Jalur Gemilang
Berita :
33 Terima Jadual 5A,Realisasi Impian Miliki Tanah Sendiri
33 Terima Jadual 5A,Realisasi Impian Miliki Tanah Sendiri
Norekwan Mamat
1 hari yang lepas
60

BESUT, 12 November – Seramai 33 penduduk di Mukim Hulu Besut menarik nafas lega apabila menerima Jadual 5A menerusi Majlis Penyampaian Jadual 5A yang berlangsung semalam.

Majlis tersebut melibatkan seramai 25 penerima daripada Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Air Hangat dan lapan lagi penerima daripada RTB Sungai Kerian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, penyampaian berkenaan merupakan satu perkembangan yang amat bermakna buat penduduk yang sekian lama menantikan peluang untuk memiliki tanah secara sah.


Menurut beliau, penerimaan Jadual 5A adalah langkah penting dalam melengkapkan proses pemberimilikan tanah sebelum dokumen hak milik rasmi dikeluarkan setelah bayaran yang ditetapkan selesai dijelaskan.

"Kerjasama erat antara Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut dengan Pejabat Daerah dan Tanah Besut amat penting dalam memudah cara pelbagai urusan berkaitan tanah demi kepentingan rakyat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Daerah merangkap Pentadbir Tanah Daerah Besut, Encik Ahmad Rizal bin Mamat, Ketua Penolong Pentadbir Tanah, Puan Hajah Siti Maryam binti Hamid serta seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Besut atas inisiatif serta komitmen dalam mempercepatkan urusan berkenaan.

Mohd Husaimi turut mengingatkan semua penerima agar segera menyelesaikan bayaran Jadual 5A dalam tempoh yang ditetapkan serta memastikan sempadan lot masing-masing dikenal pasti dengan tepat sebelum kerja-kerja penandaan batu sempadan dilaksanakan.

Beliau menasihatkan agar tanah yang bakal dimiliki kelak dijaga dengan penuh tanggungjawab bagi mengelakkan sebarang pertikaian sempadan, di samping memastikan aset tersebut dapat dimanfaatkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Mengulas mengenai permohonan tanah lain yang masih dalam proses, beliau menyeru agar penduduk terus bersabar memandangkan setiap permohonan perlu melalui prosedur serta pertimbangan pihak berkuasa berkaitan.

"Saya akan terus komited membawa dan menyokong permohonan rakyat melalui saluran serta mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Besut bagi memastikan kebajikan dan kepentingan penduduk Hulu Besut terus terbela," tegasnya.

Justeru itu, beliau berharap usaha berterusan melalui kerjasama semua pihak ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menikmati manfaat pemilikan tanah yang sah pada masa hadapan.

"Tahniah diucapkan kepada kesemua 33 penerima dan semoga ia menjadi permulaan kepada pemilikan aset berharga buat keluarga masing-masing," tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan