KUALA NERUS, 4 April - Republik Islam Iran menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya bersatu dalam menghadapi ancaman terhadap negara-negara Islam, khususnya susulan serangan ketenteraan yang dilakukan negara haram Israel dan Amerika Syarikat.
Duta Besar Iran, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi menegaskan, perpaduan umat Islam amat penting terutama dalam situasi perperangan sebagaimana yang berlaku di negaranya dan juga Palestin.
"Ini adalah mesej khas saya kepada persidangan penting ini, umat Islam di seluruh dunia mesti bersatu menentang musuh.
"Seperti yang anda sedia maklum, Republik Islam Iran sedang berada di bawah serangan ketenteraan oleh (negara haram) Israel dan Amerika.
"Sememangnya, ini waktu terbaik untuk umat Islam di seluruh dunia bersatu menentang Israel.
"Musuh paling utama pada masa ini ialah Israel, yang telah membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa di Gaza dan tempat-tempat lain.
"Saya berharap, insya-Allah, dengan perpaduan umat Islam, kita dapat memberikan jawapan yang sangat tegas supaya mereka tidak dapat menyerang mana-mana negara Islam lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) hari ini.
Mengulas mengenai hubungan dua hala, beliau berkata kerjasama antara Iran dan Malaysia telah terjalin sejak lebih satu abad lalu, bermula dengan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua negara juga merupakan anggota beberapa organisasi antarabangsa termasuk D8 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan.
"Selepas kemerdekaan Malaysia, Iran mengiktiraf Malaysia dan membuka kedutaan. Sejak itu, kami berusaha untuk menjadi rakan yang rapat.
"Kita berkongsi banyak persamaan dan pengalaman. Kita boleh bekerjasama di forum antarabangsa dan juga secara dua hala. Terdapat banyak peluang untuk memperluaskan hubungan kita.
"Pada masa hadapan, saya optimis bahawa hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara akan terus berkembang dan kita akan melihat hasilnya untuk rakyat Iran dan rakyat Malaysia," tambahnya.
Tag :