lightning-solid
Berita :
Kanak-kanak Solat Subuh Berjemaah di Masjid Dapat Basikal
Kanak-kanak Solat Subuh Berjemaah di Masjid Dapat Basikal
Hafiz Rosli
6 jam yang lepas
76

KEMAMAN, 28 Oktober – Program King of Subuh Warrior 3.0 yang berlangsung di Masjid Padang Kubu, Kijal berjaya menyemai semangat cintakan masjid dalam kalangan kanak-kanak melalui aktiviti solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata program yang dianjurkan buat kali ketiga itu sebelum ini pernah diadakan di Masjid Titian Berayun dan Masjid Batu 9, serta akan diteruskan di beberapa masjid sekitar Kijal pada edisi seterusnya.

“Pemenang utama disandang oleh Ahmad Ammar Nawfal Mohd Afiq, 11 tahun  yang berjaya solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut sekali gus membawa pulang sebuah basikal, hamper serta sijil penyertaan.

“Manakala, tempat kedua dimenangi oleh adik Ammar Al-Fateh Mohd Afiq, 8 tahun yang mencatat kehadiran selama 39 hari, diikuti peserta-peserta lain.

“Program yang berlangsung dari 22 Ogos hingga 30 September lalu disertai oleh peserta berumur 17 tahun ke bawah dan kehadiran direkodkan melalui sistem kupon khas setiap hari,” jelasnya.

FB_IMG_1761534879689.jpg 228.85 KB

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian penutup Program King Of Subuh Warrior 3.0 bertempat di Masjid Padang Kubu baru-baru ini.

Sementara itu, ayah kepada pemenang utama, Mohd Afiq Azmi, berkata pada awalnya agak mencabar untuk membiasakan anaknya bangun awal pagi, namun lama-kelamaan ia menjadi rutin harian.

“Hari pertama dan kedua memang susah sikit nak kejut, tapi lepas tu dia sendiri bangun awal dan semangat nak ke masjid,” katanya.

Pemenang utama, Ahmad Ammar Nawfal Mohd Afiq, turut berkongsi rasa gembira dan lebih bersemangat menunaikan solat Subuh berjemaah selepas suntikan semangat yang diberikan .

“Saya rasa seronok, lagi semangat nak ke masjid sebab dapat jumpa kawan-kawan dan ada hadiah basikal.

Terima kasih kepada ibubapa yang kejut saya ketika Subuh, insya-Allah lepas ni saya akan usaha untuk bangun sendiri,” ujarnya.

Razali berkata program tersebut merupakan kerjasama komuniti masjid di bawah sokongan Pusat Khidmat DUN Kijal bagi menarik minat anak-anak muda untuk mendekatkan diri dengan aktiviti masjid.

“Tahniah kepada semua peserta dan pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut secara konsisten di masjid-masjid sekitar Kijal.

“Semoga usaha sebegini terus membakar semangat anak-anak kita untuk memakmurkan rumah Allah,” ujarnya.
FB_IMG_1761534864083.jpg 269.84 KB


Tag :

Artikel Berkaitan