ia juga dapat memacu pertumbuhan bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian di negeri Terengganu, walaubagaimanapun penglibatan orang Melayu dalam kegiatan tersebut masih rendah. “Sebab itu, adalah diharapkan menerusi bantuan dan kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan dalam membantu perniagaan bumiputera dapat dihayati dan disebarkan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvensyen Usahawan Melayu; ‘Mendepani Cabaran Ekonomi Masa Kini’ di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Kuala Terengganu.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Dr Tengku Khairi Tengku Abdul Rahman. Wan Nawawi turut merakamkan ucapan tahniah dengan insentif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), YPU serta beberapa agensi yang terlibat dalam Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) berhubung penganjuran konvensyen tersebut. Menurutnya, kerjasama yang berkonsepkan kerjasama strategik ataupun NBOS antara agensi yang terlibat bertepatan sekali bagi pembangunan usahawan kerana perkembangan hari ini perlu bergerak bersama.
14 Aug 17
112
Empty Image
Koperasi Luaskan Peranan, Sertai Pasar Tani Hiliran
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong Merasmikan Majlis Pra Pelancaran Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Terengganu. Foto oleh Tg. Syamim Tg. Ismail.Koperasi meluaskan skop penubuhannya apabila membuka 10 gerai di Tapak Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu bermula 3 Ogos hingga 10 Ogos ini .Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong berkata, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya atas usaha-usaha yang dilakukan oleh koperasi selaras dengan agenda transformasi ke arah kesejahteraan.“Dengan pogram yang diadakan ini, saya melihat koperasi banyak membuat perubahan dengan mengembangkan skopnya membuka 10 gerai di tapak pasar tani ini.“Saya percaya dengan 700 buah koperasi yang kini ahlinya hampir setengah juta orang merupakan satu perkembangan yang baik dari koperasi. Malah, koperator Terengganu sering kali mendapat anugerah koperator yang terbaik di Malaysia.“Saya turut menyeru kepada sesiapa yang belum menjadi ahli Koperasi untuk bergiat aktif dalam bidang ini kerana banyak peluang yang akan diperolehi sekiranya anda masuk menjadi ahli Koperasi,” beliau berkata demikian dalam sidang media Pra Pelancaran Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Terengganu di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, pagi tadi.Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Mohd Ruslan Awang berkata Koperasi telah lama terlibat dalam perniagaan di Pasar Tani tersebut. Walaubagaimanapun, koperasi cuba untuk terus mengembangkan dengan menubuhkan lebih banyak gerai di masa akan datang.“Koperasi juga berharap agar Pasar Tani Padang Hiliran akan menjadi tempat para koperator untuk mengasuh bakat mereka dalam perniagaan,”katanya.Antara badan koperasi yang terlibat ialah Koperasi Rukun Tetangga Telaga Batin Terengganu Berhad, Koperasi Peka Malaysia Berhad, Koperasi Mesra-Net Terengganu Berhad, Koperasi Warisan Keluarga Othman Kuala Terengganu Berhad, Koperasi TKPM Besut Berhad, Koperasi Kakitangan Ziq Terengganu Berhad, Koperasi As Salam Terengganu Berhad, Koperasi Pertis Terengganu Berhad dan Koperasi Kecantikan dan Spa Terengganu Berhad.
03 Aug 17
498
Empty Image
Panji Curve, Bangunan Komersial Tarikan Terbaru Di Kuala Terengganu
Panji Curve setinggi empat tingkat di Dataran Panji, Gong Kapas, Kuala Terengganu. Foto Zulkifli C W PutraLembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) terus melebarkan sayap perniagaannya apabila memiliki satu lagi premis perniagaan Panji Curve bernilai kira-kira RM40 jutadi Dataran Panji, Gong Kapas, Kuala Terengganu.Bangunan Komersial empat tingkat didirikan di kawasan seluas satu hektar itu akan beroperasi dalam tempoh terdekat selepas selesai penyerahan kunci kepada pemilik premis. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Negeri Dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, projek mesra Orang Kelainan Upaya itu dilengkapi 70 lot perkedaian, 127 petak tempat letak kenderaan dan kemudahan lif.Menurutnya, pembangunan projek itu merupakan usahasama antara kerajaan negeri melalui LTAWNT dengan RME Sdn. Bhd.Katanya, dengan menekankan konsep bandar selamat, Panji Curve berjaya disiapkan dalam tempoh setahun dengan penyerahan CCC (Certificate of Completion and Compliance) diadakan pada hari ini.“Harga jualan seunit lot perkedaian adalah antara RM529,000 hingga RM1 juta seunit.“Sambutan daripada usahawan tempatan dan luar Terengganu sangat  memberangsangkan di mana 80 peratus daripada keseluruhan lot pekedaian telah terjual,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan CCC Projek Perkedaian, di Dataran Panji, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Zulkifli Abu Bakar.Mohd Jidin turut memberitahu, kerajaan negeri menyokong penuh sebarang usaha untuk menambah baik syarat-syarat kelulusan pelan pembangunan oleh pihak MBKT. “Pada masa sama, menghargai kesediaan dan kebolehan pihak pemaju dalam menyediakan konsep dan reka bentuk bangunan yang menarik dan setaraf dengan bandar-bandar besar lain di Malaysia.“Projek pembangunan ini juga wajar dicontohi dan menjadi ikutan kepada pihak berkuasa tempatan lain di Terengganu serta pemaju dan perunding lain untuk lain-lain projek di masa akan datang,”katanya..
11 Jul 17
2232
Empty Image
Air Cendol Tengah Bandar Punca Rezeki Pak Safril
Syawal memberi limpahan rezeki buat seorang warga emas yang mengusahakan jualan air cendol di tengah pusat Bandar Raya Kuala Terengganu apabila banyak menerima tempahan terutama untuk majlis rumah terbuka.   Mengekalkan resepi tradisional dan hanya menggunakan bahan asli, perniagaan diusahakan Safril Dalil, 60, atau dikenali sebagai Pak Safril sejak 30 tahun lalu mampu memberi pulangan berlipat kali ganda setiap kali kedatangan Aidilfitri.   Warga emas yang berasal dari Wakaf Mempelam itu berkata, lazimnya pada hari biasa dia hanya menjual sekitar 100 gelas air cendol, namun pada bulan Syawal dia terpaksa menggandakan bahan yang dijual disebabkan permintaan tinggi.   “Pakcik jual air cendol ini sudah lama sejak anak baru pandai merangkak dan sekarang dia pun dah mempunyai anak sendiri, pakcik masih kekal berniaga sebagai mata pencarian utama keluarga dengan dibantu isteri. "Inilah pekerjaan pakcik dari dulu sampai sekarang dan Alhamdulillah dengan rezeki ini kerana kalau tidak kita sendiri berusaha mana mungkin dapat menyara kehidupan sehingga anak-anak dewasa dan berdikari sendiri,” ujar bapa kepada empat orang anak itu kepada Teganukita, hari ini.   Safril berkata, bagi menjamin kualiti yang terbaik untuk pelanggan, dia masih mengekalkan bahan-bahan tradisi seperti manisan gula melaka, kacang merah, cendul dan juga pulut yang mampu memenuhi selera pelanggan. "Alhamdulillah musim raya ini permintaan terhadap cendol pakcik agak memuaskan, termasuk untuk majlis rumah terbuka, perkahwinan, jamuan keluarga dan sebagainya,” ujarnya yang turut menjual rojak buah dengan menggunakan motosikal, selain dibantu abangnya setiap kali menjalankan urusniaga itu.
04 Jul 17
410