KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu merancang melaksanakan projek perlindungan hakisan pantai di kawasan pemecah ombak Muara Sungai Terengganu susulan kejadian hakisan yang semakin membimbangkan.
Pengarah JPS Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, hakisan berterusan di kawasan itu telah menyebabkan laluan pejalan kaki yang dibina Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengalami keruntuhan.
Menurutnya, laluan berkenaan telah ditutup kepada orang ramai sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Jelasnya, JPS sebelum ini telah melaksanakan kerja perlindungan secara setempat sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan hakisan di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, usaha tersebut masih belum dapat mengekang hakisan sepenuhnya akibat fenomena limpahan ombak atau ‘wave overtopping’ ketika air pasang, selain keadaan laut bergelora dan cuaca ekstrem sepanjang Monsun Timur Laut lalu.
“Keadaan itu meningkatkan tenaga ombak yang melimpahi struktur perlindungan sebelum menghakis pasir di bahagian belakang struktur, sekali gus menyebabkan hakisan terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Osman berkata, JPS akan terus memantau perkembangan di lokasi terbabit dan menjalankan penilaian teknikal bagi mengenal pasti kaedah penyelesaian paling sesuai.
Sehubungan itu, JPS Terengganu akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pertimbangan bagi melaksanakan projek perlindungan hakisan pantai di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya kekal komited bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi mengurangkan risiko hakisan, melindungi kawasan pesisir pantai dan memastikan keselamatan orang ramai.