Berita :
Lebih 250 Cendekiawan Cari Formula Satukan Ummah, Alam Melayu
Lebih 250 Cendekiawan Cari Formula Satukan Ummah, Alam Melayu
Husaif Mamat
2 jam yang lepas
54

KUALA NERUS, 4 April – Lebih 250 cendekiawan, pakar dan ahli pelbagai bidang berkumpul dalam satu sidang meja bulat bagi mencari formula terbaik untuk memperkukuh perpaduan ummah serta membina semula kekuatan Alam Melayu berasaskan jati diri, ilmu, ekonomi dan kepimpinan.

Sidang berkenaan menjadi medan penting untuk menghimpunkan pandangan, pengalaman dan kepakaran daripada pelbagai latar belakang dalam usaha merangka penyelesaian yang lebih tersusun terhadap cabaran semasa umat Islam di rantau ini.

Perbincangan memfokuskan kepada empat teras utama yang dilihat mampu menjadi asas kepada pembinaan ummah yang lebih kukuh dan bersatu, bermula dengan agenda Pengukuhan Jati Diri Ummah: Memartabatkan Tamadun Alam Melayu.

Menerusi sesi itu, para peserta membincangkan kepentingan mengangkat semula kegemilangan sejarah, budaya, tradisi dan warisan Alam Melayu sebagai asas pembinaan generasi masa kini.

Pendekatan itu dilihat penting bagi melahirkan ummah yang berkeyakinan tinggi, memahami akar tamadunnya sendiri dan tidak mudah hanyut dalam arus pemodenan yang semakin mencabar.

Selain itu, sidang turut memberi tumpuan kepada tajuk Pengharmonian Kepelbagaian Mazhab: Memperkuat Perpaduan Ummah di Alam Melayu yang menyentuh keperluan mengurus perbezaan aliran pemikiran secara berhikmah.

Perbincangan dalam sesi itu menekankan pentingnya mencari titik persamaan, menyuburkan sikap saling menghormati dan mengelakkan perbezaan pandangan daripada menjadi punca konflik yang merugikan umat.

Pada masa sama, agenda Pemberdayaan Ekosistem Ekonomi: Membina Kemandirian Ummah di Alam Melayu turut dibincangkan secara menyeluruh dengan penekanan kepada usaha memperkasakan sistem ekonomi Islam.

Antara perkara yang diberi perhatian termasuk melengkapkan rantaian bekalan makanan, memperluas jaringan perniagaan, memajukan industri halal dan memperkukuh institusi kewangan Islam sebagai langkah membina masyarakat yang lebih stabil serta berdikari dari sudut ekonomi dan kewangan

Sidang itu juga meneliti tajuk Pemerkasaan Kepimpinan Ummah: Mencorak Politik dan Pemerintahan di Alam Melayu yang memfokuskan kepada keperluan melahirkan barisan pemimpin berintegriti, amanah, telus dan berpandangan jauh.

Para peserta berpandangan bahawa kepimpinan yang berwibawa dan berteraskan nilai Islam amat penting dalam membentuk landskap politik serta sistem tadbir urus yang mampu menjamin kestabilan, keharmonian sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Keseluruhannya, sidang meja bulat itu memperlihatkan kesungguhan golongan cendekiawan dan pakar untuk menjadikan agenda perpaduan ummah bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang lebih praktikal dan menyeluruh.

Himpunan itu juga dilihat membuka ruang kepada lahirnya kerangka penyelesaian yang lebih tersusun dalam usaha memperkukuh masa depan ummah dan mengangkat semula peranan strategik Alam Melayu di pentas serantau.

Resolusi akhir daripada sidang meja bulat itu dijadual diumumkan dalam slot Pidato Perdana Penyatuan Ummah Malaysia pada jam 9 malam ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan