SETIU, 17 Mac – Kerja-kerja penurapan semula jalan raya persekutuan di beberapa lokasi strategik dalam daerah ini telah dijalankan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya berada pada tahap optimum.
Inisiatif penyelenggaraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ini merangkumi kawasan Kg Anak Ikan, Kg Air Sejuk, Kg Pagar Besi, Kg Mengabang Telong, Kg Selamat, Kg Nyatuh, dan Kg Alor Serdang.
Selain faktor kerosakan berlubang akibat musim banjir yang lalu, kerja-kerja baik pulih ini juga memfokuskan kepada laluan yang terjejas akibat aktiviti kenderaan berat melibatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh pihak China Communications Construction Company (CCCC) seperti di Kg Anak Ikan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, Isu bebanan jalan yang melampau itu telah mendapat perhatian serius apabila pihaknya membawa ke perbincangan di Kamar Khas Parlimen pada tahun lepas selain sentiasa diketengahkan di Dewan Rakyat untuk diambil perhatian oleh pihak kementerian yang terlibat
"Kita faham kepentingan projek nasional seperti ECRL, namun kualiti jalan raya untuk penduduk setempat tidak boleh diabaikan.
" Alhamdulillah, tindakan bersepadu antara pihak kementerian, JKR, dan kontraktor terlibat kini mula menampakkan hasil," ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar langkah proaktif terbabit akan memastikan pengguna laluan utama tidak adakan berhadapi lagi dengan masalah sebagaimana yang terjadi sebelum ini.
" Dengan penurapan semula ini, risiko kemalangan dapat dikurangkan dan kelancaran trafik bagi urusan harian penduduk kembali pulih selain ia menjadi keperluan utama menjelang Aidilfitri bagi pengguna jalan raya,"ujar belaiu
Tag :