KUALA TERENGGANU, 28 Oktober — Seramai 129 usahawan akan menerima manfaat melalui pelaksanaan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) siri pertama dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM249,131 yang disalurkan kepada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman, berkata lima DUN berkenaan ialah Air Putih, Bandar, Kuala Berang, Jertih dan Kijal.
Menurutnya, pemberian dana itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan usahawan kecil memperkukuh perniagaan masing-masing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Program ini adalah antara inisiatif berterusan kerajaan negeri bagi memperkasa sektor keusahawanan, khususnya dalam kalangan usahawan mikro dan kecil.
"Setakat bulan Oktober kita menerima permohonan yang lengkap daripada lima DUN dan selebihnya secara berperingkat kita jangka selesai sepenuhnya akhir tahun ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) Kali ke 3/2025 di Wisma Khaleeda Insaff Grill Restoran di sini hari ini.

Tambah Ariffin, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta bagi pelaksanaan Skim DUTE, khas buat golongan belia yang ingin memulakan perniagaan di negeri ini.
"Bantuan yang disalurkan kepada individu yang layak adalah antara RM1,000 hingga RM5,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan,” katanya.