Berita :
 Dr Azman Jawab Isu 'Tukun Pok Cik Man'
Dr Azman Jawab Isu 'Tukun Pok Cik Man'
Hidayah Azlin
20 jam yang lepas
100

SETIU, 5 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya melabuhkan 24 unit tukun tiruan di perairan Setiu pada Khamis lalu, dalam usaha memperkasakan zon pembiakan marin dan melindungi kawasan tangkapan nelayan tradisional.

Bagaimanapun, program tersebut menarik perhatian ramai ekoran tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim yang menamakan satu biji tukun khas di situ sebagai 'Tukun Pok Cik Man'.

Menjawab kritikan segelintir pihak yang mendakwa beliau menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk kepentingan nama sendiri, Dr. Azman tampil memberikan penjelasan bagi membetulkan salah faham tersebut.

Menurut Dr. Azman, tukun yang dibiayai menggunakan bajet kerajaan melibatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak 155 unit, manakala tukun yang menggunakan nama popular beliau itu adalah hasil sumbangan peribadinya sendiri.

"Yang guna bajet kerajaan tukun yang banyak-banyak tu. Ada sikit rezeki, saya tambah dua unit Tukun Pok Cik Man setiap tahun sebagai tambahan kepada 155 tukun kerajaan.

"Tahun ini, Tukun Pok Cik Man yang kelapan telah selamat dilabuhkan di Setiu, manakala kesembilan pula dijadualkan menyusul di perairan Rusila pada September depan," katanya 

Mengulas mengenai kritikan politik berhubung isu penamaan itu, Dr. Azman sempat berseloroh bahawa perkara tersebut tidak sepatutnya dipolemikkan kerana ia diletakkan di dasar laut dan hanya dilihat oleh hidupan marin.

"Pok Cik Man kena buang dalam laut sahaja, yang tengok hanya ikan. Jangan risau sebab ikan tidak mengundi pun," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Azman turut membuka ruang kepada mana-mana pihak, termasuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan, yang berhasrat untuk menyumbang kepada kelestarian ekosistem laut Terengganu.

"Siapa yang nak menyumbang, dialu-alukan. Kita akan letak tukun atas nama penyumbang tersebut. Kalau PMX (Perdana Menteri) beri sumbangan, kita sedia letak nama 'Tukun PMX'," ujarnya lagi.

Selain menjadi lubuk pembiakan baharu, pelabuhan tukun tiruan ini bertindak sebagai benteng pertahanan ekosistem perairan Terengganu daripada ancaman pencerobohan bot pukat tunda yang sering menjejaskan pendapatan nelayan kecil.


Beliau dalam masa yang sama menzahirkan penghargaan tertinggi kepada seluruh pasukan kerja KPKM yang meluluskan peruntukan serta komitmen mereka yang turun bersama-sama ke tengah laut bagi memantau kerja-kerja pelabuhan tukun tersebut.
"Terima kasih daun keladi, tahun depan insya-Allah kita rancang lagi program pelabuhan tukun," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan