KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) berhasrat mentransformasikan perpustakaan di seluruh negeri sebagai pusat komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat, bukan sekadar berfungsi sebagai tempat membaca.
Pengerusi PPAT merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, perpustakaan perlu menjadi ruang yang lebih dekat dengan masyarakat serta mampu dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan komuniti, termasuk keluarga dan golongan muda.

“Dengan itu, ibu bapa boleh menjadikan premis-premis kami sebagai alternatif untuk aktiviti kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 yang telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina Abdul Hamid di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Edy Irwan Zulkafli dan Pengarah PPAT, Nuzulnisa Barudin@Kamarudin.

“Anak-anak bangsa perlu terus dibekalkan dengan ilmu pengetahuan. Selain sekolah-sekolah, perpustakaanlah yang akan menjadi rumah kedua untuk mereka menimba ilmu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata PPAT turut memperluaskan peranan perpustakaan melalui penyediaan program pembelajaran pelbagai bahasa menerusi Pusat Bahasa Terengganu (PBT). Antara bahasa yang ditawarkan termasuk Bahasa Thai, Jerman, Korea, Turki, Arab, Perancis dan Jepun.
“Penguasaan bahasa sangat penting dan bermanfaat sebagai nilai tambah. Ia juga sangat berguna untuk survival anak-anak kita pada masa depan, apatah lagi apabila mereka perlu bersaing ketika mencari pekerjaan kelak,” tambahnya.

Katanya, penganjuran pelbagai program keilmuan perlu dilihat sebagai satu amanah yang bukan sahaja memberi manfaat untuk tempoh singkat, malah mampu memberi impak dalam jangka masa panjang.
“Kita bukan sahaja berperanan menganjurkan pelbagai program keilmuan kepada masyarakat, tetapi bertanggungjawab untuk memberi makna dan pengisian yang bermanfaat agar impaknya dapat dirasai dan dituai sehingga ke jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga mencerminkan komitmen PPAT untuk memastikan perpustakaan terus relevan sebagai institusi ilmu yang dekat dengan masyarakat.