KUALA NERUS, 11 Ogos - Seramai 95 peserta menyertai Kursus Pra Perkahwinan Islam Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading yang berlangsung selama dua hari sebagai persediaan membina kehidupan berumah tangga berlandaskan syariat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, program tersebut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan ilmu dan kefahaman asas kehidupan berkeluarga, termasuk tanggungjawab suami dan isteri, hukum-hakam kekeluargaan serta persediaan dari sudut fizikal, mental dan spiritual sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Tidak cukup dengan hanya mengikuti kursus selama dua hari untuk mendirikan rumah tangga sepanjang hayat. Kursus ini memberikan asas-asas penting berkaitan hukum kekeluargaan, tetapi kita perlu terus menambah ilmu dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
“Yang lebih penting ialah setiap individu bertanggungjawab membina dirinya sebagai seorang Muslim atau Muslimah yang taat kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Kursus Pra Perkahwinan Islam Modul Bersepadu (MBPKI) 2026 yang diadakan di Kompleks Tarbiah At Taqwa, Batu Enam di sini, baru-baru ini.

Katanya, bakal suami dan isteri juga perlu mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa kerana pembentukan keluarga bukan hanya berkaitan hubungan antara suami dan isteri, malah turut menentukan pembentukan generasi dan zuriat pada masa hadapan.
“Kalau kita mahu melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, kita sendiri perlu terlebih dahulu memperbaiki diri. Persiapkan diri dari sudut fizikal, mental dan yang paling penting ialah spiritual kerana itulah benteng utama dalam membina sebuah keluarga yang bahagia,” ujarnya.

"Diharap kursus ini dapat menjadi titik permulaan kepada pembentukan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah serta mampu mengurangkan risiko konflik dan perceraian dalam rumah tangga," ujarnya.