Jalur Gemilang
Berita :
Sesi Dua Hala Jadi Ruang Selesaikan Masalah Rakyat
Sesi Dua Hala Jadi Ruang Selesaikan Masalah Rakyat
Naim Fadhilah Kamaruddin
18 jam yang lepas
171

DUNGUN, 23 September – Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura terus memperkukuh khidmat kepada rakyat melalui sesi Hari Bertemu Pelanggan yang membuka ruang kepada penduduk untuk menyampaikan masalah dan keperluan mereka secara terus serta mendapatkan tindakan susulan.

Sesi yang berlangsung di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura pagi ini, memberi tumpuan kepada pelbagai permohonan rakyat, dengan isu berkaitan baik pulih rumah antara perkara utama yang dibawa penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pendekatan secara bersemuka membolehkan pihaknya memahami keadaan sebenar yang dihadapi rakyat sebelum menentukan bentuk bantuan atau tindakan yang bersesuaian.

“Bila rakyat datang bawa masalah, kita dengar dulu keadaan sebenar. Ada perkara yang kita boleh bantu terus dan ada yang memerlukan proses serta permohonan untuk tindakan seterusnya.

“Yang penting, rakyat tahu ada ruang untuk mereka datang dan bincangkan masalah yang dihadapi. Kita cuba tengok satu-satu mengikut keadaan dan kemampuan yang ada,” katanya.

Dalam sesi berkenaan, beberapa permohonan dapat diberikan tindakan secara terus, manakala sebahagian lagi dimasukkan dalam permohonan untuk diproses dan diambil tindakan susulan.

Menurut beliau, isu berkaitan kediaman bukan sekadar melibatkan keadaan fizikal rumah, malah turut memberi kesan kepada keselesaan dan kehidupan seharian sesebuah keluarga.

“Kadang-kadang benda yang kita nampak kecil, bagi keluarga yang menghadapinya setiap hari, ia bukan benda kecil. Sebab itu kita tengok kes ikut keadaan masing-masing dan cuba cari ruang untuk membantu,” katanya.

Hari Bertemu Pelanggan turut memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan penjelasan secara terus mengenai permohonan yang dibawa, selain membolehkan setiap kes diteliti berdasarkan keperluan dan keadaan masing-masing.

Pendekatan secara bersemuka seperti ini akan terus diberi perhatian sebagai antara usaha Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura untuk memastikan masalah yang dibawa rakyat bukan sekadar didengar, tetapi turut diberi perhatian dan tindakan susulan melalui saluran yang bersesuaian.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan