Berita :
Pamer Kesatuan Melayu, Bina Kekuatan Ummah
Pamer Kesatuan Melayu, Bina Kekuatan Ummah
Mohd Irsyadi Abu Bakar
5 jam yang lepas
65

KUALA TERENGGANU, 4 April - Kesatuan Melayu perlu dipamerkan dari semasa ke semasa supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh menerobos dan meleraikan ikatan yang dibina melalui himpunan yang diadakan ini.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kekuatan itu mesti terus dizahirkan tanpa mengira apa warna politik, apa warna pegangan negeri masing-masing. 

"Perbezaan itu perlu diketepikan demi untuk mendapat satu tujuan yang sama. 

"Maka, kekuatan yang perlu dikembalikan ialah kesatuan. Hanya melalui kesatuan umat Islam sebagaimana diciptakan Allah SWT yang memiliki Tuhan dan kiblat yang sama, ibadah yang sama.

"Saya menyeru semua peserta konvoi terutama anak-anak muda, kitalah generasi yang akan memulakan kesatuan dan mempamerkan kekuatan itu menerusi perhimpunan ini," katanya dalam ucapan pada Konvoi Bersama 4 MB SG4 di Dataran Batu Buruk, hari ini.

Dalam aktiviti tersebut, kira-kira 1,000 peserta menyertai Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Dato' Panglima Perang, Dato' Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berarak menaiki motosikal sejauh tujuh kilometer dari Batu Buruk ke Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT).

Turut serta, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Seri Takiyuddin Hassan dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Afnan turut berharap, penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan menjadi permulaan kepada usaha penyatuan rantau Melayu dalam memperkasakan kesatuan Islam di seluruh dunia.

"Insya-Allah kekuatan ini akan menuju ke satu matlamat iaitu ke arah mendapatkan redha Allah SWT," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan