Berita :
Darurat Bukan Mainan - Ahli Parlimen Sekolahkan DAP
Darurat Bukan Mainan - Ahli Parlimen Sekolahkan DAP
Rohayati Ripin
5 jam yang lepas
99

Oleh : Ahmad Hilmi

KUALA TERENGGANU, 17 April - Pengisytiharan darurat tidak seharusnya dijadikan alat politik bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya atas alasan kenaikan harga minyak dunia.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka itu sebagai sesuatu yang 'tidak munasabah' memandangkan situasi semasa negara tidak melibatkan ancaman nyawa atau gangguan keselamatan awam yang ekstrem.

“Darurat ini (sepatutnya) bila keadaan negara dalam kecemasan, macam dulu COVID-19, ia melibatkan nyawa manusia dan kerajaan perlu tangani dengan serius supaya tidak berlaku jangkitan serta menambah jumlah kematian. Itu betul darurat kerana tujuannya menyelamatkan nyawa.

“Minyak ini tidak menyebabkan ancaman keselamatan nyawa, tidak ada bahaya pada nyawa dan keselamatan awam pun. Kenaikan harga minyak ini dialami seluruh dunia, bukan Malaysia sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Terengganu yang berlangsung di Dataran Shahbandar, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Alias yang juga merupakan seorang pengamal perubatan berkata, hujah untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini adalah sangat lemah memandangkan negara tidak menghadapi sebarang peperangan mahupun bencana besar yang melumpuhkan sistem bekalan.

“Sekadar naik harga minyak dan bekalan pula masih mencukupi, jadi tidak ada sebab bagi saya untuk diisytihar darurat dengan tujuan menangguhkan pilihan raya.

“Saya faham tujuan beliau supaya PRN Melaka yang tamat tempoh hujung tahun ini dapat ditangguhkan, tapi nak guna alasan harga minyak dan perang di teluk, bagi saya itu tidak munasabah buat masa ini kerana tidak mengancam nyawa manusia,” tegas beliau.

Terdahulu, tular laporan mengenai cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan isytihar darurat bagi menangguhkan proses demokrasi di Melaka atas faktor tekanan ekonomi dan ketidakstabilan harga bahan api global.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan