KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Felda didapati telah mengusahakan dan menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah seluas 14,791 hektar milik kerajaan negeri selama lebih 40 tahun tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan yang dipersetujui bersama kepada kerajaan Terengganu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak milik tanah negeri yang telah dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak tahun 1985.
Menurut beliau, tanah tersebut telah dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sebelum kemudiannya diserahkan kepada FGV untuk diusahakan, namun sepanjang tempoh tersebut kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang pulangan yang sewajarnya.
“Dalam tempoh lebih 40 tahun itu, Felda telah mengusahakan dan menikmati hasil serta keuntungan yang besar daripada tanah tersebut, tetapi sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri sebagai tuan tanah tidak menerima hak yang sewajarnya seperti bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari 21 Tanah Rancangan Felda seluruh negeri di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, semalam.
Dr. Azman menjelaskan, kerajaan negeri telah menetapkan 29 November ini sebagai tarikh akhir bagi Felda mengemukakan penyelesaian terhadap isu berkenaan, selepas tempoh 40 hari diberikan untuk menyelesaikan tuntutan tanah tersebut.
“Kita telah berusaha agak lama, tetapi oleh kerana sikap tidak serius dan berdolak-dalik pihak Felda menyebabkan isu ini berpanjangan. Kita terpaksa beri kata dua kerana tidak boleh lagi memperjudikan hak negeri untuk tempoh yang lebih lama,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah menawarkan 30 peratus daripada keuntungan kasar sebagai perkongsian kepada Felda, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas rasmi.
“Sekiranya tiada sebarang cadangan penyelesaian dikemukakan sebelum tarikh tersebut, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan undang-undang mengikut lunas perundangan sedia ada,” tegasnya.
Selain isu tanah ladang FGV, sesi libat urus itu turut membincangkan beberapa perkara lain termasuk isu tapak rumah generasi kedua Felda serta pelbagai masalah berkaitan pembangunan tanah rancangan di negeri ini.