KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Calon-calon peperiksaan awam negeri Terengganu dinasihatkan supaya menjaga kesihatan diri menjelang permulaan ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 3 November nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kondisi tubuh dan kadar rehat akan memberi pengaruh besar dalam menjalani peperiksaan.
"Dalam kita berhadapan dengan keadaan semasa yang tidak menentu terutama melibatkan wabak influenza dan sebagainya, saya berharap para pelajar dapat menjaga kesihatan masing-masing dan kebersihan diri.

"Pastikan juga tidur awal, teruskan berusaha dan yang paling penting adalah sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan mendapatkan restu ibu bapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan 'one-off' kepada 3,882 calon peperiksaan awam daerah Kuala Terengganu yang bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini.
Wan Sukairi turut menambah bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong dan mendokong selain mendoakan semua anak-anak Terengganu akan memperoleh kejayaan.
"Mudah-mudahan Terengganu bukan sahaja mengekalkan kecemerlangan, tetapi menambah baik lagi keputusan yang telah diperolehi pada tahun-tahun lepas," katanya.
Sumbangan menerusi Yayasan Terengganu (YT) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM388,200 bagi 23 sekolah di daerah berkenaan dengan setiap calon menerima RM100.