KUALA NERUS, 4 April – Dunia Islam kini berdepan cabaran besar yang disifatkan sebagai ‘Perang Ahzab baharu’ apabila musuh bersatu dalam pelbagai bentuk bagi melemahkan umat Islam.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, situasi semasa menunjukkan bahawa ancaman terhadap Islam bukan lagi bersifat terpisah mengikut kaum, bangsa atau mazhab, sebaliknya melibatkan gabungan kekuatan yang menentang umat Islam secara menyeluruh.
"Keadaan ini berlaku ketika umat Islam berada dalam keadaan berpecah-belah, sekali gus melemahkan keupayaan untuk menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
"Perkembangan yang berlaku di beberapa wilayah dunia Islam menjadi bukti kepada realiti tersebut, sekali gus menuntut umat Islam kembali memperkukuh perpaduan dan kekuatan dalaman," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik, Menteri-Menteri Besar negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional serta pimpinan antarabangsa lain.
Abdul Hadi menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar serta memperkukuh kesatuan bagi menghadapi cabaran semasa yang semakin mencabar di peringkat global.
Tag :