KUALA TERENGGANU, 12 November – Kejayaan inovasi dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah projek atau anugerah yang dimenangi, sebaliknya sejauh mana ia mampu menyelesaikan masalah dan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, setiap pembaharuan yang dilaksanakan perlu membawa perubahan nyata termasuk menjimatkan masa, mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti serta mempercepatkan urusan perkhidmatan.
Menurutnya, inovasi bukan lagi pilihan sebaliknya menjadi keperluan dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan terus relevan, cekap dan memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, kejayaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mempercepatkan proses kelulusan pelan bangunan kediaman berskala kecil daripada lima hari kepada hanya satu jam membuktikan keberkesanan inovasi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Ini memperlihatkan bagaimana inovasi dapat diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
"Inilah inovasi yang kita mahu, iaitu memudahkan urusan dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Tambah Mohd Azmi, penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) juga perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran tanpa mengabaikan aspek keselamatan maklumat.
Katanya, prosedur yang panjang serta proses yang melambatkan urusan rakyat perlu dinilai dan ditambah baik bagi memastikan masa pemprosesan semakin singkat serta keputusan dapat dibuat dengan lebih tepat.

"Projek inovasi yang menunjukkan keberhasilan juga perlu didokumentasikan supaya pendekatan berkesan itu dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh jabatan serta agensi lain,"ujarnya lagi.
Justeru katanya, inovasi perlu terus menjadi sebahagian daripada budaya dan sistem pentadbiran kerajaan, bukannya sekadar diraikan ketika pertandingan atau majlis penyampaian anugerah.