lightning-solid
Berita :
Tragedi Flat Ladang Tok Pelam, Amzad Gesa Keselamatan Kediaman Dipertingkat
Tragedi Flat Ladang Tok Pelam, Amzad Gesa Keselamatan Kediaman Dipertingkat
Ahmad Zaeem Zainudin
20 jam yang lepas
88

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menggesa aspek keselamatan kediaman bertingkat diperkukuh susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Flat Ladang Tok Pelam baru-baru ini.

Beliau berkata, tragedi itu perlu menjadi peringatan kepada semua pihak agar keselamatan penghuni, khususnya kanak-kanak dan golongan berkeperluan khas, diberikan perhatian lebih serius.

Ahmad Amzad sebelum itu meninjau lokasi kejadian serta berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ladang Flat, Ariff Khusairi, pihak pengurusan dan pegawai keselamatan flat berkenaan.

“Perbincangan diadakan bagi meneliti sendiri keadaan di lokasi kejadian serta mengenal pasti langkah penambahbaikan yang boleh diambil demi meningkatkan keselamatan penghuni.

“Dengan pembangunan pesat yang menyaksikan semakin banyak kediaman bertingkat tinggi, aspek keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak dan golongan berkeperluan khas perlu diberikan perhatian lebih serius,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Menurutnya, antara cadangan yang dibincangkan termasuk pemasangan jeriji atau sistem keselamatan bersesuaian serta pelaksanaan kempen kesedaran mengenai langkah pencegahan dalam kalangan penduduk.

Ahmad Amzad berkata, tragedi berkenaan tidak seharusnya dijadikan ruang untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, katanya, kejadian itu perlu dijadikan iktibar bagi memperkukuh budaya keselamatan dalam komuniti dan mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

“Bukan niat kita untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mencari iktibar serta mengambil langkah yang mampu mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang,” katanya.

Beliau yang juga bapa kepada seorang anak autisme berkata, dirinya memahami cabaran ibu bapa dalam menjaga dan menguruskan anak berkeperluan khas.

Justeru, beliau berharap tragedi tersebut menjadi titik tolak kepada usaha bersama antara pihak pengurusan, komuniti dan agensi berkaitan untuk mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat.

“Al-Fatihah buat Allahyarhamah. Semoga Allah SWT mengangkat darjatnya di sisi-Nya serta menjadikannya asbab syafaat buat kedua-dua ibu bapanya di akhirat kelak,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan