Jalur Gemilang
Berita :
TDM Pulih Terumbu Karang Redang, Kerajaan Negeri Ajak Korporat Ikut Jejak
TDM Pulih Terumbu Karang Redang, Kerajaan Negeri Ajak Korporat Ikut Jejak
Adli Mohamad
9 jam yang lepas
133

KUALA NERUS, 13 September – Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TDM Berhad dalam melaksanakan program konservasi terumbu karang di Taman Laut Pulau Redang disifatkan sebagai langkah terpuji dalam usaha memastikan kelestarian sumber marin Terengganu terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata program bertemakan Protecting Our Reefs, Sustaining Our Future itu penting bagi memastikan Pulau Redang kekal sebagai destinasi pelancongan utama negeri.

Menurutnya, inisiatif tersebut juga wajar dijadikan contoh kepada badan korporat serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan untuk turut memainkan peranan dalam usaha pemuliharaan ekosistem marin.

Katanya, meskipun TDM Berhad terlibat dalam sektor perladangan dan kesihatan, syarikat itu tetap mengambil tanggungjawab untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Tindakan yang dilakukan oleh TDM merupakan satu langkah yang sangat baik dengan memberikan sumbangan korporat kepada pembangunan dan pemulihan marin yang sangat penting kepada ekonomi negeri Terengganu, terutama dalam sektor pelancongan.

“Jadi sasaran pemulihan ini adalah untuk sektor pelancongan dan juga perikanan. Justeru, usaha ini diharapkan tidak berhenti dengan satu program ini sahaja.

“Kita bersedia untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk kelab penyelam demi memulihkan Taman Laut Pulau Redang,” katanya.

Dr. Azman berkata Terengganu mempunyai 26 pulau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, dengan 13 daripadanya telah diwartakan sebagai taman laut.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program konservasi karang di Taman Laut Pulau Redang anjuran TDM Berhad dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin.

Dalam pada itu, Dr. Azman merakamkan penghargaan kepada pengerusi serta seluruh Lembaga Pengarah TDM Berhad atas inisiatif tersebut, selain Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu yang turut terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan.

Sementara itu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata usaha pemulihan terumbu karang diberikan perhatian serius oleh TDM kerana pihaknya menyedari kepentingan ekosistem marin terhadap masyarakat dan alam sekitar.

“Kita melihat pemulihan coral ini adalah satu perkara yang penting di TDM walaupun kita melibatkan diri dalam bidang kesihatan dan juga perladangan.

“Melalui kerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu ini, kita merasakan bahawa inilah cara untuk kita mengembalikan semula keuntungan TDM kepada masyarakat dan juga alam sekitar.

“Inilah cara kita membuktikan we are here for the people dan alam sekitar,” katanya.

Dalam program berkenaan, sebanyak 200 fragmen karang akan ditanam pada struktur frame yang disediakan di Taman Laut Pulau Redang sebagai sebahagian usaha memulihkan ekosistem marin di kawasan berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan