KUALA TERENGGANU, 16 April – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan telah menerima permohonan rasmi daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan beberapa parti lain yang menyatakan minat untuk menyertai gabungan itu.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses penilaian kini sedang dibuat sebelum keputusan muktamad ditentukan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan datang.
Jelas beliau, PN telah menghantar nota kepada parti-parti berkenaan bagi mendapatkan maklumat tambahan, termasuk dari segi jumlah keahlian, struktur organisasi dan kekuatan mereka, sebelum pertimbangan sewajarnya dibuat.
Menurut beliau, langkah itu penting supaya PN dapat memahami kedudukan setiap parti dengan lebih jelas sebelum permohonan tersebut dibawa untuk dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi.
“Memang kita ada menerima permohonan daripada parti yang diyatakan itu, termasuklah dari beberapa parti lain yang juga kita sedang nilai.
"Kita juga telah hantar nota kepada parti-parti ini untuk mendapat maklumat tambahan dari segi keahlian, struktur organisasi, supaya kita lebih memahami dan kita boleh buat pertimbangan yang sewajarnya apabila kita bincang dalam mesyuarat MPT PN yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuia media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di sini hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri memberi bayangan bahawa parti-parti berkenaan berkemungkinan diterima menyertai PN sekiranya tidak timbul sebarang halangan dalam proses pertimbangan itu.
“Jadi insya-Allah dalam mesyuarat MPT yang akan datang, kita akan bincangkan permohonan itu dan saya rasa kalau tidak ada apa-apa masalah, insya-Allah kita boleh terima permohonan mereka,” katanya.
Ketika ditanya parti-parti selain Pejuang dan Berjasa yang telah mengemukakan permohonan, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka buat masa ini.
"Tetapi kita berharap semua anggota MPT berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk kita memperkukuhkan PN dengan penyertaan parti-parti yang pelbagai yang ada dalam negara kita ini, insya-Allah,” katanya.
Mengulas pertanyaan berkaitan parti yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Ahmad Samsuri berkata beliau tidak mengetahui parti mana yang dimaksudkan dan menyerahkan perkara itu untuk dijawab sendiri oleh pemimpin berkenaan.
“Pertama saya tak tahu beliau masuk parti apa, parti sedia ada ke, parti yang sedia ada dalam Perikatan Nasional ke, wallahua’lam.
“Jadi kena tanya beliau, ada pun langkah seterusnya itu, saya pun tak tahu apa langkah seterusnya bagi pihak beliau, kena tanya Dato’ Seri Hamzah lah,” katanya.
Tag :