Jalur Gemilang
Berita :
Empat Naskhah al-Quran Terengganu Diiktiraf Warisan Kebangsaan
Empat Naskhah al-Quran Terengganu Diiktiraf Warisan Kebangsaan
Rohayati Ripin
10 jam yang lepas
158

KUALA TERENGGANU, 12 November – Empat naskhah al-Quran Terengganu yang mempunyai keistimewaan dari segi ragam hias dan nilai sejarah telah diiktiraf sebagai Objek Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, pengiktirafan yang diterima minggu lalu itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha mengangkat keistimewaan seni penulisan dan ragam hias al-Quran warisan negeri berkenaan.

Menurutnya, keempat-empat naskhah tersebut kini dipamerkan di galeri Muzium Terengganu bagi membolehkan masyarakat melihat sendiri khazanah warisan Islam yang mempunyai nilai sejarah tinggi.

“Kami baru sahaja mendapat perisytiharan al-Quran Terengganu empat buah empat unit sebagai warisan kebangsaan, objek warisan kebangsaan yang telah diwartakanlah.

“Kita telah menerima perakuan itulah dan empat unit yang kita dapat pengiktirafan dipamerkan dua di galeri kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pameran Islamiah Melayuwiah di Serambi Mandalika, semalam.

Tambahnya, pihak muzium turut mengambil inisiatif mendigitalkan keempat-empat naskhah berkenaan sebagai usaha memelihara koleksi serta memperluas akses kepada bahan warisan tersebut.

“Empat naskhah yang warta tadi, kita telah digitalkan dan ini satu aspek yang kita tonjolkan ialah pendigitalan koleksi dan permulaan serta banyak lagi usaha yang untuk menggunakan teknologi baru pada masa ini. 

“Tetapi ada bahan-bahan pameran yang kita gunakan AI untuk memperkemaskan lagi apa ni kualiti gambar dan juga ilustrasi tertentu. 

“Di sebalik itu ada tulisan Jawi, ada kaligrafi Islam, dan juga yang paling penting ialah apa yang bermula sejarah kita ni berpaksikan kepada satu rujukan utamalah, iaitu al-Quran. Jadi kita memaparkan al-Quran ragam hias al-Quran Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak muzium berhasrat membawa pengiktirafan itu ke peringkat lebih tinggi dengan mencalonkan warisan berkenaan kepada UNESCO melalui Jabatan Warisan Negara.

Dalam masa yang sama, Lembaga Muzium Negeri Terengganu berhasrat mengangkat keistimewaan al-Quran ragam hias Terengganu ke peringkat antarabangsa menerusi usaha pencalonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Iskandar menambah, usaha itu merupakan langkah susulan selepas empat naskhah al-Quran Terengganu diiktiraf sebagai Objek Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Menurutnya, pencalonan berkenaan akan dilaksanakan melalui Jabatan Warisan Negara memandangkan proses pengiktirafan di peringkat antarabangsa memerlukan penyertaan dan penilaian sewajarnya.

Ujar beliau, pihak muzium turut memperkukuh usaha penyelidikan melalui penganjuran seminar dan bengkel berkaitan ragam hias al-Quran Terengganu bagi meningkatkan kepakaran tempatan.

“Jadi kini kita juga ada usaha untuk mendapatkan kepakaran-kepakaran daripada kita sendiri. Salah satu usahanya ialah kita telah mengadakan seminar, bengkel yang berkaitan dengan ragam hias Terengganu. 

“Dan inisiatif juga bermula daripada Kebawah Duli Tuanku Sultan sendiri yang telah apa ni menerbitkanlah, kalau kira mencetakkah, mushaf al-Quran Sultan Mizan Zainal Abidin,” tambah beliau.

Kata Iskandar, usaha itu penting supaya keistimewaan warisan Islam Terengganu dapat didokumentasikan dan diketengahkan berdasarkan kepakaran anak tempatan, tanpa terlalu bergantung kepada rujukan luar negara.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan