lightning-solid
Berita :
Anak Jati Felda Jerangau 'Ketagih' Buat PHD Kali Ketiga
Anak Jati Felda Jerangau 'Ketagih' Buat PHD Kali Ketiga
Adli Mohamad
9 jam yang lepas
253

KUALA NERUS, 2 November - Berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan analisis, anak jati Felda Jerangau, Dr. Zamri Chik mengakui 'ketagih' untuk menyambung pengajian di peringkat  Doktor Falsafah (PHD) kali ketiga.

Katanya sebelum ini beliau berjaya menamatkan dua PHD di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam bidang pendidikan dan kini akan menyambung pengajian untuk kali ketiga dalam jurusan Sains Politik dalam masa terdekat.

Katanya, masa diambil bagi menamatkan dua PHD dalam lingkungan 10 tahun sejak 2015.

"Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan dua PHD, sebenarnya setelah membuat PHD kali kedua ia mendorong saya untuk turut membantu pelajar lain bukan sahaja rakyat Terengganu, juga dari negeri lain bahkan dari luar negara saya bantu termasuk Nigeria, Jordan dan Palestin kerana merasakan pelajaran di peringkat ini menjadi semakin mudah.

"Tujuan saya bukan untuk mencari nama, sebaliknya bertujuan membantu pelajar lain dari segi membuat analisis dimana saya akan bantu 100 peratus," ujarnya.

Beliau yang pernah berkhidmat di Institut Terengganu Strategik dan Integriti berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-17, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai cabaran dalam pelajaran, beliau berkata semua itu hanya dihadapi pada peringkat awal ketika menyiapkan PHD pertama, setelah itu semuanya menjadi mudah dan merasakan tiada halangan lagi untuk menyambung pengajian di peringkat itu. 

"Saya juga ingin memastikan anak saya juga terdorong untuk belajar lebih tinggi dan ingin menjadikan pendidikan saya ini sabagai cabaran buat mereka agar mendalami ilmu dengan sebaik-baiknya.

"Usia saya kini 59, tahun hadapan akan masuk usia warga emas, 60 tahun, walaupun begitu saya tidak akan berhenti belajar, dan akan memastikan selepas berjaya menamatkan PHD sebanyak tiga kali, saya akan lakukan pula untuk kali keempat, kelima dan seterusnya,"ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan